Selepas Amir The Chosen One, Kini Ustaz Amirul Fikri Gilap Bakat “Kumpulan Narasi” Melalui Lagu Sebening Kasih
Kumpulan Narasi bersama Ustaz Amirul Fikri
Kumpulan nasyid “Narasi” dari Sekolah Kebangsaan Basia Lama, Gerik, Perak, telah mencuri perhatian ramai sejak penubuhannya pada awal tahun 2024.
Diasaskan oleh Ustaz Amirul Fikri, yang pernah mengasah bakat juara “The Chosen One” Astro, Amir Sisi, kumpulan ini pada awalnya ditubuhkan dengan tujuan untuk menyertai Pertandingan Adab dan Nilai anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menariknya, “Narasi” terdiri daripada gabungan murid Melayu dan Orang Asli, iaitu Mulhim, Iman, Shafiq, Noh, Ammar, Erdy, Iswandy, dan Hazman.
Kepelbagaian latar belakang ini memperkayakan persembahan mereka dengan elemen budaya yang unik.
Sejak penubuhannya, “Narasi” telah mencapai beberapa kejayaan membanggakan. Antaranya, mereka berjaya meraih tempat keempat dalam Festival Nasyid peringkat Negeri Perak 2024 dan tempat ketiga dalam Pertandingan Nasyid Karnival Fitrah Murid Orang Asli peringkat Kebangsaan 2024.
Selain itu, mereka telah melancarkan single berjudul “Sebening Kasih”, hasil ciptaan komposer Ustaz Amirul Fikri dan lirik oleh Cikgu Ahmad Faiz.
Lagu “Sebening Kasih” yang berlandaskan sukatan pelajaran adab Pendidikan Islam sekolah rendah, khususnya mengenai adab terhadap keluarga, telah mendapat pengiktirafan apabila memenangi anugerah lagu dan lirik terbaik dalam pertandingan nasyid Karnival Fitrah Murid Orang Asli peringkat Negeri Perak 2024.
Selain itu, lagu ini juga dianugerahkan emas dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan peringkat Negeri Perak 2024.
Dengan bimbingan berterusan daripada Ustaz Amirul Fikri dan sokongan padu daripada warga Sekolah Kebangsaan Basia Lama, “Narasi” terus berusaha mengangkat martabat seni nasyid sambil memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.