Berlangsung di Hotel Singgahsana jam 3 ptg semalam (20 Julai 2011), adalah Majlis Sidang Media Konsert Ana for Gaza dan Ramadhan Bersama Rabbani. Majlis ini juga disebut sebagai sidang media “4 dalam 1” kerana ia bertujuan untuk merasmikan Konsert Ana for Gaza dan Pelancaran Tabung gaza, melancarkan Produk Terbaru Ana Edar Sdn Bhd, melancarkan Ramadhan & Kesejagatan Iftar Hotel Singgahsana dan upacara Menandatangani Memorandum Persetujuan antara Hotel Singgahsana dan Kumpulan Rabbani.
Antara yang hadir dalam sidang media ini adalah En. Luqman Othman, Pengarah Urusan Ana Edar Sdn Bhd; Tuan Haji Rohizan Zainal, Pengurus Besar Hotel Singgahsana PJ; Pn. Nik Aziah, Timb. Pengarah Galeri ilmu, Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin, Pengerusi Haluan Palestin; Ust Sohibul Fadhil dan wakil-wakil dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nasyeed.com dan IKIM fm.
Penganjur utama Konsert Ana for Gaza iaitu Rabbani Productions Sdn Bhd dan Ana Edar Sdn Bhd berkata, konsert in bertujuan untuk mengutip dana sumbangan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza. Konsert ini akan menampilkan barisan kumpulan nasyid terkemuka tanah air seperti Rabbani, Inteam, Nowseeheart, Aisyah, Dato’ Ustazah Norbahyah Mahmud, dan Datuk Dr. Ibrahim Ghafar.
Konsert Ana for Gaza akan diadakan pada 30 Julai 2011 di Stadium Terbuka Kajang. Bayaran masuk adalah percuma. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk Karnival Ana for Gaza yang akan berlangsung sepanjang 29 hingga 31 Julai 2011 di tapak stadium tersebut.
Penonton yang bakal hadir akan dipersembahkan dengan nyanyian, sketsa, pendeklamasian sajak dan puisi, serta penceritaan pengalaman dan perasaan sukarelawan misi bantuan keamanan ke Gaza yang diserang rejim Zionis baru-baru ini. tabung-tabung untuk mengutip dana akan diedarkan semasa persembahan sedang diadakan.
Mengenai Ramadhan bersama Rabbani pula, pihak Hotel Singgahsana Petaling Jaya berbesar hati mengadakan promosi berbuka puasa (iftar) dengan tema “Ramadhan dan Kesejagatan Iftar di Singgahsana”. Sambil berbuka, pengunjung akan didendangkan dengan irama nasyid “live” oleh Rabbani dan juga beberapa kumpulan nasyid terkemuka tanah air.
Selari dengan temanya iaitu “kesejagatan” atau “universal”, pihak hotel akan menghidangkan 200 jenis hidangan istiemewa dari pelbagai negara iaitu Moroco, Pakistan, Rusia, Cina, Jepun, Palestin, Itali dan tak lupa juga pelbagai hidangan istimewa tempatan. Selain itu juga, pengunjung berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan. Sebanyak 10 cabutan bertuah akan dibuat setiap hari sepanjang Ramadhan.
Rabbani mempersembahkan lagu Intifadha’
Pelancaran Tabung Gaza
Pelancaran produk terbaru Ana Edar Sdn Bhd, susu kambing Power Goat.
Rabbani menandatangani memorandum persetujuan bersama Hotel Singgahsana Petaling Jaya