Wildan – Usah Berpaling Lagi
2013 menyaksikan Wildan kembali dengan sebuah album kompilasi Sedekad Wildan dengan mengenengahkan lagu Usah Berpaling Lagi sebagai single. Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, Wildan telah berjaya menghasilkan dua buah album penuh iaitu Kasih Sayang (2002) dan Setia (2008).
Wildan yang membawa maksud pelayan syurga; kini diterajui oleh tiga orang pemuda iaitu.Zaidie (ketua kumpulan), Hazar dan Razi.
Penghasilan album kedua (Setia) yang kemudiaannya pernah dicalonkan untuk kategori album nasyid terbaik di majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 16, menyuntik semangat kepada Wildan untuk menghasilkan karya yang terbaik.
Single Terbaru: Usah Berpaling Lagi
Atas kerjasama antara Wildan Production dan NC Records, maka album Sedekad Wildan direalisasikan dengan imej yang lebih matang. Melihat dan meneliti kepada persembahan kulit album dan bait-bait lirik lagu yang diangkat menjadi single terbaru Wildan, single Usah Berpaling Lagi ternyata membawa isyarat dan mesej halus yang ingin disuarakan.
Kemunculan ini seolah-olah mengkhabarkan kepada orang ramai khususnya kepada industri nasyid tanah air bahawa Wildan kini kembali dengan rentak perjuangan mereka dan akan terus berusaha tanpa menoleh kisah semalam di samping tekad mendepani segala onak duri cabaran.
Senilagu Usah Berpaling Lagi dihasilkan sendiri oleh Zaidie Wildan, salah seorang vokalis Wildan bersama Zhizen Azharie manakala lirik dicipta sepenuhnya oleh Zaidie Wildan.
15 Track Lagu
Menghimpunkan 15 buah lagu koleksi terbaik Wildan antaranya seperti Setia Seorang Isteri, Wajah Di Hati, Kau Permata, Di Pusara Bonda dan lain-lain, tarikan utama album ini pastinya menerusi single terbaru Wildan, Usah Berpaling Lagi. Lagu ini pastinya menjadi simbolik kepada kesinambungan perjuangan Wildan.
Wildan Ajak Peminat Berkaraoke
Album yang berkonsepkan pop kontemporari ini diharapkan mampu memberikan kepuasan maksima kepada semua. Dalam masa yang sama, Wildan Production dan Neway Karaoke Box telah menjalinkan usahasama dengan mengambil lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album Sedekad Wildan: Usah Berpaling Lagi ini untuk turut dimasukkan di dalam rangkaian lagu-lagu pilihan di semua cawangan Neway Karaoke Box.
Para peminat nasyid kini boleh menyanyikan lagu-lagu Wildan di semua rangkaian Neway Karaoke Box seperti di Berjaya Time Square (Kuala Lumpur), CEO Fahrenheit 88 (Kuala Lumpur), One Utama (Damansara), Jaya Square (Subang), Casa Square (Puchong), Cheras Plaza, Centro Mall (Kelang), Queensbay Mall (Pulau Pinang) dan City Square (Johor Baharu).
Album yang diterbitkan melalui usaha sama Wildan Production & NC Records ini boleh didapati di pasaran dengan harga RM 20.90. Sedekad Wildan juga diedarkan bersama oleh NC Records dan Warner Music (M) Sdn Bhd.
Jangan lupa dapatkan album kompilasi terbaru Wildan!
– Munsyeed{Dot}Com