“Tiada pilih kasih…” – TV Alhijrah Tolak Dakwaan Campur Tangan Keputusan Anugerah Carta 114
Meskipun sudah 2 minggu Anugerah Carta 114 melabuhkan tirainya, namun kehangatan malam anugerah yang julung kalinya diadakan itu masih dapat dirasai. Persembahan para finalis pada malam tersebut masih diulang tonton oleh para peminat di media sosial. Pun begitu, sepertimana anugerah lain, Anugerah Carta 114 tidak lari dari kontroversi.
Dalam sebuah artikel pojok tulisan Epal Pedas, timbul rasa tidak puas hati penulis tersebut kononnya juri telah terkhilaf apabila mengambil kira faktor kemanusiaan dan isu semasa sebagai antara faktor yang mengangkat lagu Selimut Kasih nyanyian Inteam sebagai juara. Menurut Epal Pedas, penjurian sepatutnya mengambil kira faktor komposisi sesebuah lagu dan lirik dalam menentukan juara pada malam tersebut. Apabila juri mengambil kira isu semasa sebagai salah satu faktor dalam penjurian, maka ianya seolah-olah menafikan lagu-lagu lain yang turut berentap pada malam kemuncak tersebut. Juga kononnya timbul campur tangan TV Alhijrah dalam menentukan keputusan pada malam anugerah tersebut.
Tidak mahu isu ini berpanjangan, maka kami telah menghubungi pihak TV Alhijrah bagi mendapatkan respon mereka mengenai isu ini.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TV Alhijrah, Zulkarnaen Mokhtar, TV Alhijrah menghormati tugas juri professional dan penjurian lebih kepada persembahan pada malam tersebut. “Bila ada orang komen macam ini, itu tandanya dia ambil berat dengan program kita (TV Alhijrah). Pada malam itu, penjurian lebih tertumpu kepada persembahan malam itu dan penciptaan lagu merangkumi susunan muzik, lirik dan penyampaian vokal.”
“Bila penulis (Epal Pedas) sebut pasal tema, sebenarnya tiada elemen tema pun. Cuma mungkin ada yang peka dengan isu semasa. Jadi apabila dia buat persembahan, dia cuba kaitkan atau bawa isu semasa itu. Kalau lihat pada malam tersebut, ada yang bawa isu Palestin, ada yang bawa isu kanak-kanak istimewa. Jadi, itu kreativiti artis sendiri. Di pihak TV Alhijrah, kita tidak letak apa-apa tema. Semuanya diserahkan kepada kebijaksanaan juri professional. Sama ada ia (isu semasa) mempengaruhi juri, itu diluar kawalan produksi. Kami (TV Alhijrah) tidak meletakkan sebegitu.”
“Kita ada banyak lagu yang masuk dalam carta. Ada kategori yang dinilai sebelum malam kemuncak Anugerah Carta 114. Pada malam kemuncak, hanya 3 kategori sahaja yang dipertandingkan dan dinilai berdasarkan persembahan finalis di malam tersebut. Macam Lirik Terbaik, juri buat penilaian sebelum malam anugerah lagi. Tak sama dengan lagu. Lagu kita nilai pada malam anugerah, macam mana ia dibawa, susunan muzik, kreativiti mereka pada malam tersebut.”
Tambah beliau lagi, “Tiada isu pilih kasih kerana TV Alhijrah tidak ada favourite artis. Kita juga bukan recording label yang kita nak menangkan artis tertentu sahaja. Jadi, kalau dilihat, kita tiada kepentingan sebenarnya. Kita hanya nak memartabatkan industri nasyid.”
“Segala teguran atau input yang sesiapa bagi, kita akan ambil kira untuk tambah baik. Kita telus dan kita mahu tunjuk yang kita memang betul-betul telus dalam penganjuran ini,” ulas Zulkarnaen.
Dalam pada itu, penerbit bersama program Carta 114, Azhary Ahmad menyifatkan isu ini lebih kepada salah faham semata-mata.
“Itu sebenarnya salah faham. Sebenarnya tidak terlintas di hati kami (TV Alhijrah) untuk menjadikan (isu kemanusiaan) sebagai tema. Anugerah ini adalah tentang lagu. Cuma kebetulan, juara lagu pada malam tersebut (mengetengahkan) isu kemanusiaan, isu semasa.”
“Selain Selimut Kasih, lagu Fitri Haris juga (berkenaan) isu semasa dan lagu-lagu lain juga. Tidak semestinya lagu cinta itu terhad. Boleh jadi cinta kepada Tuhan, kepada Rasul. Ianya luas.”
“Kalau kita dengar lagu itu (Selimut Kasih), lagu itu memang terbaik dari segi susunan muzik dan lirik. Yang bawa lagu itu pun Inteam. Jadi isu semasa itu lebih kepada kebetulan sahaja.”
“Sejak awal program Carta 114 lagi, tiada ketetapan untuk tema itu diangkat atau sebaliknya. Malah, isu semasa ini pun baru sahaja timbul. Sedangkan carta sudah berjalan lama (setahun).”
Menjawab isu kononnya pihak produksi campur tangan dalam isu penjurian, Azhary bingkas menafikan dakwaan tersebut. “Kita ini TV Islam, kenapalah kita nak buat orang (pilih kasih) macam itu. Prinsip kami telus. Kami boleh sahaja nak pilih siapa yang (kami mahu) menang. Kalau kami nak rating naik, kami boleh sahaja panggil artis-artis popular (untuk jadi finalis). Tetapi sebab kami telus dalam pemilihan lagu yang bertanding. Lagu yang lebih menonjol, dari segi penjurian dan undian. Kami telus sebab nanti nak jawab kat akhirat.”
“Pada malam itu, kita ada 3 juri professional dan kita ada auditor dari luar. Juri (masing-masing) sudah beri markah, auditor yang akan buat kerja di bilik lain, dia akan kira. Juri pun tidak tahu siapa yang akan menang (sebab masing-masing beri markah berdasarkan penilaian sendiri). Jadi, TV Alhijrah tidak terlibat langsung dalam penentuan Juara, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pada malam tersebut. Kita serah sepenuhnya kepada juri professional dan ada penglibatan auditor luar yang dilantik.”
Musim Kedua Carta 114 TV Alhijrah
Bercerita mengenai Carta 114 Musim Kedua, Azhary berkongsi berita baik buat artis dan penggiat muzik nasyid dan ketuhanan. “Berdasarkan sambutan baik yang diterima, alhamdulillah musim kedua Carta 114 telah diluluskan dan akan diteruskan. Rakaman akan bermula 30 Januari 2024 dan akan mula bersiaran pada 17 Februari 2024.”
“Sepertimana musim pertama, musim kedua juga akan bersiaran selama 47 minggu sebelum lagu-lagu terpilih diangkat untuk ke Anugerah Carta 114. “Pengacara kita masih kekalkan Jalal Zaki.”
“Siapa yang ada karya, orang baru atau orang lama, nasyid atau lagu ketuhanan, saya nak jemput untuk hantar pencalonan. Kita angkat karya mereka. Yang penting ada lagu dan ada video muzik di Youtube. Jadi, peminat boleh dengar dan tonton video muzik dan menaikkan views video muzik itu juga sebenarnya.”
“Untuk musim pertama, kita buka penyertaan untuk lagu-lagu (yang dihasilkan) dari 2019 hingga 2022. Untuk musim kedua pula, kita buka penyertaan untuk lagu-lagu dari 2022 yang belum pernah masuk lagi, dalam carta hingga terkini.”
“Boleh hantarkan butiran seperti tajuk lagu, penyanyi, nama komposer, nama penulis lirik, pautan ke muzik video di Youtube dan juga lirik lagu penuh kepada kami di cartatvalhijrah@gmail.com. Karya-karya akan diproses untuk melayakkan ke pencalonan dalam Carta 114. Lagu yang tiada muzik video tidak akan diterima, ujar Azhary.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.