Zain Bhikha dan Rashid Bhikha dalam kempen Water For Life
Penyanyi nasyid terkenal dari Afrika Selatan, Zain Bhikha dan anaknya Rashid Bhikha telah berganding bahu bersama Islamic Relief bagi menggerakkan kempen Water For Life untuk penduduk Republik Mali yang menghadapi masalah krisis air. Zain dan Rashid bakal menyertai cabaran berbasikal dari Vietnam ke Kemboja yang dianggarkan sejauh 400km.
Cabaran berbasikal ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia ke atas krisis air yang menimpa penduduk Mali. Ia juga bertujuan meningkatkan dana untuk kempen Water For Life yang dilancarkan bagi membantu penduduk Mali.
Zain Bhikha dan Rashid Bhikha
Menurut Zain Bhikha, beliau dan anaknya, Rashid berharap agar cabaran berbasikal ini dapat dijalankan dengan baik dan dana yang diperlukan dapat dikumpulkan untuk penduduk Mali.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas sokongan, tajaan, bantuan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh anda semua. Tidak dilupakan, Oasis Crescent di Afrika Selatan yang menaja peralatan berbasikal kami sepanjang tempoh cabaran ini.” kata Zain Bhikha dalam kenyataan medianya.
Zain Bhikha turut memaklumkan yang 64% daripada keseluruhan dana yang diperlukan telah berjaya dikutip setakat ini.
“Alhamdulillah, setakat ini sebanyak £64,334.96 berjaya dikumpulkan untuk tabung Water For Life. Kira-kira 64% telah berjaya dikumpulkan dan kami berharap ia semakin bertambah dari hari ke sehari supaya ia mencecah sasaran kami.” jelas Zain.
Disamping itu, Zain Bhikha turut menerbitkan sebuah lagu khas untuk kempen ini berjudul Water For Life nyanyian Zain Bhikha dan anaknya, Rashid Bhikha. Lagu istimewa ini boleh dimuat turun secara percuma di laman SoundCloud disini: Water For Life.
– Munsyeed{Dot}Com
p/s: Teringat Showcase Shuhada At-Taqwa yang digerakkan oleh artis nasyid Malaysia melalui persatuan mereka, Munsyid Malaysia awal Jun 2011. 🙂