Demi meneruskan langkah dalam industri muzik dan dakwah tanah air, kumpulan nasyid Simfoni kini mempertaruhkan single terbaru berjudul TERUS.
Lagu TERUS merupakan hasil ciptaan komposer Ahmad Fadzli Bakar dan lirik oleh penulis lirik terkenal, ITO Lara.
Menurut salah seorang anggota kumpulan Simfoni, lagu ini dicipta untuk mengajak para pendengar supaya tidak pernah berputus asa walau dalam apa jua cabaran dan rintangan yang dihadapi dalam kehidupan.
“TERUS merupakan sebuah lagu yang dicipta untuk menyuntik semangat kepada pendengar supaya bangkit dan tidak mudah mengalah dalam apa jua situasi sukar yang dilalui dalam hidup. Setiap cabaran yang dilalui harus dijadikan penguat untuk bangkit dan tidak berhenti dalam usaha memperbaiki diri dari segala aspek samaada kerjaya, pembangunan diri, keluarga, pendidikan dan sebagainya” ujar Firdaus menjelaskan maksud di sebalik lagu ini.
Simfoni Kagum Dengan Sifat Professional Ezad Lazim
Menariknya, Simfoni tidak bersendirian dalam menyampaikan lagu TERUS ini. Simfoni digandingkan bersama penyanyi yang tidak asing lagi, Ezad Lazim.
“Untuk Single kali ini, kami turut berkolaborasi dengan penyanyi legenda dari band popular 90-an iaitu Ezad Lazim dari kumpulan Exists,” cerita Imtiaz.
“Kami memilih Ezad sebagai rakan duet kerana lontaran vokal dan aura dimiliki Ezad dilihat mampu memberi rasa dan variasi vokal yang menarik dalam penyampaian lagu yang bergenre pop seperti Ini” Jawab Anas pula apabila ditanya kenapa Ezad Lazim menjadi pilihan duet bersama Simfoni.
“Kita sebenarnya berhasrat untuk duet dengan Ezad pada tahun 2017. Kami ada sampaikan hasrat tersebut tetapi idea tersebut tidak kesampaian atas beberapa faktor yang tidak mengizinkan. Tambahan Ezad agak sibuk dengan single dan jadual promo lagu beliau yang agak padat pada ketika itu.”
“Pada tahun 2020, selepas Ezad tidak terikat dengan mana-mana kontrak syarikat rakaman, beliau kembali mengutarakan semula idea duet kepada Simfoni yang tertangguh sebelum ini. Akhirnya perancangan ini direalisasikan menerusi lagu TERUS.”
Bercerita mengenai proses rakaman bersama Ezad, Simfoni nyata teruja dengan sifat professionalisme Ezad dan mereka banyak belajar daripada Ezad selaku penyanyi berpengalaman.
“Sehari sebelum rakaman, Simfoni ke rumah Ezad untuk sesi latihan. Keesokannya pula adalah sesi rakaman di Novarts Studio. Kita boleh lihat betapa professionalnya Ezad Lazim di dalam sesi rakaman lagu. Penghayatan (dalam menyampaikan lagu) yang cukup baik sama ada sewaktu proses rakaman mahupun sewaktu sesi latihan.”
TERUS – Hadiah Fadzli Buat Ifham Simfoni
Mengulas mengenai kerjasama bersama Ahmad Fadzli Bakar atau lebih dikenali sebagai Fadzli Far East, Simfoni menjelaskan bahawa lagu TERUS ini adalah hadiah Fadzli kepada salah seorang anggota kumpulan Simfoni, Ifham.
“Lagu TERUS juga sebenarnya merupakan hadiah dari Fadzli Far East kepada saya atas kemenangan saya menerusi pertandingan nyanyian semula lagu Fadzli Far East berjudul ‘Carilah Aku di Neraka’ pada tahun 2019. Saya memilih untuk menyanyikan lagu hadiah kemenangan ini bersama kumpulan saya iaitu Simfoni” tambah Ifham.
Video muzik lagu TERUS merupakan arahan pengarah video muzik berpengalaman, Fairus Zainal bersama juru video, Ahmad Nasuha dari NSPIXTURES. Proses penggambaran telah dijalankan di sekitar negeri Kedah Darul Aman. Antara tempat menarik yang menjadi pilihan adalah Cafe The Place by DECO, Dewan Besar Ukir Mall, dan Masjid Sharifah Fatimah Jitra yang baru dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia 2020.
Ditanya mengenai harapan kumpulan Simfoni terhadap lagu ini, Hazran menjawab “Kami mengharapkan lagu ini akan diterima ramai peminat, khususnya peminat kami sendiri serta peminat irama nasyid dan lagu-lagu ketuhanan, serta dapat mengambil iktibar dari mesej yang kami cuba sampaikan”
Video Muzik Lagu TERUS boleh ditonton di laman Youtube rasmi Inteam Digital pada 16 April 2021 dan boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, Itunes, Deezer, Kkbox atau menerusi permintaan lagu di stesen-stesen radio yang ada.
Sebarang maklumat lanjut atau undangan persembahan boleh berhubung dengan saudara Firdaus Naim di talian 010-2001559 atau emel kepada [email protected]. – Munsyeed
Kumpulan nasyid tersohor, Inteam, bakal mengembangkan lagi pengaruh mereka di persada antarabangsa menerusi Kembara New Zealand 2025.
Menerusi wawancara bersama Hazamin Inteam baru-baru ini, beliau mendedahkan bahawa kumpulan nasyid itu akan berada di New Zealand selama lapan hari, bermula 3 hingga 11 April 2025, untuk beberapa program istimewa.
Antara agenda utama mereka di sana adalah dua persembahan khas yang akan membawa mesej kedamaian dan ukhuwah Islamiah:
Persembahan pertama bersama NGO Asturlab, sebuah komuniti Muslim di New Zealand.
Persembahan kedua bersama komuniti Melayu anjuran An-Nida Trust di Christchurch, berdekatan Masjid Al Noor – lokasi tragedi berdarah yang meragut nyawa 51 syuhada dalam insiden tembakan pada 2019.
Selain itu, perjalanan kembara ini turut menjadi medan bagi Inteam untuk merakamkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di New Zealand serta rakaman video Akustik Inteam 2025.
Menurut Hazamin, kedua-dua kandungan eksklusif ini akan dimuatkan dalam aplikasi Khair, menjadikannya platform eksklusif bagi peminat menonton kandungan istimewa ini.
Sebelum ini, Inteam pernah berkolaborasi dengan Apps Khair dan menghasilkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di Perth, dan kali ini, jelajah mereka ke New Zealand dijangka lebih istimewa dengan penceritaan yang lebih mendalam mengenai perjalanan dakwah dan seni mereka.
Menariknya, trip ini ditaja sepenuhnya oleh Apps Khair dan Qudwah Group, dua entiti yang turut menyokong misi dakwah dan hiburan berlandaskan Islam.
Dengan kembara ini, nama Inteam dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai ikon nasyid yang bukan sahaja relevan di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Semoga perjalanan ini membawa manfaat dan inspirasi kepada semua!
Selepas hampir sedekad tanpa album baharu, kumpulan nasyid Saff One kembali menghangatkan industri dengan pelancaran sebuah mini album zikir bertajuk Zikir Nurani.
Kali terakhir mereka tampil dengan album penuh adalah pada tahun 2016, dan kini mereka kembali dengan konsep zikir harian yang lebih segar dan moden.
Menampilkan lima anggota – Qhalid, Fauzan, Fuzaimi, Malik dan Fahim – Zikir Nurani memuatkan empat lagu iaitu Doa Arafah, Doa Kemudahan & Murah Rezeki, Doa Mula Belajar dan Zikir Subhanallah Walhamdulillah Allahuakbar.
Setiap lagu menampilkan doa dan zikir harian yang biasa diamalkan, tetapi disusun dengan melodi yang lebih harmoni serta susunan muzik yang lebih dinamik.
Mengikut perkembangan semasa, EP ini dilancarkan secara digital dan boleh distrim di semua platform muzik utama seperti Spotify, Apple Music, Deezer, dan YouTube Music.
Selain itu, video lirik dan muzik rasmi turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Saff One Official.
Menurut Saff One, idea menghasilkan album zikir ini lahir daripada data penstriman digital yang menunjukkan lagu-lagu zikir mendapat jumlah pendengar yang tinggi.
Beberapa karya terdahulu mereka seperti Doa Khatam Quran dan Zikir Hasbunallah Wa Ni’mal Wakil juga menerima sambutan luar biasa, sekaligus mengukuhkan keputusan untuk meneruskan penghasilan karya berkonsepkan zikir pada masa hadapan.
Dengan pelancaran Zikir Nurani, Saff One menyeru peminat untuk terus menyokong dan menstrim lagu-lagu Islamik di platform digital bagi membantu perkembangan industri nasyid, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
Jangan lupa untuk mendengar Zikir Nurani sekarang dan rasai sendiri ketenangan dalam alunan zikir mereka!
Kumpulan nasyid Mestica kembali dengan sebuah karya yang membawa pendengar mengimbau keindahan alunan selawat klasik menerusi lagu Selawat Badar.
Kali ini, mereka berkolaborasi dengan kumpulan Pawana, yang menyumbangkan kepakaran dalam permainan alat perkusi bagi menghidupkan semula suasana nasyid tradisional kontemporari yang popular sejak era 80-an.
Di bawah seliaan Syamsul Ridhuan selaku penerbit eksekutif, projek ini turut mendapat sentuhan Khairul Mestica dan Amin Nordin sebagai penerbit.
Rakaman, adunan serta mastering dilakukan oleh Amin Nordin di Smart Audio Studio, memastikan kualiti bunyi yang terbaik untuk mengangkat pesona karya ini.
Kekuatan utama lagu ini terletak pada keunikan gandingan Mestica sebagai vokalis utama dan Pawana yang mengiringi dengan paluan alat perkusi, menghasilkan sebuah lagu nasyid yang begitu dekat di hati peminat.
Rata-rata peminat memuji lagu ini kerana mengetengahkan instrumen muzik perkusi sepenuhnya. Konsep ini pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid legenda; Raihan sehingga meletakkan nama Raihan sebagai artis nasyid terkenal di peringkat antarabangsa.
Di sesetengah negara pula, penggunaan instumen muzik perkusi di dalam lagu nasyid lebih mendapat perhatian kerana keunikan instrumen muzik tersebut dan fahaman mazhab komuniti Islam di negara tersebut.
Sebelum itu, Mestica turut melancarkan Selawat Adnani hasil gandingan mantap bersama kumpulan Pawana.
Dengan konsep yang sama; nasyid tradisional kontemporari, alunan selawat ini turut mendapat perhatian peminat nasyid yang gemar dengan alunan selawat yang diiringi instrumen muzik perkusi.
Bagi peminat nasyid yang merindui alunan selawat dalam gaya yang autentik, jangan lepaskan peluang untuk menikmati persembahan istimewa ini. Sollu ’alan Nabiy!