[KEMASKINI] – Vokalis utama kumpulan Inteam; Mohd Syahril Ab Khalid atau lebih dikenali dengan nama Syah Inteam telah dikejarkan ke hospital pagi tadi. Berita ini dikongsikan oleh Hazamin, anggota kumpulan Inteam sewaktu Majlis Ramah Mesra Bersama Media anjuran Inteam Digital di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Menurut Hazamin, Syah kelihatan pucat sewaktu promosi lagu Rabiatul Adawiyah 2024 di stesen radio SuriaFM.
“Sewaktu bersiaran di SuriaFM, masih ok. Lepas rakaman akustik, beliau terus terduduk. Muka pucat. Kami bawa ke kenderaan. Dalam kenderaan, keadaan beliau makin membimbangkan. Beliau kelihatan lemah dan pucat. Justeru, kami putuskan untuk membawa Syah ke Unit Kecemasan KPJ Damansara.”
Syah dibawa ke Unit Kecemasan KPJ Damansara untuk rawatan awal. Kemudian berpindah ke Unit Kecemasan Hospital Al-Sultan Abdullah di UiTM Puncak Alam untuk rawatan susulan.
Keadaan Syah bagaimanapun dilaporkan stabil. Sama-sama kita doakan semoga Syah diberi kesembuhan oleh Allah swt.
Terdahulu sewaktu segmen Morning Morning Suria di radio SuriaFM, Inteam tampil sebagai artis jemputan untuk segmen yang dikendalikan oleh Dato Fizz Fairuz, Ajak dan Kai Hassan. Selain mempromosi lagu Rabiatul Adawiyah 2024, Inteam juga turut ditanya mengenai pemergian allahyarham Suhaimi Saad.
Ujar Hazamin, mereka sempat menziarahi allahyarham Suhaimi sewaktu mereka di Johor. Kebetulan, pada waktu itu, Suhaimi baru sahaja tiba di Kota Tinggi, di rumah keluarga Ina Naim.
“Pada hari terakhir pemergiannya, kami juga ada datang ziarah. Waktu itu, beliau telah ditidurkan,” ujar Syah.
“Petang itu, kami mulanya nak gerak balik ke Kuala Lumpur tetapi hati tak sedap. Kami tangguhkan dan patah balik semula ke hospital dan allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada petang itu kira-kira 7.40 petang,” cerita Rahim.
Syah menambah, “Alhamdulillah, sebagai sahabat, kami berpeluang memandikan jenazah allahyarham. Itu kali pertama saya mandikan jenazah.”
Perkongsian Inteam mengenai allahyarham Suhaimi mengundang sebak dikalangan penyampai radio SuriaFM dan Inteam sendiri terutama Syah sehingga beliau dilihat menitiskan air mata dalam rakaman langsung (live) TikTok SuriaFM pagi tadi.