Connect with us

Terkini

“Saya pernah berdoa nak sebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tetapi…” – Sam Bunkface

Diterbitkan

pada

Sewaktu kali pertama mendengar berita Inteam akan berduet dengan Sam Bunkface, kami memang terkejut. Pada kami, ini gandingan luar biasa! Masakan tidak, dua nama besar ini datangnya dari 2 genre berbeza, seorang punk rock, manakala yang satu lagi pop nasyid. Tetapi, dibawah label Smileyriver Online, tiada yang mustahil. Nah, memang menjadi!

Selepas lagu Jangan Menghina yang menggandingkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver sekali lagi memilih Inteam untuk projek kolaborasi istimewa bersama Sam Bunkface menerusi lagu Mencari Sinar.

Difahamkan, lagu Mencari Sinar ini merupakan salah sebuah karya terakhir Allahyarham Ahmadi Hassan yang belum pernah dirakamkan sebelum ini. Menariknya, lagu Mencari Sinar ini merupakan satu-satunya karya Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalam lagunya. Untuk mengukuhkan lagi mesej di dalam lagu ini, Sam Bunkface telah membuat beberapa improvisasi pada rangkap rap tersebut.

Lagu Mencari Sinar ini juga menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan yang turut membuat penampilan istimewa dalam video muzik lagu ini.

Kali Pertama Kolaborasi Inteam dan Sam Bunkface


Dalam pada itu Inteam menzahirkan kesyukuran di atas kemunculan lagu Mencari Sinar ini.


“Alhamdulillah, Inteam diberi kepercayaan oleh pihak Smileyriver sekali lagi berkolaborasi untuk lagu ‘Mencari Sinar’. Ini merupakan kali kedua Inteam bekerjasama dengan Smileyriver dan kali pertama digandingkan dengan Sam Bunkface,” ujar Inteam.

Tambah Inteam lagi, “Mencari Sinar ialah sebuah lagu baru yang dicipta sepenuhnya oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Untuk lagu ini, susunan muzik telah dibuat oleh Sam Bunkface sendiri bersama Epul Kuat.”


“Syukur, proses rakaman lagu berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang lama. Harapan kami semoga lagu Mencari Sinar mendapat sambutan di kalangan semua pendengar baru mahupun lama,” kata Inteam.

Sam Teruja Cuba Sesuatu Yang Baharu


Ketika diminta untuk mengulas mengenai lagu Mencari Sinar ini, Sam Bunkface nyata teruja dengan projek kolaborasi ini.

“Sam pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tapi selalu tak jadi. Allah nak makbulkan doa Sam, tiba-tiba label Smileyriver approached untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar. Doa Sam makbul dan Sam excited nak menyanyi sesuatu yang lain dari kebiasaan,” ulas Sam.


Menurut Sam lagi, beliau bersama Epul Kuat mengambil masa lebih kurang satu minggu untuk menghasilkan arrangement yang sesuai seperti yang dibincangkan dengan pengurus dan penerbit lagu ini.

“Kemudian, kami cuma ambil masa satu hari untuk proses rakaman suara bersama abang-abang Inteam. Saya juga ada minta Fauziah Gambus untuk menyumbangkan alunan gambus dalam lagu ini,” kata Sam.


Sam Banyak Belajar Dari Inteam

“Alhamdulillah, bekerja dengan pihak Inteam sangatlah mudah dan mereka juga lebih berpengalaman daripada Sam, jadi Sam yang banyak mengambil input dan belajar daripada mereka. Ini kali pertama Sam produce lagu untuk kumpulan nasyid. Kolaborasi yang mencabar untuk Sam. Tambahan, ini kali pertama Sam berkolaborasi dengan kumpulan nasyid.”


“Harapan Sam agar pendengar muzik tempatan dapat menerima karya Sam yang mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu-lagu Sam yang lain. Yang penting, hayati mesej-mesejnya dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda,” ujar Sam.

Lagu Mencari Sinar sudah mula berada di semua platform penstriman muzik digital yang sah bermula 9 April 2021. Video muzik Mencari Sinar juga telah berada di saluran Youtube Smileyriver Online. – Munsyeed

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

Kritikal Di Hospital, In-Heart Mohon Peminat Doakan Razman

Diterbitkan

pada

Razman Shah, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular In-Heart, kini berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Difahamkan, Razman berada dalam keadaan kritikal dan beliau kini di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Isterinya setia berada di sisi beliau, menguruskan segala keperluan sepanjang tempoh rawatan.

Mohd Hafiz, salah seorang anggota kumpulan In-Heart, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Razman.

“Saya memohon jasa baik anda semua untuk mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diangkat segala kesakitan yang dialaminya ketika ini,” ujar Mohd Hafiz.

Kumpulan In-Heart terdiri daripada lima anggota iaitu Mohd Firdaus, Khairul Rizam, Razman Shah, Mohd Hafiz dan Mohd Khairi. Mereka pernah menyertai program realiti TV Akademi Nasyid dan tampil dengan album sulung berjudul Sakura.

Berita mengenai keadaan Razman mengejutkan ramai pihak, dan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta doa agar beliau segera pulih.

Sama-sama kita doakan semoga Razman Shah diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.

Continue Reading

Berita

Pernah Diharamkan Platform Digital, Fetya Bangkit Dengan Balaklava

Diterbitkan

pada

Kumpulan neo haraki, Fetya, yang dianggotai oleh enam anak muda berbakat – Muawwidz, Haidar, Bilal, Fuad, Hanif, dan Syed, sekali lagi muncul dengan keunikan mereka tersendiri di dalam industri dengan single terbaru mereka, Balaklava. Karya seni ini sekali lagi mengetengahkan mesej perjuangan dengan menonjolkan naratif unik dan berani, sekaligus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam arena muzik perjuangan.

Selepas kejayaan Taufan Al-Aqsa, Gaza Berdarah Lagi dan Giliranmu, Balaklava hadir meneruskan kesinambungan karya-karya Fetya. Dicipta oleh Ustaz Adnin Roslan, Fuad Jamil, Muawwidz, dan Elyas Hazard, Balaklava menggambarkan pertembungan watak dan perwatakan, suatu naratif mendalam yang membuka perspektif baharu tentang perjuangan dan identiti dalam konflik global.

Menurut Bilal, Balaklava terus mengekalkan tema “pertembungan (صراع)” yang menjadi identiti utama Fetya Universe.

“Setiap lirik kami menceritakan naratif pertembungan yang berbeza, namun semuanya membawa kepada perjuangan dan ketabahan. Lagu ini adalah refleksi perwatakan yang timbul di tengah konflik, menyingkap sisi manusia yang jarang diperkatakan,” ujar Bilal.

Fetya Universe antara lain merangkumi karya-karya bertajuk Kesetiaan Q, Syahadah Rabaah, Intifadhah Bersinar, dan Di Balik Besi, yang kesemuanya mengungkap pelbagai dimensi pertembungan daripada konflik idea hingga perjuangan menulis semula sejarah.

Meskipun mendapat sokongan padu peminat, Fetya tidak asing dengan cabaran. Menurut Muawwidz, album pertama mereka pernah diharamkan oleh YouTube dan beberapa platform digital lain, malah beberapa saluran YouTube mereka dipadamkan oleh platform tersebut kerana kandungan yang membawa mesej perjuangan Palestin.

Dan baru-baru ini, saluran YouTube mereka sekali lagi diharamkan sejurus selepas lagu Taufan Al-Aqsa mula mendapat perhatian di kalangan peminat. Namun, hal ini sedikit pun tidak mematahkan semangat Fetya untuk terus berkarya.

“Kami sedar, muzik kami bukan sekadar hiburan dan ia adalah medan perjuangan. Pengharaman ini tidak melemahkan semangat, sebaliknya ia jadi bukti bahawa mesej kami penting dan perlu didengar.

“Setiap kali kami dihalang, insya Allah kami akan bangkit semula dengan lebih kuat. Ini adalah janji kami kepada mereka yang terus menyokong,”

Bagi Fetya, pengharaman platform digital tidak menjadi batu penghalang, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus membawa inspirasi dan suara rakyat Palestin yang terpinggir.

BALAKLAVA kini sedia dimainkan di semua platform digital dan YouTube Lagu Perjuangan, sebuah saluran yang menghimpunkan karya-karya yang membakar semangat perjuangan.

Continue Reading

Berita

Selepas Menyanyi, Kini Inteam Berlakon Dalam Drama Pendek Raya! Penampilan Istimewa Anita Baharom dan Naufal Azrin.

Diterbitkan

pada

Inteam Raya 2024 - Asam Pedas Mak. Sumber: Inteam Digital

Bakat dan keupayaan mereka dalam bidang nyanyian sudah tidak dapat disangkal lagi. Kali ini, kumpulan nasyid tersohor; Inteam mencabar diri untuk tampil berlakon dalam satu drama pendek raya terbitan Inteam Digital.

Drama pendek raya berjudul Asam Pedas Mak ini menampilkan Inteam (Hazamin, Syahril, Rahim dan Hisyam), pelakon Anita Baharom, Naufal Azrin, Syafwan Abdul Rahman, Rasyid Amir dan HN Dzulkifly.

Semua anggota kumpulan Inteam mempunyai peranan yang tersendiri dalam drama pendek tersebut; Rahim sebagai penyampai radio, Hazamin sebagai pemandu van, Syahril sebagai peniaga kedai runcit manakala Hisyam sebagai penunggang motorsikal.

Seperti video pendek yang pernah dihasilkan sebelum ini, Rahim mengungguli apabila berjaya menjiwai dan menghidupkan watak yang dipegang, dengan baik sekali. Hazamin, Syahril dan Hisyam juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing tidak kekok membawa watak masing-masing.

Pujian harus diberikan kepada pelakon Anita Baharom dan Naufal Azrin selaku watak utama dalam drama pendek raya ini. Selaku pelakon professional, lakonan Anita dalam drama pendek ini sangat mengagumkan. Reaksi muka, bahasa tubuh dan lontaran dialog watak ibu disampaikan dengan sempurna oleh Anita. Begitu juga Naufal yang berjaya menjiwai wataknya sebagai anak dalam drama ini.

Dari segi penceritaan, jalan cerita drama pendek ini mudah difahami dan tidak terlalu kompleks. Cuma, di penghujung drama pendek ini, seakan tergantung. Mungkinkah akan ada sambungannya nanti? Biar Inteam yang menjawabnya.

Drama pendek Raya Inteam Digital ini juga turut memainkan dua buah lagu terbitan Inteam Digital; Rabiatul Adawiyah 2024 nyanyian Inteam dan Khai Bahar dan lagu Kepulangan Yang Dinanti yang dinyanyikan semula oleh Inteam dan dimuatkan dalam album Cahaya Lebaran.

Menariknya, drama pendek ini turut diselitkan Hadis Nabi dan nasihat-nasihat kepada para penonton.

Ada beberapa adegan yang mencuit hati penonton. Antaranya babak yang melibatkan Hazamin Inteam dan Naufal Azrin di dalam van, babak Rahim mengendalikan segmen radio dan babak Syafwan yang menggunakan bahasa Melayu dengan loghat Cina.

Drama pendek raya ini boleh ditonton di saluran Youtube rasmi Inteam Digital.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2024 Munsyeed Edutainment