Munsyeed cuba mendapatkan respon artis mengenai isu Artis Demand Untuk Show Amal yang telah disiarkan di Munsyeed{Dot}Com baru-baru ini. Jom kita ikuti pandangan bernas artis-artis mengenai isu kontroversi ini.
Hafiz Hamidun Gesa Wujud Garis Panduan Elak Artis Dieksploitasi

Hafiz Hamidun
InsyaAllah tiada masalah bagi artis-artis atau selebriti nak sertai program amal. Tiada paksaan. Pada saya, sekiranya jemputan itu dirasakan bermanfaat, tiada halangan, bernilai tambah, membuka prospek, apa salahnya. Banyakkanlah sertai program amal kerana banyak hikmah disebalik program amal.
Tentang bayaran, terpulanglah di antara budi bicara penganjur dan selebriti. Para artis atau selebriti perlu tahu jika program amal, jadi pada dasarnya segalanya dibuat atas keikhlasan. Tetapi, kena berpada-pada dalam membuat keputusan.
Antara pihak penganjur dan artis / selebriti perlu ada toleransi. Contohnya; jika artis/ selebriti menetap di Kuala Lumpur dan program amalnya di Johor Bahru, program malam pula tu, patut ada rundingan tentang kos-kos yang terlibat. Transport, hotel, makan minum.
Yang menjadi masalahnya, apabila penganjur program amal ini yang mula terbuat untung. Untung sendiri pula tu. Banner, poster artis / selebriti pula dieksploitasi sebesar-besarnya, kadang-kadang tanpa pengetahuan pihak artis/selebriti. Bukan tak pernah terjadi, banyak kes.
Jadi, kalau penganjur menggunakan artis/ selebriti sebagai daya penarik untuk program mereka, artis perlu di bayar sewajarnya. Ini tidak salah. Ini adalah pekerjaan dan perlu dinilai sebaiknya.
Saya mencadangkan beberapa garis panduan jika para penganjur ingin menggunakan selebriti / artis sebagai daya penarik program amal mereka (Contoh: Makan Malam Amal, Kutipan Dana).
a) Artis/ Selebriti:- Penampilan selebriti di pentas harus tidak menjadi kewajipan. Sekiranya dimasukkan di dalam tentatif, maka artis/ selebriti perlu dibayar, sesuai dengan pekerjaan yang dilakukan. (Contoh sebagai duta, jurucakap, performer dan sebagainya). Cadangan harga penampilan selebriti di atas pentas untuk program amal boleh bermula serendah RM1000 sehingga RM10,000, bergantung kepada skala program.
b) Daya tarikan serta jaringan social network yang ada pada selebriti/ artis boleh menjayakan misi penganjur. Nilaikan berdasarkan capaian jaringan sosial artis (jumlah pengikut di Facebook / Twitter / dan sebagainya). Jadi, pihak penganjur boleh bekerjasama dengan artis/selebriti untuk menggunakan jaringan sosial yang ada supaya dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.
———————————————————————-
Keredhaan Dua Belah Pihak Perlu, Elak Artis Dieksploitasi – Amin Inteam

Amin Inteam
Pendapat saya, mungkin berlaku salah faham istilah konsert amal, hakikatnya konsert amal ialah konsert yang diadakan bagi menarik orang ramai datanga beramal dan menyumbang. Bukannya konsert untuk artis dijemput yang beramal.
Tidak sedikit penganjur yang memahami konsep ini, mereka mempunyai bajet dan mencari penaja bagi menanggung kos membayar PA system, dewan, catering, artis dan yang berkaitan. Mereka dapat membayar artis dengan bayaran sewajarnya dan dapat pula mengutip dana dengan hasil jualan tiket atau meja yang diadakan.
Harus difahami, artis yg dijemput adalah sebagai crowd puller dan pengisi program yang mereka adakan. Adalah satu yang sangat patut dihargai sekiranya artis tersebut bersetuju untuk menurunkan sedikit kadar bayaran mereka dengan tujuan meningkatkan lagi hasil kutipan dana penganjur. Artis juga, sekiranya mereka memikirkan adalah wajar untuk mereka sokong sesuatu acara amal, sepatutnyalah bagi mereka mengurangkan kadar bayaran mereka.
Cuma perlu berhati-hati dan teliti, kerana ada juga penganjur atau orang tengah yang mengambil kesempatan dengan menggunakan istilah amal untuk mengaut keuntungan peribadi. Pernah terjadi, orang tengah mendapat bayaran 2 kali ganda dari apa yang dibayarnya kepada artis.
Seharusnya kedua pihak berlapang dada dengan keputusan masing-masing. Sekiranya artis yang dimahukan tidak bersedia menurunkan harga, cuba saja artis yang lain. Bukankah Islam mengajar dalam urusan muamalat mestilah ada keredaan kedua belah pihak?
Wallahua’lam.
———————————————————————-
AIDIL Sering Menjadi Mangsa Eksploitasi ‘Show Amal’ – Fadzli AIDIL

Fadzli AIDIL
Bagi saya show amal dari dulu lagi sudah dipandang serong oleh sesetengah golongan masyarakat.
Kami dari dulu lagi tidak pernah demand dalam hal ini. Tidak kira artis nasyid atau artis biasa, konsert atau show amal itu still kena dibayar dengan setimpalnya oleh pihak penganjur.
Namun tidak dapat dinafikan, ada lagi penganjur yang masih mengambil kesempatan dengan perkataan”amal”. Akibatnya, kami golongan artis tidak dibayar atau kalau bernasib baik dibayar secara token.
Atas dasar perjuangan, tidak dapat dinafikan kadang-kadang kami terima tawaran kerana memikirkan perjuangan tanpa mengambil kira jumlah bayaran yang SEPATUTNYA.
Kami Aidil @ Ideal, 10 tahun didalam industri ini, nasyid kadang kala dianak tirikan dari segi pembayaran.
Pemantauan dan pengiktirafan sepatutnya diadili dengan saksama.
Secara konklusi, kami mengeluarkan album dengan kos dan wang ringgit. Sepatutnya pihak penganjur dan masyarakat tidak memandang enteng tentang hal ini.
———————————————————————-
Artis Golongan Professional, Perlu Wujud ‘Win-win Situation’ – Muadz Dzulkefly

Mu’adz Dzulkefly
Pandangan saya, kejujuran pihak yang menganjur, pihak ketiga yang mengurus jemputan artis dan artis itu sendiri sama penting. Semua artis rakaman ada kos yang perlu ditanggung dalam suatu acara dan fi persembahan yang perlu dibiaya.
Tidaklah artis nasyid itu dijemput kecuali mereka adalah golongan profesional yang memberikan servis mereka dalan suatu event seperti seorang motivator, ahli silap mata, ahli akrobat atau penari kebudayaan yang punya fi tersendiri bergantung kebolehpasaran masing-masing. Tinggal lagi yang penting juga adalah pengurusan artis yang harus ‘deal‘ sebaik mungkin untuk mewujudkan situasi ‘win win’ dan membantu penganjur dengan idea bagaimana untuk mendapatkan ‘funding’.
Terkadang ada yang kurang atau tidak tahu, ada pula yang mengaut keuntungan berlebihan, disitu peranan pengurusan artis untuk mencadang menolak atau menerima sesuatu jemputan dalam suasana yang baik. Wallahua’lam.
———————————————————————-
Kita sudah dengar apa yang telah dikongsikan oleh Atie Zam dalam episod pertama Artis Demand Untuk Show Amal Bahagian 1. Kita juga sudah dengar pandangan artis mengenai isu ini. Untuk lebih adil, pihak Munsyeed akan usaha dapatkan respon daripada beberapa syarikat event management mengenai isu ini. (Syarikat tersebut tidak semestinya pernah terlibat dalam menganjurkan program-program amal)
– Munsyeed{Dot}Com