“Saya cipta lagu Jangan Risau untuk bantu orang yang anxiety…” – Ustaz Adnin Roslan
Aniq Muhai dan Ustaz Adnin Roslan. Jangan Risau. Sumber: Tarbiah Sentap Records.
Tidak mahu tampil dengan karya tipikal dan tidak bermaya, gandingan penyanyi dan pendakwah muda, Aniq Muhai dan Ustaz Adnin Roslan hadir dengan kelainan di dalam single baharu mereka “Jangan Risau”. Berbeza dengan lambakan karya nasyid sedia ada, “Jangan Risau” membawakan irama nasyid yang rancak dan energetik, sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.
Mengulas tentang perkara ini, Aniq Muhai berpendapat, lagu-lagu dakwah perlu diberikan nafas baru agar kekal relevan.
“Kita nak pecahkan stereotaip masyarakat yang dakwah ni tak semestinya kena lagu bemelodi yang tidak rancak ataupun melankolik sahaja. Sebenarnya banyak mesej-mesej dakwah yang boleh disampaikan dalam rentak dan mood yang lebih ceria.
“Irama dan melodi seperti ini lebih mudah diterima oleh pendengar mungkin kerana mood lagunya yang lebih santai dan happy.
“Percubaan pertama saya lakukan dengan lagu ‘Kun Qowiyyan’ tahun lepas menampakkan hasil. Kejayaan itu saya bawa ke dalam lagu Jangan Risau pula.
Sehingga kini lagu Kun Qowiyyan terus mendahului Carta Nasyid Zayan setiap minggu selain pernah trending di YouTube Malaysia di awal kemunculannya tahun lalu.
“Mungkin sudah tiba masanya kita berikan nafas baru dalam penyampaian dakwah dan sebarkan positiviti dalam lagu.
Turut berkolaborasi bersama Aniq Muhai ialah komposer dan pencipta lagu “Jangan Risau”, ustaz Adnin Roslan.
Menurut komposer dan pempengaruh media sosial itu, beliau mencipta “Jangan Risau” bagi menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang berhadapan anxiety.
“Saya cipta Jangan Risau untuk bantu orang yang anxiety, yang terlebih memikirkan benda yang belum tentu terjadi. Kerana kerap fikir benda yang akan datang, membuatkan kita takut untuk buat keputusan dan buat pilihan hidup.
Jelas pendakwah muda itu, keadaan dan situasi itu menyebabkan terjadinya kecelaruan serta gangguan dalam hidup.
“Perasaan risau berlebihan ini akan buatkan kita semakin stress dan susah nak maju kehadapan.
“Sebab itu saya cipta lagu dengan rentak sebegini. Lagu sedih, melayan perasaan dah banyak dipasaran. Why not buat lagu happy untuk buat orang tersenyum dan dapat kekuatan darinya.
Turut menjadi keunikan di dalam single terbaru ini apabila watak kameo ustaz Adnin Roslan di dalam music video ini dinyanyikan oleh penyanyi yang juga rapper, Albert Rahim.
“Jangan Risau” merupakan sebuah karya yang memaparkan mesej yang positif dan menginspirasi kepada semua pendengar. Lagu ini mengajak pendengar untuk tidak bimbang dan sentiasa yakin dengan hikmah dan takdir yang Allah SWT berikan.
Melalui lirik yang santai dan irama yang ceria, “Jangan Risau” terbitan Tarbiah Sentap Records itu diharapkan dapat menjadi lagu yang memberikan ketenangan dan kekuatan kepada setiap pendengar.
Usamah Kamaruzaman
Berkerjaya sebagai tukang kebun terhebat dunia, beliau juga bertanggungjawab dengan bahan berita penasyid tempatan & antarabangsa di Munsyeed Dot Com.