17 MAC 2021, KUALA LUMPUR – Lebih lima tahun tidak muncul dengan single terbaru, kumpulan nasyid Hijjaz akhirnya mengubati kerinduan peminat mereka menerusi lagu Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul TIADA KATA SECANTIK BAHASA (TKSB) 2020 yang diberikan nafas baru.
Namun apa yang menariknya, Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim tidak bersendirian mendendangkan lagu berkonsepkan selawat itu. Sebaliknya TKSB 2020 menyaksikan kolaborasi julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama tiga bakat muda iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.
Bagi menampilkan kelainan selepas sekian lama tidak memiliki buah tangan terbaru, Hijjaz menyuntikkan eleman segar ke dalam single terbaru itu apabila memasukkan elemen Rock Nasyid Rap (RNR). Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam yang juga pencetus idea kepada TKSB 2020 malah turut bertindak sebagai penulis lagu, lirik serta penerbit lagu itu berkata, dia mendapat ilham hampir tiga tahun lalu ketika berada di Madinah.
https://www.youtube.com/watch?v=s0_jHbJI0Vo
“Siapa yang tidak meminati Allahyarham Tan Sri P Ramlee, malah sehingga kini lagu-lagunya malar segar serta masih melekat di jiwa kebanyakkan daripada kita. Lagu TIADA KATA SECANTIK BAHASA adalah salah satu lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang cukup saya minati dan bagi saya ia sebuah lagu yang bagus. Sewaktu berada di Madinah sekitar 2018, saya terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah.”
“Semoga dengan karya itu, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, itulah objektif utama saya. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul,” kata Isman.
Ujar Isman, kekangan bajet menjadi faktor kenapa hasrat untuk menghasilkan single terbaru itu tertangguh agak lama. Selain itu katanya, urusan mendapatkan kelulusan hak penciptaan lagu yang pastinya menyukarkan menjadi antara sebab kenapa mereka melupakan hasrat itu.
Namun penantian itu nyata berbaloi, doa mereka seakan dimakbulkan apabila pihak Universal Music yang juga pemegang hak cipta lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee menawarkan projek single kepada mereka. Enggan menunggu lama, Hijjaz ‘menyambar’ tawaran yang dihulurkan syarikat rakaman terkemuka itu.
“Ketiadaan bajet membuatkan kami terpaksa memendamkan saja hasrat untuk terbitkan lagu itu pada mulanya. Lagipun ia melibatkan syarikat yang besar, jadi kami biarkan saja hasrat itu terpendam.
“Tapi mungkin inilah dinamakan rezeki apabila saya menerima panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul tahun lepas. Dia tanya adakah saya mempunyai lagu baru, jadi saya pun ceritakan kepada Hermond mengenai rancangan Hijjaz, dan secara kebetulan pula Universal Music adalah pemegang hak cipta lagu-lagu Tan Sri P Ramlee, jadi proses kami menjadi mudah.
“Saya juga beritahu pada Hermond saya ingin mencari penyanyi rap untuk berkolaborasi dalam lagu ini. Mereka mencadangkan supaya kami bekerjasama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta, kebetulan pula saya memang mengagumi duo berkenaan. Mereka bukan saja berbakat menyanyi rap dengan baik, malah lirik yang mereka hasilkan juga bagus. Jadi Hijjaz terus bersetuju dan meminta mereka hasilkan lirik untuk bahagian rap pada lagu TKSB 2020,” kata Isman.
Bagi mencipta variasi kepada lagu berkenaan juga kata Isman, mereka mengundang bekas peserta Mentor, Pasya kerana kehebatannya mendendangkan lagu rock. Selain menarik peminat nasyid semata-mata, Hijjaz juga mahu melihat gabungan bersama penyanyi rap dan rock itu mampu menarik lebih ramai peminat dari genre muzik berbeza.
Biarpun kali pertama bergabung, Isman menjelaskan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencipta keserasian. Katanya, proses rakaman dan juga penggambaran muzik video berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima jam.
“Alhamdulillah proses rakaman dan penggambaran muzik video berjalan dengan sangat lancar. Kami masuk ke studio kira-kira jam 2 petang, sebelum magrib semuanya selesai malah kami sempat berhenti sembahyang Jemaah Asar bersama. Saya seronok bekerja dengan mereka, mereka sangat baik dan mereka berjaya berikan apa yang Hijjaz mahukan. Pada sesi rakaman juga, kami sempat mengajar Pasya berqasidah kerana dia dan Munif tampil sebagai penyanyi solo untuk lagu lagu itu, jadi perlu berqasidah.”
“Pada mulanya kami berhasrat mengundang Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter, tetapi memandangkan dia sibuk. Jadi hasrat itu tidak kesampaian dan kebetulan pula ketika Pasya menyertai Mentor, saya ada mengikuti persembahannya dan memang tertarik dengan bakatnya. Jadi kami rasa dia paling tepat untuk menggantikan Azlan,” kata Isman lagi.
Sementara itu Hijjaz yang sebelum ini pernah popular melalui lagu Sumayyah tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakkan mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil lagu Seniman Agong itu yang diberikan nafas baru.
Menurut Isman, dia tidak menafikan sudah sekian lama tidak tampil dengan produk terbaru, tentunya mereka mahukan sebuah lagu yang mudah diterima dan mesra di telinga pendengar. Lagipun katanya, ia bukanlah satu kesalahan apatah lagi lagu itu juga dapat memberi manfaat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga.
“Kami sudah lama tidak tampil dengan single terbaru. Lagipun bila difikir-fikirkan kembali, lagu baru mungkin memakan masa sedikit untuk diterima. Dalam keadaan sekarang, ramai penyanyi tidak menghasilkan album lagi tetapi rata-rata memilih tampil dengan single. Apabila tampil dengan single, lagu itu perlulah ada faktor ‘wow’. Jadi kami memang kami tidak nafikan, antara salah satu sebab kenapa kami pilih lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee kerana lagunya memang sudah melekat di hati kebanyakkan daripada kita. Malah ketika kami perdengarkan lagu itu kepada golongan yang lebih berusia, ramai yang suka malah ada yang sehingga mengalirkan air mata.”
“Kami tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan kami itu. Kami tidak melakukan kesalahan pun, sebaliknya kami hanya ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat. Kami juga sebenarnya cuba membawa kelainan, kami tidak mahu nasyid berada pada takuk sama sebab itu kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap. Selepas ini kami merancang untuk menjalin lebih banyak kolaborasi mungkin dengan Joe Flizzow dan SonaOne pula supaya muzik nasyid akan lebih bersifat universal dan diterima semua lapisan masyarakat,” kata Isman.
TKSB 2020 sudah pun dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) proses promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.
Lagu TKSB 2020 boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple,Music, Joox, Deezer dan KKBOX, manakala muzik videonya boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia.
Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang berderet diadakan sejak setahun dua ni. Ella, KRU, M. Nasir. Semuanya sold out dan menjadi bualan pmerhati muzik tanah air. Viral, tak boleh move on, tu yang diperkatakan
Dan untuk Inteam, Ahad ini di Axiata Arena, ia adalah segala-galanya. Kali ini lebih besar daripada konsert tahun lepas di Idea Live Damansara. Rasanya, konsert solo artis nasyid terbesar yang pernah dianjurkan di tanah Air.
Dalam satu pengakuan yang cukup jujur dan menyentuh hati, anggota kumpulan Inteam, Hazamin tidak berselindung tentang magnitud acara ini. Bagi mereka, Konsert Nur Kasih bukan sekadar satu lagi show dalam kalendar tahunan.
“Ini boleh jadi kemuncak kepada kejayaan dan karier kami,” akui Hazamin.
Kata-kata itu berat. Ia membawa makna bahawa selepas 25 tahun mengemudi bahtera nasyid, Ahad ini adalah puncak kepada apa yang telah mereka bina selama ini. “Kami sebelum ini tidak pernah bermimpi sebegitu. Jadi tak salah kalau kita katakan ini boleh jadi konsert terbesar kami, mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini,” tambahnya.
Darah, Keringat & Air Mata
Bagi kami di Munsyeed yang mengenali susuk kumpulan Nasyid ini secara peribadi lebih 20 tahun, kami melihat sendiri dengan mata kepala kami saat jatuh bangun mereka. Bermula dari duduk dibawah Hijjaz Records, kemudian bertatih sendiri dengan Inteam Records Sdn Bhd.
Mereka membina empayar mereka sendiri. Segala apa yang difikir boleh jalan, mereka redah sahaja. Dari penerbitan album, mengasah bakat-bakat baru, hingga ke penjualan buku dan produk-produk lain. Semua mereka dah lalui
Untuk sampai ke kemuncak show berskala besar, apatah lagi di venue prestij Axiata ini, laluan yang mereka daki untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Inteam telah berjalan melalui lurah dan jurang. Naik turun adalah benda biasa bagi Inteam.
Orang luar hanya nampak kilauan lampu pentas, tetapi Hazamin tampil membuka cerita tentang “fasa gelap” yang hampir menamatkan riwayat kumpulan ini.
“Detik paling rapuh? Ketika tonggak utama, Syahril jatuh sakit. Inteam ibarat hilang separuh nyawa”Tanpa berselindung Hazamin meluahkan apa yang terbuku di hati. “Alhamdulillah, kembimbangan tu beransur bila kami lihat perkembangan kesihatannya semakin baik lepas tu”
Namun, skrip Allah SWT itu cantik—kepedihan itu menjadi asbab kembalinya Hisyam, melengkapkan semula kepingan puzzle Inteam. Dan mereka dah tak menoleh kebelakang lagi dah.
Satu lagi fasa yang memeritkan apabila mereka terpaksa berdepan dengan zaman peralihan produk fizikal seperti CD dan kaset kepada dunia digital. Penggunaan Youtube, gejala ‘download’ dan kemunculan platform streaming benar-benar memberi tamparan hebat buat mereka.
“Bayangkan, empayar perniagaan kami yang selama ini bertunjangkan penjualan CD dan kaset tiba-tiba ‘lumpuh’. Aset menjadi liabiliti. Stok fizikal menimbun, tetapi pendengar sudah beralih ke alam maya.”
Hazamin menyifatkan fasa ini sebagai satu ‘kegawatan ekonomi yang teruk’—satu frasa sopan untuk menggambarkan detik nyawa-nyawa ikan bagi sesebuah syarikat rakaman.
Secara lebih terperinci, tempoh ini menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jualan fizikal, yang sebelum ini merupakan tunjang pendapatan utama syarikat rakaman. Cetak rompak digital yang berleluasa dan peralihan pengguna kepada platform perkongsian fail secara percuma telah melumpuhkan model perniagaan tradisional.
Ramai gergasi muzik tanah air tumbang dan gulung tikar di era transisi ini kerana gagal beradaptasi. Tetapi Inteam enggan menjadi ‘dinosaur’ yang pupus ditelan zaman. Mereka bangkit, belajar ‘berenang’ dalam gelombang teknologi baru, dan menyusun semula strategi.
Pertaruhan Segala-galanya
Bila kami tanya tentang konsert ini 25 Tahun Nur Kasih yang akan diadakan pada Ahad ini, tersimpan satu pertaruhan yang menggusarkan.
Cabaran utama konsert ialah mencapai sasaran jualan tiket dan sambutan tinggi, memandangkan kos penganjuran yang biasanya tinggi, kebanyakannya dibiayai modal sendiri dengan sedikit geran kerajaan. Oleh itu, strategi pemasaran, pengiklanan, dan kesedaran awam penting untuk memastikan konsert diketahui dan disokong melalui pembelian tiket.
“Ketika kami didekati oleh Iman Tang dari Icon Entertainment, sebuah nama yang tidak asing lagi dan dihormati dalam industri penganjuran acara di Malaysia, kami merasakan satu gelombang emosi yang bercampur-campur—rasa dihargai, diberi penghormatan yang tinggi, dan satu kesedaran baharu tentang potensi muzik nasyid”Kata Hazamin
Penglibatan ini merupakan bukti jelas bahawa genre nasyid bukan sahaja relevan, malah berhak mendapat tempat di pentas acara berprestij dan berskala besar.
Pendekatan strategik daripada tokoh seperti Iman Tang dan syarikat seperti Icon Entertainment telah membuka ruang signifikan untuk seni nasyid menembusi arus perdana. Sokongan padu peminat mengesahkan bahawa mesej nasyid bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga amat dinantikan oleh khalayak yang lebih luas.
Hazamin menjelaskan, “Oleh itu, kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Iman Tang dan seluruh pasukan Icon Entertainment. Kepercayaan mereka dalam membenarkan Inteam merealisasikan Konsert Nur Kasih ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah projek; ia adalah pengiktirafan penting terhadap genre nasyid. Sokongan padu ini telah membolehkan hasrat kami untuk mengangkat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi menjadi kenyataan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran acara nasyid di masa depan. Kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier kami.”
Pengiktirafan Gergasi & Legasi Masa Depan
Tetapi, adakah ini penamat Inteam? Tidak. Amin menegaskan selepas tirai di Axiata berlabuh, fokus mereka akan berevolusi—ke arah penerbitan, pencarian pelapis baru, dan misi antarabangsa.
Mereka mahu melihat pelapis baru bangkit, menjadi mainstream seperti era emas 1996-2000. Mereka mahu mewariskan legasi ini.
Namun untuk malam Ahad ini, ia adalah tentang Inteam. Ia adalah tentang meraikan puncak perjalanan suku abad mereka.
Seperti kata Amin: “Mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini.”
Jika anda mengaku peminat nasyid, anda wajib berada di sana. Kerana sejarah bakal tercipta.
Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi mengumumkan senarai lagu penuh yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan Inteam dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026.
Lebih mengujakan, konsert ulang tahun ke-25 ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang cukup istimewa merentas generasi, termasuk maestro muzik Datuk M.Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana, sekali gus memberi bayangan malam penuh kejutan, nostalgia dan momen sing-along yang tak mudah dilupakan.
Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihidangkan dengan deretan karya ikonik yang membina perjalanan Inteam selama lebih dua dekad. Antara lagu yang tersenarai ialah Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga dan lain-lain lagi.
Dengan gabungan set list yang sarat emosi dan tetamu jemputan yang pelbagai warna, Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih jelas bukan sekadar sebuah persembahan biasa tetapi sebuah “pertemuan semula” peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup ramai orang. Titik pertemuan inilah yang akan menyatukan seluruh peminat Inteam di malam konsert tersebut.
Setiap lagu yang akan dipersembahkan bukan hanya lontaran vokal semata-mata, sebaliknya ia dinyanyikan bersama memori kenangan yang akan turut bermain di minda penonton pada malam tersebut. Mungkin akan ada penonton yang terbayang momen sewaktu di zaman universiti, terkenang aktiviti gotong royong asrama di zaman sekolah dan tidak kurang juga memori sesi muhasabah program motivasi yang menggunakan lagu Damba Kasih dan lain-lain.
Kini, persoalannya tinggal satu: lagu mana yang paling anda tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai di Axiata Arena nanti?
Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan sahaja meriah dengan seleksi lagu yang dipertandingkan, malah ia menarik perhatian ramai pihak apabila artis solo versatil Hafiz Hamidun bergandingan dengan ikon dikir barat, Halim Yazid, menerusi lagu “Zikir Dikir.”
Keunikan “Zikir Dikir” terletak pada identitinya yang berani iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir dalam satu karya yang segar, mudah meresap dan dekat dengan jiwa.
Zikir Dikir adalah sebuah karya unik yang terhasil dari dua insan ikonik; Hafiz Hamidun dan Halim Yazid.
Di pentas ACI’25, gandingan Hafiz dan Halim terasa tepat pada tempatnya. Hafiz sememangnya dikenali sebagai penyanyi solo nasyid yang sinonim dengan rangkaian karya zikir dan terapi jiwa termasuk siri album “Zikir Terapi.” Manakala Halim Yazid pula sudah lama menjadi nama besar dalam Dikir Barat, dan kekal diingati ramai menerusi lagu malar segar “Anok Tupai.”
Persembahan mereka malam itu tampil bersahaja tetapi magis seolah-olah mengajak penonton “masuk” bersama getar zikir dan rentak dikir yang bersatu. Malah, dalam media sosial, ramai yang membuat hantaran gambar dan video menggambarkan suasana penonton yang sama-sama mengalun zikir ketika lagu itu dipersembahkan.
Lebih menarik, “Zikir Dikir” di ACI’25 turut diperkemaskan dengan susunan muzik yang segar menerusi iringan pemuzik orkestra dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, menjadikan persembahan terasa lebih grand tanpa menghilangkan roh tradisi yang dibawa Halim.
“Zikir Dikir” bukan sekadar satu lagu, ia menjadi simbol bagaimana nasyid boleh terus berevolusi: menghormati tradisi, namun tetap berani mencipta ruang baharu. Pada malam Anugerah Carta IKIMfm 2025, gabungan dua ikon ini membuktikan bila nasyid dan dikir dipertemukan dengan niat yang benar, hasilnya boleh jadi satu momen yang ikonik yang akan terus diingati.
Walau pun lagu ini tidak berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, tetapi persembahan ikonik ini akan terus tersemat dalam ingatan dan terpahat dalam sejarah industri nasyid itu sendiri.