Connect with us

Berita

TV AlHijrah Edar Bubur Lambuk, Santuni Masyarakat

Diterbitkan

pada

Hijrah Prihatin Bubur Lambuk menyantuni masyarakat

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan mengukuhkan persaudaraan dan menyemai kasih sayang sesama insan. Dengan semangat itu, TV AlHijrah akan meneruskan inisiatif Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, sebuah program yang bukan sekadar mengedarkan juadah berbuka puasa tetapi juga menjadi jambatan untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan. 

Program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk pada tahun ini akan berlangsung di dua lokasi utama, iaitu Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka, dengan setiap lokasi membawa keunikan dan keistimewaannya tersendiri. Keindahan bersedekah dan berkongsi rezeki akan dizahirkan dalam program ini, selari dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya saling membantu, lebih-lebih lagi dalam bulan penuh keberkatan ini.

Di Lembah Klang, pengagihan bubur lambuk akan dibuat di beberapa lokasi tumpuan termasuk Flat Taman Mulia, Cheras (19 Mac), Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), serta Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac). Masyarakat sekitar, termasuk golongan asnaf, jemaah masjid, pelajar tahfiz serta petugas barisan hadapan, bakal menerima agihan bubur lambuk ini dalam suasana penuh kemesraan dan kesyukuran. 

Program ini turut mendapat sokongan rakan penaja seperti MYTV, selain disemarakkan dengan kehadiran sukarelawan, personaliti, dan warga kerja TV AlHijrah yang akan berganding bahu dalam penyediaan serta pengedaran bubur lambuk. Gotong-royong memasak dan mengacau bubur lambuk bukan sekadar satu tugas, tetapi akan menjadi simbol kebersamaan, melambangkan ukhuwah yang erat antara semua yang terlibat.

Keistimewaan program ini lebih terserlah di Pulau Sebang, Melaka, apabila TV AlHijrah akan bekerjasama dengan KTMB bagi membawa semangat keprihatinan ke kawasan selatan tanah air. Pada 14 Mac, Masjid Aleyah Kuala Ina akan menjadi lokasi utama di mana kakitangan KTMB bersama pasukan Hijrah Prihatin serta sukarelawan akan bersatu tenaga memasak bubur lambuk sebelum mengedarkannya kepada penumpang KTM dan penduduk sekitar Pulau Sebang.

Namun, program ini tidak akan berakhir di situ. Pada sebelah malam, pasukan Hijrah Prihatin akan berbuka puasa bersama jemaah masjid, berkongsi nikmat rezeki dalam suasana penuh keinsafan dan kesyukuran. Kebersamaan yang terjalin di meja iftar ini akan menghidupkan kembali tradisi Ramadan yang sebenar,  saling berbahagi, memberi tanpa mengharap balasan, dan merasai nikmat berbuka bersama dalam suasana penuh harmoni.

Menurut Muhammad Sazri Abd Sani, Pengurus Hal Ehwal Korporat merangkap Pengurus Projek Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, program ini bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi satu simbol kasih sayang yang ingin dikongsi bersama masyarakat. Sebagai stesen televisyen Islam utama di Malaysia, TV AlHijrah bukan sekadar menyalurkan dakwah menerusi siaran televisyen, tetapi turut aktif dalam program-program kemasyarakatan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam. 

“Kami di TV AlHijrah percaya bahawa Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menzahirkan rasa keprihatinan kepada mereka yang memerlukan. Dengan adanya program ini, kami berharap agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati keindahan berbuka puasa dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

“Kami yakin,  program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk  ini bukan hanya sekadar semangkuk bubur lambuk. Ia akan membawa mesej kepedulian yang mendalam. Kami mahu sampaikan mesej bahawa sumbangan ini adalah  lambang kasih sayang kami kepada masyarakat umumnya dan penonton setia TV AlHijrah khususnya,” katanya.

Dengan berlangsungnya Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi jambatan kebaikan, menyebarkan kasih sayang serta mengukuhkan nilai ukhuwah dalam masyarakat sepanjang bulan Ramadan. Program ini bukan sekadar sebuah acara tahunan, tetapi satu usaha berterusan bagi memastikan semangat berbagi rezeki dan menyantuni mereka yang memerlukan terus mekar dalam jiwa umat Islam.

TV AlHijrah juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama menjayakan program-program kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai Hijrah Prihatin Bubur Lambuk dan aktiviti program-program menarik sepanjang Ramadan, orang ramai boleh melayari laman rasmi TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com atau mengikuti media sosial rasmi TV AlHijrah.

Teruskan bersama TV AlHijrah sepanjang Ramadan ini untuk merasai keindahan berkongsi rezeki, menghayati makna sebenar kasih sayang dan menyebarkan kebaikan dalam bulan yang penuh keberkatan.

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Diterbitkan

pada

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang berderet diadakan sejak setahun dua ni. Ella, KRU, M. Nasir. Semuanya sold out dan menjadi bualan pmerhati muzik tanah air. Viral, tak boleh move on, tu yang diperkatakan

Dan untuk Inteam, Ahad ini di Axiata Arena, ia adalah segala-galanya. Kali ini lebih besar daripada konsert tahun lepas di Idea Live Damansara. Rasanya, konsert solo artis nasyid terbesar yang pernah dianjurkan di tanah Air.

Dalam satu pengakuan yang cukup jujur dan menyentuh hati, anggota kumpulan Inteam, Hazamin tidak berselindung tentang magnitud acara ini. Bagi mereka, Konsert Nur Kasih bukan sekadar satu lagi show dalam kalendar tahunan.

“Ini boleh jadi kemuncak kepada kejayaan dan karier kami,” akui Hazamin.

Kata-kata itu berat. Ia membawa makna bahawa selepas 25 tahun mengemudi bahtera nasyid, Ahad ini adalah puncak kepada apa yang telah mereka bina selama ini. “Kami sebelum ini tidak pernah bermimpi sebegitu. Jadi tak salah kalau kita katakan ini boleh jadi konsert terbesar kami, mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini,” tambahnya.

Darah, Keringat & Air Mata

Bagi kami di Munsyeed yang mengenali susuk kumpulan Nasyid ini secara peribadi lebih 20 tahun, kami melihat sendiri dengan mata kepala kami saat jatuh bangun mereka. Bermula dari duduk dibawah Hijjaz Records, kemudian bertatih sendiri dengan Inteam Records Sdn Bhd.

Mereka membina empayar mereka sendiri. Segala apa yang difikir boleh jalan, mereka redah sahaja. Dari penerbitan album, mengasah bakat-bakat baru, hingga ke penjualan buku dan produk-produk lain. Semua mereka dah lalui

Untuk sampai ke kemuncak show berskala besar, apatah lagi di venue prestij Axiata ini, laluan yang mereka daki untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Inteam telah berjalan melalui lurah dan jurang. Naik turun adalah benda biasa bagi Inteam. 

Orang luar hanya nampak kilauan lampu pentas, tetapi Hazamin tampil membuka cerita tentang “fasa gelap” yang hampir menamatkan riwayat kumpulan ini.

“Detik paling rapuh? Ketika tonggak utama, Syahril jatuh sakit. Inteam ibarat hilang separuh nyawa”Tanpa berselindung Hazamin meluahkan apa yang terbuku di hati. “Alhamdulillah, kembimbangan tu beransur bila kami lihat perkembangan kesihatannya semakin baik lepas tu” 

Namun, skrip Allah SWT itu cantik—kepedihan itu menjadi asbab kembalinya Hisyam, melengkapkan semula kepingan puzzle Inteam. Dan mereka dah tak menoleh kebelakang lagi dah.

Satu lagi fasa yang memeritkan apabila mereka terpaksa berdepan dengan zaman peralihan produk fizikal seperti CD dan kaset kepada dunia digital. Penggunaan Youtube, gejala ‘download’ dan kemunculan platform streaming benar-benar memberi tamparan hebat buat mereka.

“Bayangkan, empayar perniagaan kami yang selama ini bertunjangkan penjualan CD dan kaset tiba-tiba ‘lumpuh’. Aset menjadi liabiliti. Stok fizikal menimbun, tetapi pendengar sudah beralih ke alam maya.”

Hazamin menyifatkan fasa ini sebagai satu ‘kegawatan ekonomi yang teruk’—satu frasa sopan untuk menggambarkan detik nyawa-nyawa ikan bagi sesebuah syarikat rakaman. 

Secara lebih terperinci, tempoh ini menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jualan fizikal, yang sebelum ini merupakan tunjang pendapatan utama syarikat rakaman. Cetak rompak digital yang berleluasa dan peralihan pengguna kepada platform perkongsian fail secara percuma telah melumpuhkan model perniagaan tradisional.

Ramai gergasi muzik tanah air tumbang dan gulung tikar di era transisi ini kerana gagal beradaptasi. Tetapi Inteam enggan menjadi ‘dinosaur’ yang pupus ditelan zaman. Mereka bangkit, belajar ‘berenang’ dalam gelombang teknologi baru, dan menyusun semula strategi. 

Pertaruhan Segala-galanya

Bila kami tanya tentang  konsert ini 25 Tahun Nur Kasih yang akan diadakan pada Ahad ini, tersimpan satu pertaruhan yang menggusarkan.

Cabaran utama konsert ialah mencapai sasaran jualan tiket dan sambutan tinggi, memandangkan kos penganjuran yang biasanya tinggi, kebanyakannya dibiayai modal sendiri dengan sedikit geran kerajaan. Oleh itu, strategi pemasaran, pengiklanan, dan kesedaran awam penting untuk memastikan konsert diketahui dan disokong melalui pembelian tiket.

“Ketika kami didekati oleh Iman Tang dari Icon Entertainment, sebuah nama yang tidak asing lagi dan dihormati dalam industri penganjuran acara di Malaysia, kami merasakan satu gelombang emosi yang bercampur-campur—rasa dihargai, diberi penghormatan yang tinggi, dan satu kesedaran baharu tentang potensi muzik nasyid”Kata Hazamin

Penglibatan ini merupakan bukti jelas bahawa genre nasyid bukan sahaja relevan, malah berhak mendapat tempat di pentas acara berprestij dan berskala besar.

Pendekatan strategik daripada tokoh seperti Iman Tang dan syarikat seperti Icon Entertainment telah membuka ruang signifikan untuk seni nasyid menembusi arus perdana. Sokongan padu peminat mengesahkan bahawa mesej nasyid bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga amat dinantikan oleh khalayak yang lebih luas.

Hazamin menjelaskan, “Oleh itu, kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Iman Tang dan seluruh pasukan Icon Entertainment. Kepercayaan mereka dalam membenarkan Inteam merealisasikan Konsert Nur Kasih ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah projek; ia adalah pengiktirafan penting terhadap genre nasyid. Sokongan padu ini telah membolehkan hasrat kami untuk mengangkat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi menjadi kenyataan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran acara nasyid di masa depan. Kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier kami.”

Pengiktirafan Gergasi & Legasi Masa Depan

Tetapi, adakah ini penamat Inteam? Tidak. Amin menegaskan selepas tirai di Axiata berlabuh, fokus mereka akan berevolusi—ke arah penerbitan, pencarian pelapis baru, dan misi antarabangsa.

Mereka mahu melihat pelapis baru bangkit, menjadi mainstream seperti era emas 1996-2000. Mereka mahu mewariskan legasi ini.

Namun untuk malam Ahad ini, ia adalah tentang Inteam. Ia adalah tentang meraikan puncak perjalanan suku abad mereka.

Seperti kata Amin: “Mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini.”

Jika anda mengaku peminat nasyid, anda wajib berada di sana. Kerana sejarah bakal tercipta.

Continue Reading

Berita

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Diterbitkan

pada

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi mengumumkan senarai lagu penuh yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan Inteam dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026.

Lebih mengujakan, konsert ulang tahun ke-25 ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang cukup istimewa merentas generasi, termasuk maestro muzik Datuk M.Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana, sekali gus memberi bayangan malam penuh kejutan, nostalgia dan momen sing-along yang tak mudah dilupakan.

Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihidangkan dengan deretan karya ikonik yang membina perjalanan Inteam selama lebih dua dekad. Antara lagu yang tersenarai ialah Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga dan lain-lain lagi.

Dengan gabungan set list yang sarat emosi dan tetamu jemputan yang pelbagai warna, Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih jelas bukan sekadar sebuah persembahan biasa tetapi sebuah “pertemuan semula” peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup ramai orang. Titik pertemuan inilah yang akan menyatukan seluruh peminat Inteam di malam konsert tersebut.

Setiap lagu yang akan dipersembahkan bukan hanya lontaran vokal semata-mata, sebaliknya ia dinyanyikan bersama memori kenangan yang akan turut bermain di minda penonton pada malam tersebut. Mungkin akan ada penonton yang terbayang momen sewaktu di zaman universiti, terkenang aktiviti gotong royong asrama di zaman sekolah dan tidak kurang juga memori sesi muhasabah program motivasi yang menggunakan lagu Damba Kasih dan lain-lain.

Kini, persoalannya tinggal satu: lagu mana yang paling anda tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai di Axiata Arena nanti?

Continue Reading

Berita

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Diterbitkan

pada

Hafiz Hamidun dan Halim Yazid. Sumber: Arteffects Media.

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan sahaja meriah dengan seleksi lagu yang dipertandingkan, malah ia menarik perhatian ramai pihak apabila artis solo versatil Hafiz Hamidun bergandingan dengan ikon dikir barat, Halim Yazid, menerusi lagu “Zikir Dikir.”

Keunikan “Zikir Dikir” terletak pada identitinya yang berani iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir dalam satu karya yang segar, mudah meresap dan dekat dengan jiwa.

Zikir Dikir adalah sebuah karya unik yang terhasil dari dua insan ikonik; Hafiz Hamidun dan Halim Yazid.

Di pentas ACI’25, gandingan Hafiz dan Halim terasa tepat pada tempatnya. Hafiz sememangnya dikenali sebagai penyanyi solo nasyid yang sinonim dengan rangkaian karya zikir dan terapi jiwa termasuk siri album “Zikir Terapi.” Manakala Halim Yazid pula sudah lama menjadi nama besar dalam Dikir Barat, dan kekal diingati ramai menerusi lagu malar segar “Anok Tupai.”

Persembahan mereka malam itu tampil bersahaja tetapi magis seolah-olah mengajak penonton “masuk” bersama getar zikir dan rentak dikir yang bersatu. Malah, dalam media sosial, ramai yang membuat hantaran gambar dan video menggambarkan suasana penonton yang sama-sama mengalun zikir ketika lagu itu dipersembahkan.

Lebih menarik, “Zikir Dikir” di ACI’25 turut diperkemaskan dengan susunan muzik yang segar menerusi iringan pemuzik orkestra dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, menjadikan persembahan terasa lebih grand tanpa menghilangkan roh tradisi yang dibawa Halim.

“Zikir Dikir” bukan sekadar satu lagu, ia menjadi simbol bagaimana nasyid boleh terus berevolusi: menghormati tradisi, namun tetap berani mencipta ruang baharu. Pada malam Anugerah Carta IKIMfm 2025, gabungan dua ikon ini membuktikan bila nasyid dan dikir dipertemukan dengan niat yang benar, hasilnya boleh jadi satu momen yang ikonik yang akan terus diingati.

Walau pun lagu ini tidak berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, tetapi persembahan ikonik ini akan terus tersemat dalam ingatan dan terpahat dalam sejarah industri nasyid itu sendiri.

Kredit gambar: Arteffects Media.

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2025 Munsyeed Edutainment