Connect with us

Terkini

Selepas Aku Tanpa CintaMu 2021 Dapat Sambutan, Faizal Tahir Umum Ingin Berehat?

Diterbitkan

pada

“Saya akan terus berkarya tetapi bukan untuk saya”, kata-kata ini telah mengundang pelbagai reaksi apabila penyanyi, komposer dan penerbit muzik tersohor tanah air, Faizal Tahir mengumumkan bakal berehat panjang dari mengeluarkan sebarang produk sebagai seorang penyanyi.

Seperti memberikan petunjuk, baru-baru kita telah dikejutkan dengan kemunculan semula beliau bersama kumpulan nasyid Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021. Lagu tersebut telah mendapat sambutan yang begitu baik selepas memanjat #1 di carta Pop Terkini Spotify Malaysia dan #3 trending di YouTube dalam masa 3 Hari.

Selepas mengembalikan nostalgia kepada para peminat, Faizal Tahir sekali lagi mengejutkan netizen menerusi perkongsian beliau di laman media sosial yang mengatakan, “Sejak dari ‘Assalamualaikum’ pada tahun 2015, ianya seperti tiada rehat langsung untuk saya. Anatomi, Rojak, Qibla dan semua projek saya yang lain sememangnya sangat memberi kepuasan, Alhamdulillah tetapi saya benar-benar sudah keletihan.”

Perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi, ada yang mendoakan beliau supaya cepat kembali dan ada yang tidak percaya serta mahukan beliau meneruskan karier sebagai seorang penyanyi. Faizal telah mengesahkan bahawa dia ingin berehat panjang dan mahu fokus kepada keluarga, perniagaan, sambil terus bergerak dibelakang tabir.

Perjalanan Faizal Tahir selama 17 tahun di dalam industri muzik telah membuka pelbagai peluang dan jalan baru untuknya. Selain menguruskan hal peribadi, Faizal berkata beliau akan banyak meluangkan masa untuk mengerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkan olehnya untuk mencari pelapis dan mencungkil bakat baru dan bidang komposisi dan penerbitan muzik.

Bersempena dengan bulan Ramadan dan juga sebagai ‘hadiah terakhir’, Faizal dan syarikat rakamannya Faithful Music telah melancarkan sebuah box set berserta koleksi audio berjudul Qibla. Selain dari 3 buah lagu, terdapat juga 10 klip audio tadabbur yang dipilih dan dibaca oleh Faizal sendiri.

Lagu-lagu yang terdapat didalamnya adalah Aku Tanpa CintaMu 2021 bersama Mirwana, lagu baru berjudul Syahadah dan rakaman semula Ceria Aidilfitri bersama dengan Zizi Kirana dan kumpulan Darmas.

Kesemua lagu didalam koleksi audio ini adalah merupakan kerjasama bersama Universal Music Malaysia yang bertindak sebagai pengedar. Selain dari Aku Tanpa CintaMu 2021 yang telah dilancarkan pada 9 April, lagu-lagu yang lain akan mula berada di semua pelantar muzik digital dan YouTube secara berperingkat. Peminat boleh mula mendengarkan Syaha-dah pada 23 April, Borak Barang Baik: Versi Tadabbur pada 29 April dan Ceria Aidil-fitri pada 3 Mei secara digital.

Selain itu, box set ini juga mengandungi cenderahati istimewa seperti sampul duit raya, tasbih, kurma dan juga tudung selendang. Qibla hanya boleh didapati secara dalam talian di www.faizaltahir.com

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

Dakwaan Majlis Aqiqah dan Tahnik Tidak Ikut SOP, Ini Jawapan Siti Nurhaliza dan Respon Ustaz Azhar Idrus

Diterbitkan

pada

Rumah sudah siap, pahat pula masih berbunyi. Begitulah peribahasa yang boleh diungkapkan bagi menggambarkan kontroversi yang melanda Penyanyi Nombor Satu Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin berkenaan isu Majlis Tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa Bin Khalid. Setelah lebih seminggu majlis itu disempurnakan, tiba-tiba ia menjadi panas apabila segelintir netizen yang kurang senang dan melemparkan tuduhan kononnya majlis tersebut telah melanggar Prosedur Standard Operasi atau SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara berkaitan pencegahan penularan COVID-19.

Tidak mudah melatah dengan kritikan dan tuduhan yang tidak berasas, Siti pada hari ini tampil memberi kenyataan bagi menjawab tohmahan yang telah dilemparkan ke atas dirinya dan keluarga.

Berikut adalah kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh pihak Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan keluarga:-


Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Berhubung isu yang sedang  tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Dato Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu. 

Majlis juga terbahagi kepada 3 sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah.

Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak. Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik.


Diharapkan, kenyataan media ini menjawab segala persoalan yang telah ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu yang membangkitkan isu ini.

Perkara ini juga turut dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus menerusi satu video klip yang tersebar di media sosial pada hari ini:-

Kredit: Twitter @_rezarazali_

Menurut Ustaz Azhar Idrus, beliau telah mengenali Datuk Sri Khalid telah lama dan rumah ibu mertua Ustaz Azhar Idrus berada dikawasan kejiranan yang sama dengan rumah Datuk K. Tambahan, Ustaz Azhar Idrus turut mempunyai undangan kuliah agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebelum dan selepas tarikh majlis tersebut. Justeru, tidak timbul isu beliau merentas negeri semata-mata untuk hadir ke majlis Tahnik tersebut.

Diharapkan, kepada mereka yang telah terlanjur kata dan membuat dakwaan liar ini dapat bermuhasabah dan beristighfar. Manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan ini dengan perbanyakkan ibadah. – Munsyeed.

Continue Reading

Terkini

Halim Sangkal Dakwaan Guna Lagu Devotees Tarik ‘Crowd’ Ke Neurotic Studio

Diterbitkan

pada

Kredit: Halim Ahmad.

Bersempena bulan Ramadan yang sedang kita raikan, penyanyi solo versatil, Abd Halim Ahmad tampil dengan dua buah lagu baharu berjudul Bulan Keampunan dan MengenalMu.

Lagu Bulan Keampunan merupakan sebuah lagu yang dicipta berdasarkan doa yang pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Saidatina Aisyah r.a. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Tirmizi, baginda Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah r.a mengenai doa yang perlu dibaca sekiranya bertemu Malam Lailatul Qadar. Maka, Rasulullah s.a.w telah mengajarkan doa memohon keampunan ini. Rujuk gambar dibawah.

Sumber: Dr Ahmad Sanusi

Menerusi lagu Bulan Keampunan ini, Halim mengajak para pendengar untuk melazimi doa memohon keampunan ini yang sangat digalakkan untuk dibaca sepanjang bulan Ramadan. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Halim ini telah dimuatnaik di saluran YouTube Halim di Neurotic Studio.

Kolaborasi Halim bersama Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa

Lagu kedua, MengenalMu pula baru sahaja dilancarkan di Youtube Neurotic Studio pada 23 April lalu. Istimewanya, lagu MengenalMu ini merupakan ciptaan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Halim. Manakala lirik oleh Datuk Dr Ustazah Norhafizah.

Ustazah Norhafizah bukanlah nama asing dalam penciptaan lagu dan lirik. Walaupun ustazah terkenal dengan ceramah dan kuliah agama di seluruh Malaysia, Ustazah Norhafizah juga aktif menghasilkan lagu-lagu nasyid untuk dinyanyikan oleh penyanyi nasyid. Pada kali ini, Ustazah Norhafizah berkolaborasi dengan Halim dalam menghasilkan karya ini.

Maklumbalas pendengar terhadap lagu ini amat memberangsangkan. Ramai yang menyukai melodi lagu ini yang mendayu-dayu serta liriknya yang sangat menyentuh hati. Tambahan pula, Halim menyampaikan lagu ini dengan penuh penghayatan menjadikan lagu ini mudah menyentuh hati para peminat yang mendengarnya.

Halim bersama Silver Play Button yang diterima dari YouTube.

Neurotic Studio Terima Silver Play Button dari YouTube

Selain kemunculan dua lagu baharu ini, kami sempat mengucapkan tahniah kepada Halim di atas penerimaan Silver Play Button dari pihak YouTube. Penganugerahan ini merupakan satu pencapaian yang baik buat Halim dan Neurotic Studio.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Halim berkata, “Alhamdulillah, saya baru terima Silver Play Button dari YouTube. Ini (Silver Play Button) dianugerahkan kepada mereka yang (berjaya) cecah 100,000 subscribers. Saya dapati subscribers naik sewaktu saya release lagu Lembaran Juzuk Cinta nyanyian saya dan Furqan Fawwaz. Waktu itu, subscribers naik. Macam biasa bila lagu-lagu ni naik, dia bagi impak kepada subscribers. Tetapi ia bergantung kepada genre juga.”

“Sebagai contoh, nasyid. Pendengar nasyid ini, pada saya, dia tidak (terlalu) tegar sangat untuk subscribe channel YouTube berbanding dengan pendengar muzik lain. Jadi kalau dia dengar pun, dia dengar tetapi tidak subscribe. Atau dia dengar dan download kemudian tidak dengar lagi di YouTube. Jadi, tidak menyumbang sangat kepada perkembangan Youtube (untuk kandungan lagu nasyid),” ujar Halim.

“Bila saya beralih arah sikit, memandangkan usia, dulu peminat kita seusia, muda remaja, masing-masing sekarang sudah berkeluarga. So mereka punya passion untuk mendengar muzik itu berkurang sedikit. Lebih kepada mendengar zikir, selawat dan lain-lain. Jadi, saya ambil pendekatan itu untuk ubah haluan saya untuk lebih perbanyakkan content zikir, selawat, bacaan Al-Quran dan lain-lain seiring dengan usia dan permintaan pendengar. Bila saya buat macam itu, subscibers pun bertambah. Alhamdulillah, cecah 100,000 dengan cukup cepat dalam masa setahun.”

Halim Nafi Guna Lagu Devotees Tarik Peminat ke Neurotic Studio

Ketika ditanya mengenai kononnya Halim mempergunakan lagu-lagu Devotees untuk menarik subscribers ke saluran Youtube Neurotic Studio, Halim dengan tenang menafikan dakwaan liar tersebut. Menurut Halim, kedua-dua label Devotees Music Works dan Neurotic Studio tersebut adalah milik beliau dan tidak timbul isu berkenaan perkara tersebut.

“Devotees sekarang masih dibawah label Devotees Music Works (DMW) dan dia tak ada masalah pun (letak di Neurotic Studio) sebab DMW pun (daftar bawah) saya punya nama, saya sebagai owner dan Neurotic Studio pun saya sebagai owner. Jadi tiada apa-apa isu dan kami (Devotees) pun tidak ada sign apa-apa kontrak. So letak mana-mana pun kita punya content tak ada masalah.”

“Untuk channel Neurotic Studio, buat masa ini banyak content saya sebab saya yang mengendalikan seorang. Apa-apa projek ad hoc saya boleh buat terus, saya boleh upload terus tanpa perlu meeting semua. Saya sudah mula masukkan sedikit content Furqan. Tapi Furqan Fawwaz ini sedang dalam kontrak (dengan) Inteam (Records) jadi memang susah nak teruskan projek kedua. InshaAllah bila dia sudah habis kontrak nanti bolehlah banyak sedikit video dia di channel saya.

Rancang Cari Pelapis Nasyid

“Saya juga ada rancang nak ambil budak-budak baru. Kita buat macam Hijjaz buat dulu. Hijjaz dia sudah sampai satu tahap ‘sifu’, dia produce Inteam, Mestica, UNIC, Aeman semua. Jadi saya nak buat macam itu sebab kita tahu kita ni dah tak ada orang minat. Jadi kena sedar diri. Kita kena catch up dengan pendengar baru. Budak muda dia nak dengar artis muda.”

Halim juga turut berkongsi saluran YouTube peribadi beliau iaitu Halim Ahmad yang berbeza dengan Neurotic Studio. Menurut Halim, saluran Halim Ahmad lebih memberi fokus kepada kandungan-kandungan bukan muzik seperti sembang santai, info nasyid dan sebagainya.

“So far dari segi content, Neurotic Studio punya channel memang (fokus) muzik dan semua yang berkaitan muzik, zikir, selawat dan sebagainya. Sebab saya ada juga channel YouTube personal iaitu Halim Ahmad. Hari tu dia agak laju juga (kenaikan subscribers). Sudah boleh monetize, terlibat dengan partnership program. (Saluran) itu saya lebih (fokus kepada) bercerita dan content memang lain. Lebih kepada bercerita, berkongsi pengalaman, cerita pasal nasyid. Segala content selain menyanyi, kita akan letak disitu,” ulas Halim.

Kami di Munsyeed mengucapkan tahniah kepada Halim atas segala pencapaian dan usaha keras beliau selama ini. Semoga terus istiqamah mewarnai industri seni nasyid Malaysia. – Munsyeed

Continue Reading

Terkini

AEYDAN Tekad Sambung Legasi Perjuangan Rabbani

Diterbitkan

pada

Dahulunya mereka dikenali sebagai Rabbani Junior. Kini, setelah menjalani proses penjenamaan semula, 5 orang anak muda ini tampil dengan nama baharu – AEYDAN. 

AEYDAN merupakan kumpulan nasyid yang terdiri daripada 5 orang anak muda bernama Izwan Izzudin selaku ketua kumpulan, Ilham Fikri, Fardeen, Arif Haikal dan Alif Ehsan.

Rakam Semula Sebuah Lagu Nadamurni

Bernaung dibawah label Rabbani Productions, AEYDAN menghulurkan salam perkenalan kepada semua penggemar nasyid dengan merakamkan semula lagu Bulan Ramadhan Bulan Berkat nyanyian asal kumpulan Nadamurni. Lagu ini juga pernah dipopularkan oleh kumpulan Hijjaz dengan judul Ramadhan Bulan Berkat. 

Sejak dilancarkan di saluran Youtube Rabbani Productions, video muzik Ramadhan Bulan Berkat nyanyian AEYDAN mendapat maklumbalas yang cukup positif daripada para pendengar. Rata-rata memuji vokal dan penyampaian AEYDAN dalam lagu tersebut. 

Menurut AEYDAN, mereka merakamkan semula lagu ini bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat. 

Dari Rabbani Junior kepada AEYDAN

Kami sempat menemubual Izwan Izzudin, ketua kumpulan AEYDAN baru-baru ini. Ternyata Izwan begitu professional, tenang dan cepat mesra ketika ditemubual oleh kami. Bercerita mengenai penubuhan kumpulan AEYDAN, Izwan menjelaskan bahawa AEYDAN merupakan transformasi generasi pertama Rabbani Junior yang telah meningkat dewasa. 

“Kami merupakan 5 daripada 9 orang bekas anggota Rabbani Junior yang telah ditubuhkan pada 2010 dimana kami terdiri daripada anak anak kumpulan Rabbani sendiri. Saya anak kepada Azadan Rabbani, Ilham Fikri (anak) Almarhum Ustaz Asri Rabbani, Fardeen (anak) Rithaudeen Rabbani, Arif Haikal pula anak Rahmat Rabbani manakala Alif Ehsan adalah anak Nazrul Rabbani,” jelas Izwan.  

Dari kiri: Fardeen, Alif, Izwan, Ilham dan Haikal.
Dari kiri: Fardeen, Alif, Izwan, Ilham dan Haikal.

“Rabbani junior ditubuhkan ketika Konsert Mahabbah Gaza yang diadakan pada 10.Julai.2010 serentak dengan Hari Ulangtahun yang ke-9 IKIM.FM.”

“Kami tubuhkan kumpulan AEYDAN adalah kerana kami (ingin) membuat ‘rebranding’ nama kumpulan Rabbani Junior, selepas lahirnya generasi pertama untuk Rabbani Junior. Masing masing umur sudah meningkat (dewasa). Itu antara sebab mengapa kami mengubah nama kepada AEYDAN. Walaubagaimanapun, Rabbani Junior masih ada, tapi untuk generasi adik adik kami pada masa akan datang. Sepertimana Nadamurni melahirkan Rabbani, Hijjaz dan juga Raihan,” ujar Izwan.

Mengulas mengenai pemilihan nama AEYDAN, Izwan berkata, “Nama AEYDAN ini terhasil daripada beberapa nama yang kami sudah senaraikan. Jadi kami pilih nama ini kerana sesuai dengan semangat kami. AEYDAN yang bermaksud pemuda yang bersemangat.”

AEYDAN Penyambung Legasi Rabbani

Tambah Izwan, AEYDAN tidak gusar jika dikatakan sebagai bayangan kumpulan Rabbani atau meniru Rabbani. Malah, mereka berbangga untuk menjadi penerus legasi kumpulan Rabbani. 

“Kami akan mengekalkan konsep genre Nasyid kontemporari sepertimana Rabbani sampaikan. Cuma kami akan pelbagaikan, lebih modern dan mengikut trend sekarang. Apa yang pasti penyampaian mesej itu sampai ke hati pendengar.”

“Apa yang kami cuba sampaikan adalah dimana AEYDAN atau anak anak Rabbani ini mampu menggalas tanggungjawab menyambung legasi dan warisan ayahanda kami. Dan dalam masa yang sama, kami mensasarkan kepelbagaian dalam genre dan juga dari sudut penyampaian persembahan mengikut trend semasa. Kami anak anak Rabbani, dan kami AEYDAN – The new Future of Rabbani Legacy. Amin insyaAllah.”

“Kami berharap agar lagu Ramadhan Bulan Berkat ini sampai ke hati para pendengar, mesej yang kita cuba sampaikan mengenai kemuliaan bulan Ramadhan.”

“Insya Allah, hari raya nanti akan keluar satu lagi lagu yang berjudul Suara Takbir. Lagu yang dipopularkan seniman tanahair iaitu (Tan Sri) P. Ramlee. Rabbani juga pernah tampil (menyanyikan) lagu ini,” kata Izwan.

Untuk menghubungi AEYDAN, anda boleh menghantar email ke: [email protected] Bagi urusan persembahan dan media, boleh hubungi Izwan di 019 707 6441. Boleh ikuti perkembangan terkini AEYDAN di Instagram: @aeydanofficial_

Continue Reading

Trending