Connect with us

Berita

TV AlHijrah Rangkul Dua Anugerah Berprestij, Angkat Dunia Penyiaran Islam

Diterbitkan

pada

TV AlHijrah baru-baru ini telah berjaya meraih dua anugerah yang mengiktiraf usaha dan dedikasinya dalam penyiaran kandungan Islam di Malaysia.

Anugerah pertama adalah Anugerah Kecemerlangan Penciptaan Kandungan Islam,
anjuran Halal Development Corporation (HDC). Pengiktirafan ini membuktikan komitmen TV AlHijrah dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang selaras dengan prinsip Islam, sekaligus memperkukuhkan lagi peranan stesen ini sebagai peneraju media Islamik di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, menyatakan kesyukurannya atas pengiktirafan yang diterima ini sambil menegaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama seluruh pasukan TV AlHijrah yang gigih berusaha untuk menghasilkan kandungan bermanfaat, mendidik dan memberi aspirasi kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, pengiktirafan ini adalah hasil usaha gigih setiap warga kerja TV AlHijrah yang ikhlas dan komited menyampaikan mesej Islam yang membawa kebaikan.

“Ia juga menjadi dorongan bagi kami untuk terus memperkayakan variasi kandungan Islamik dan memperbanyakkan lagi konten-konten halal yang boleh memberi manfaat kepada ummah,” katanya dalam ucapannya pada hari tersebut.

Nadzariah turut berkongsi rasa bangga atas kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang baru sahaja diterima, menambah lagi kepada pencapaian luar biasa stesen ini tahun ini.

“Kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 baru-baru ini benar-benar mengukuhkan lagi reputasi kami dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang membawa mesej kebaikan dan inspirasi. Kami bersyukur atas pengiktirafan ini dan komited untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia 2023, anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation (HDC), telah memberi penghormatan kepada TV AlHijrah atas sumbangan dalam penyebaran kandungan berteraskan Islam. Anugerah ini disampaikan oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Pegawai-pegawai kanan TV AlHijrah turut hadir bagi meraikan detik bersejarah ini.

Selain TV AlHijrah, beberapa syarikat lain seperti Zus Coffee, Muslim Pro, Safi, Mamee, dan Wardah turut menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing. Majlis tahunan ini bertujuan mengiktiraf pemain industri halal yang menyumbang secara signifikan dalam memajukan ekonomi Islam serta memartabatkan industri halal di Malaysia dan peringkat global.

Anugerah yang disampaikan meliputi kategori seperti Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal, Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Halal, Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal, Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal, dan Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam. Kejayaan ini merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan nilai-nilai Islam terus dihormati dan diperkasa dalam pelbagai sektor.

Semoga TV AlHijrah terus maju dalam menyampaikan dakwah yang penuh hikmah, mengukuhkan jiwa ummah, dan memperluaskan lagi konten-konten halal yang Islami, inklusif, dan dekat di hati penonton.

Berita

“Baru raya ke-3, sudah berjauhan dengan keluarga…” – Inteam Penuhi Jemputan Persembahan di New Zealand

Diterbitkan

pada

Kumpulan nasyid tersohor, Inteam, bakal mengembangkan lagi pengaruh mereka di persada antarabangsa menerusi Kembara New Zealand 2025.

Menerusi wawancara bersama Hazamin Inteam baru-baru ini, beliau mendedahkan bahawa kumpulan nasyid itu akan berada di New Zealand selama lapan hari, bermula 3 hingga 11 April 2025, untuk beberapa program istimewa.

Antara agenda utama mereka di sana adalah dua persembahan khas yang akan membawa mesej kedamaian dan ukhuwah Islamiah:

  • Persembahan pertama bersama NGO Asturlab, sebuah komuniti Muslim di New Zealand.
  • Persembahan kedua bersama komuniti Melayu anjuran An-Nida Trust di Christchurch, berdekatan Masjid Al Noor – lokasi tragedi berdarah yang meragut nyawa 51 syuhada dalam insiden tembakan pada 2019.


Selain itu, perjalanan kembara ini turut menjadi medan bagi Inteam untuk merakamkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di New Zealand serta rakaman video Akustik Inteam 2025.

Menurut Hazamin, kedua-dua kandungan eksklusif ini akan dimuatkan dalam aplikasi Khair, menjadikannya platform eksklusif bagi peminat menonton kandungan istimewa ini.

Sebelum ini, Inteam pernah berkolaborasi dengan Apps Khair dan menghasilkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di Perth, dan kali ini, jelajah mereka ke New Zealand dijangka lebih istimewa dengan penceritaan yang lebih mendalam mengenai perjalanan dakwah dan seni mereka.

Menariknya, trip ini ditaja sepenuhnya oleh Apps Khair dan Qudwah Group, dua entiti yang turut menyokong misi dakwah dan hiburan berlandaskan Islam.

Dengan kembara ini, nama Inteam dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai ikon nasyid yang bukan sahaja relevan di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Semoga perjalanan ini membawa manfaat dan inspirasi kepada semua!

Continue Reading

Berita

“Idea pada tahun 2023, rakam pada tahun 2024, video muzik pula 2025…” – Manisnya Syawal Berjaya Raih Perhatian Peminat

Diterbitkan

pada

Manisnya Syawal

Sempena sambutan Aidilfitri, industri muzik tanah air dimeriahkan dengan pelancaran single raya terbaru berjudul Manisnya Syawal.

Lagu yang sarat dengan kemeriahan dan kegembiraan Syawal ini dinyanyikan oleh Ustaz Manis, atau nama sebenarnya Ustaz Mohd Fadhly Hasbulah, bersama beberapa artis nasyid ternama – Azhary Ahmad, Razin, dan Khalil dari kumpulan Mestica.

Menariknya, Manisnya Syawal pada asalnya dirancang sebagai lagu solo Ustaz Manis. Namun, setelah perbincangan bersama penerbit bersama, Amin Nordin, tercetuslah idea untuk memperkayakan karya ini dengan gabungan suara harmoni daripada artis nasyid lain.

Keputusan ini bukan sahaja memberikan hasil produksi yang lebih segar, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan sesama peminat nasyid tanah air.

Perjalanan produksi lagu ini juga cukup unik. Ia mula digarap seawal Syawal 2023, sebelum proses rakaman diteruskan pada tahun 2024 dengan penambahan artis kolaborasi.

Rakaman muzik video pula disempurnakan pada Ramadan 2025, menjadikan projek ini mengambil masa yang cukup panjang untuk dihasilkan.

Hal ini kerana jadual padat Ustaz Manis sebagai seorang guru dan penceramah bebas, selain faktor lokasi beliau yang menetap di Pulau Pinang.

Antara komen yang diberikan oleh para pendengar di YouTube
Antara komen yang diberikan oleh para pendengar di YouTube

Pun begitu, hasilnya nyata tidak mengecewakan apabila lagu ini berjaya dihasilkan dengan baik sekali hasil sentuhan Amin Nordin dan tim produksi yang lain dari Smart Audio. Lagu ini mendapat maklum balas yang positif di kalangan pendengar.

Keseluruhan produksi audio visual Manisnya Syawal dijalankan di Smart Audio Studio, Bukit Raja, Klang. Amin Nordin bukan sahaja bertindak sebagai penerbit bersama, malah turut memainkan peranan sebagai komposer, editor, dan videografer bagi muzik video lagu ini.

Dengan harapan besar, Manisnya Syawal diharap dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Ayuh, nikmati kemanisan Syawal dengan alunan merdu daripada Ustaz Manis, Azhary, Razin Mestica, dan Khalil Mestica.

Selamat Hari Raya!

Continue Reading

Berita

Vijay Sambut Syawal Di Kampung Bersama Intisor, Citrawi, Syamsul Aidil dan Fourwords

Diterbitkan

pada

Kehangatan Aidilfitri bukan hanya tentang kemeriahan dan kegembiraan, tetapi juga nilai persaudaraan yang merentasi kaum dan agama.

Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi muzik video Syawal Mulia, yang menampilkan pempengaruh terkenal Vijay Thirackumar sebagai model dan pengisi suara (voice-over).

Dalam video muzik ini Vijay membawa watak sebagai seorang lelaki berbangsa India yang mempunyai seorang bapa saudara beragama Islam.

Bapa saudaranya amat mengharapkan kepulangannya ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama saudara-mara yang sudah lama tidak bertemu.

Sebagai seorang anak saudara yang baik, Vijay berusaha sedaya mungkin untuk pulang dan menyantuni keluarga Muslimnya, mencerminkan eratnya hubungan kekeluargaan yang tidak terbatas pada agama.

Perpaduan dalam Kepelbagaian
Menurut Ustaz Samad dari kumpulan Intisor, kehadiran Vijay dalam muzik video ini membawa mesej yang lebih besar – memperlihatkan bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam harmoni, saling menghormati adat resam dan kepercayaan masing-masing.

“Kita mahu menunjukkan bahawa walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya, perpaduan tetap boleh dicapai melalui nilai-nilai murni dan kasih sayang dalam keluarga,” ujar beliau.

Selain itu, Vijay juga dikenali sebagai seorang pempengaruh bukan Islam yang meminati muzik nasyid serta budaya Melayu-Islam.

Kehadirannya dalam Syawal Mulia menampilkan sisi unik dalam industri hiburan tempatan dan menjadi bukti bahawa keindahan seni boleh menyatukan hati tanpa mengira perbezaan.

Muzik video Syawal Mulia kini boleh ditonton di platform YouTube. Saksikan bagaimana Vijay membawa watak penuh makna ini dan raikan keindahan Aidilfitri dengan mesej perpaduan yang menyentuh hati!

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2024 Munsyeed Edutainment