Categories: InternationalKhas

Biodata Maher Zain

Maher Zain di Maher Zain Live In Concert 2010

Penyanyi dan komposer; Maher Zain merupakan bintang baru di arena muzik Islamik moden yang muncul dengan lagu-lagu yang penuh bermakna, bertujuan untuk memberi inspirasi sambil menghiburkan pendengar dengan mesej keamanan dan harapan terhadap dunia masa kini.

Beliau meninggalkan kerjaya mewahnya di dalam industri muzik arus perdana di New York. Beliau pernah bekerja dengan produser antarabangsa yang terkenal iaitu RedOne yang turut pernah terlibat dengan artis-artis popular seperti Akon, Lady Gaga, Enrique Iglesias, Michael Jackson serta ramai lagi. Maher Zain akhirnya telah memilih untuk menghasilkan karya muzik yang mencerminkan asal-usulnya sebagai seorang rakyat Eropah yang berketurunan Arab dan juga seorang Muslim. Beliau telah bekerjasama dengan Awakening Records (yang pernah melancarkan kerjaya artis British; Sami Yusuf) bagi memberi sumber inspirasi untuk para remaja seluruh dunia. Pada awal Mac 2010, album debut Maher Zain berjudul “Thank You Allah” (diterbitkan oleh Awakening) telah berjaya mendapat kedudukan No. 1 dalam carta jualan album terlaris di Amazon.com (kategori muzik dunia). Maher telah pun menjayakan konsertnya di Sweden, Kanada, Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Mesir, Algeria, Bahrain dan banyak lagi. Dengan semangat dan minatnya, bakat yang luar biasa dan gaya yang unik, pencapaiannya pasti melonjak ke tahap yang paling tinggi.

Maher Zain mendapat inspirasi awal dalam bidang muzik melalui ayahnya sendiri yang juga merupakan seorang penyanyi yang sering mengadakan persembahan di sekitar bandar Mediterranean yang indah iaitu Tripoli, Lubnan. Kagum dengan muzik dan instrumennya, Maher Zain mendapat “keyboard” yang pertama seawal usianya 10 tahun dan sejak daripada itu secara rasminya muzik menjadi sebahagian daripada dunia Maher Zain. Keluarganya telah berhijrah ke Sweden pada usianya 8 tahun di mana beliau menyambung pelajarannya sehingga berjaya ke menara gading dan beroleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik. Walaupun persekitarannya berubah dari hari ke hari, namun minat dan semangatnya dalam muzik terus membara.

Setelah terlibat dalam industri muzik buat seketika sebagai penerbit muzik, Maher Zain telah diperkenalkan dengan RedOne; seorang penerbit muzik yang berbakat besar yang meningkat popular di Sweden. Maher mula bekerjasama dengan RedOne dan kemudiannya berpindah ke New York. Untuk beberapa tahun beliau berada dalam kehangatan industri muzik di New York, beliau turut berkesempatan bekerja dengan artis-artis popular seperti Kat Deluna dalam penerbitan beberapa lagu hit artis tersebut seperti “Whine Up” dan “Run The Show”. Maher Zain memiliki kerjaya yang boleh diibaratkan sebagai kerjaya impian bagi seorang yang masih muda dan terlibat dengan industri penuh glamor. Namun bagi Maher Zain, beliau merasakan kerjayanya ini jauh dari cita-cita dan impiannya yang sebenar. “Saya sukakan muzik, tetapi saya bencikan apa yang ada disekitarnya, terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena”.

Pada Januari 2009, Maher Zain telah mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah album yang mencerminkan identitinya yang sebenar – Arab, Barat dan Muslim – dan telah menandatangani kontrak dengan Awakening Records. Album pertama Maher Zain berjudul “Thank You Allah” telah menduduki tempat pertama dalam carta Amazon World Music dan kedudukan kesembilan dalam carta R&B.

Pada Januari 2010, lagu Maher Zain berjudul “Ya Nabi Salam Alayka” telah berjaya meraih gelaran sebagai Lagu Terbaik 2009 di dalam sebuah pertandingan muzik anjuran Nujoom FM (stesen radio muzik terbesar di Mesir). Antara yang tercalon ke peringkat akhir adalah nama-nama besar seperti Hussein Aljismi, Mohammed Mounir and Sami Yusuf. Maher Zain juga telah mengadakan persembahan di konsert-konsert besar yang mendapat sambutan hangat seperti di Algeria, Australia, Belgium, Canada, Mesir, England, Perancis, Belanda, Sweden, Amerika Syarikat dan banyak lagi serta mendapat jolokan “bintang handalan baru dalam industri muzik Islamik”.

Album Maher Zain menggabungkan muzik R&B dan irama kerohanian tradisional, soul dan muzik pop kontemporari, bukan sekadar memperbaharui muzik kerohanian dan nasyid bahkan dengan beraninya menyegarkan muziknya dengan gaya kontemporari. Album pertama Maher Zain “Thank You Allah” adalah album yang penuh bertenaga, malar segar dan penuh dengan unsur kerohanian.

Maher Zain mula dikenali sebagai seorang pemuzik dan penyanyi Islamik moden selepas “single” pertamanya yang ditampilkan dalam video muzik animasi berjudul “Palestine Will Be Free” mendapat perhatian umum. Video muziknya berjudul “Insha Allah” pula telah dirakamkan di sekitar London dan diarahkan oleh pengarah British yang terkenal Mike Harris yang pernah bekerja dengan Coldplay, Madonna dan ramai lagi. Video muziknya yang terbaru “The Chosen One” menceritakan tentang kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad yang berteraskan keamanan, telah dirakamkan di Los Angeles. Ini jelas menunjukkan Maher Zain kini memartabatkan muzik Islamik ke satu peringkat baru yang lebih tinggi. Sebagai artis dan penerbit yang berbakat luar biasa, Maher telah berjaya membawa muziknya kepada pendengar yang lebih luas dan ramai tanpa mengurangkan mesejnya, bahkan dihasilkan dengan lagu-lagu yang cukup bertenaga, meyakinkan dan sangat indah dengan adunan unsur-unsur R&B, irama kerohanian tradisional, pop, muzik Arab dan Turki dalam sebuah susunan muzik yang berani.

Fakta Ringkas dan Pautan:

Nama: Maher Zain

Umur: 28 tahun

Warganegara: Sweden (Keturunan Lubnan)

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik

Pekerjaan yang lalu: Penerbit Muzik

Pengalaman bekerja: RedOne: Akon, Lady Gaga, dan lain-lain.

Tajuk Album: Thank You Allah

Jumlah lagu: 13

Tarikh diterbitkan: 1 November 2009

Syarikat Rakaman: Awakening Records

Laman Facebook (hampir 600,000 peminat): http://www.facebook.com/MaherZain

Video Klip Palestine Will Be Free: http://www.youtube.com/watch?v=foSbqLi6U10

Video Klip Insha Allah: http://www.youtube.com/watch?v=KfXIF2Mm2Kc

Video Klip The Chosen One: http://www.youtube.com/watch?v=QbICjWI7Vrw

Sumber: www.inteam.com.my

Husaini Hussein

Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.

Recent Posts

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang…

3 months ago

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi…

3 months ago

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan…

3 months ago

“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM

Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” -…

3 months ago

Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025

Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang…

3 months ago

Program TV Lebih Interaktif Di Slot Perdana 9 Malam TV AlHijrah

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program…

3 months ago