Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu berkuatkuasa 15 Februari 2024. Pelantikan ini telah diumumkan oleh Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut YB Menteri, pelantikan Syed Kamarulzaman dibuat setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Syed Kamarulzaman adalah seorang jurutera elektronik dan komputer dan telah bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama lebih dari 33 tahun.”
“Beliau merupakan seorang tokoh dan intelektual Islam yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi selain memikul amanah sebagai panel pemikir dan penasihat kepada beberapa organisasi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan di media sosial beliau.
Tambah Dr Na’im lagi, Syed Kamarulzaman juga adalah Yang Dipertua Persatuan Falak dan Syarie Malaysia dimana beliau telah terlibat dalam mereka bentuk dan membina jam matahari selama hampir 15 tahun. Salah satunya dinamakan Mizwalah TaHa yang terletak di Kompleks Tabung Haji, Sepang, Selangor.
“Jam mataharinya dirancang untuk menjadi arca berfungsi yang boleh dijadikan sebagai alat bantu pedagogi dalam mengajar astronomi. Mizwalah TaHa yang direka beliau telah memenangi penghargaan dan anugerah di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2023, beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul 2023 atas jasa dan bakti dalam membangunkan bidang astronomi Islam di Malaysia.
“Sesungguhnya pengalaman luas Tuan Haji Syed Kamarulzaman seorang tokoh dan intelektual Islam amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan MAIWP,” ujar beliau.
Disamping itu, Dr. Na’im turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar atas sumbangan dan baktinya sewaktu mengemudi MAIWP sebagai Pengerusi.
“Pada masa yang sama, saya juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Mohd Daud Bakar atas segala bakti dalam perkhidmatan yang diberikan dalam memimpin MAIWP bagi sesi 2021-2024.”
Sumber: Kenyataan Media YBM Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)