Damia Aliah. Sumber gambar: Facebook Rasmi Damia Aliah.
Damia Aliah Rohaizad, satu nama baru dalam persada industri hiburan Islam di Malaysia. Mendapat bimbingan dari mentor terulung; kumpulan Hijjaz, Damia Aliah memulakan langkah pertama dalam industri dengan membawakan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Ina Naim satu ketika dahulu berjudul Duhai Hati.
Damia merupakan mahasiswi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Sains Pertanian. Seorang yang aktif di dalam mahupun di luar kampus, Damia dilihat bijak menyusun masa bagi memenuhi setiap aktiviti dan jadual kerjanya disamping tidak mengabaikan pengajian beliau.
Pihak Munsyeed telah menghubungi wakil Hijjaz Records Sdn Bhd untuk mengetahui lebih lanjut mengenai artis baru dibawah label Hijjaz Records ini. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami apabila dapat menemubual penulis lirik lagu Duhai Hati sendiri, Zuryati Isa atau lebih popular dengan nama pena Atie Zam.
Penulis lirik terkenal, Atie Zam. Sumber gambar: Facebook Atie Zam.
Menurut Atie, pemilihan Damia Aliah telah dibuat oleh pihak produksi yang melihat bakat dan potensi yang ada pada Damia. Lagu Duhai Hati dipilih untuk dinyanyikan semula oleh Damia kerana pihak produksi yakin lagu Duhai Hati ini boleh pergi jauh.
“HRSB merasakan lagu itu (Duhai Hati) mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai single. Kebanyakan otai-otai nasyid dan mainstream juga berpendapat seperti itu (termasuk pendapat bahagian sales sewaktu kita dengan Warner sebelum ini). Cuma lagu ini masih belum bertemu penyanyi yang ada chemistry dengan lagu ini. Jadi kita bagi peluang pada Damia sebab bahagian produksi merasakan suara Damia sesuai untuk bawa lagu ini. Wallahu’alam. Kita tengok la nanti macam mana perkembangannya.” jelas penulis lirik tersohor ini.
Ditanya sama ada penyanyi asal lagu ini; Ina Naim gagal membawakan lagu ini dengan baik, Atie bingkas menafikan malah beliau memuji kejayaan Ina sehingga lagu ini tercalon sebagai finalis Anugerah Hits 1.
“Ina telah membawakan lagu ini dengan baik. Malah Ina berjaya membawa lagu ini sampai ke Final Hits 1 (Anugerah Hits 1 Akhir 2007). Cuma pihak produksi merasakan lagu ini boleh pergi jauh lagi dengan diberikan nafas baru.” ulas Atie.
Atie juga menegaskan, Hijjaz Records tidak menolak kemungkinan Damia dan Ina Naim akan dibanding-bandingkan dari segi penyampaian lagu Duhai Hati ini. Tetapi ia bukanlah isu utama yang menjadi penilaian pendengar.
“Mana-mana artis yang bawa lagu cover version macam itu memang akan automatically dibandingkan dengan penyanyi asal. Sama ada penyanyi baru lebih baik atau sebaliknya. Bagi saya, setiap penyanyi ada kelebihan, cara dan gaya masing-masing. So, itu normal. Bagi company, kita tak risau sangat dari segi itu.” kata Atie Zam sambil tersenyum.
Jom kita tonton video muzik Duhai Hati nyanyian Damia Aliah.
Kepada mereka yang ingin mengikuti perkembangan artis baru HRSB ini, anda boleh LIKE Facebook rasmi Damia Aliah disini: FB Damia Aliah. Anda juga boleh LIKE Facebook Hijjaz untuk mengetahui berita terkini mengenai Hijjaz dan artis-artis dibawah label Hijjaz Records. Klik disini: FB Hijjaz.
The Best of Hijjaz Records Artiste
Untuk makluman semua, lagu Duhai Hati nyanyian Damia Aliah telah dimuatkan dalam album The Best of Hijjaz Records Artiste yang telah berada di pasaran akhir 2012. Dapatkan album ini di pasaran sekarang. Sokonglah industri muzik Malaysia dengan membeli HANYA YANG ORIGINAL.
– Munsyeed{Dot}Com