Kumpulan nasyid Saufee umumkan yang mereka bakal muncul dengan sebuah album baru tidak lama lagi. Berita gembira ini diumumkan oleh salah seorang vokalis kumpulan Saufee, Riduan melalui akaun Facebooknya semalam.
Saufee atau sebelum ini dikenali sebagai As-Saufee mula mencipta nama menerusi lagu Rintihanku dan Rindu Kekasih. Walaupun ada ahli yang tidak lagi bersama dengan mereka, Saufee tetap istiqamah dalam meneruskan perjuangan dakwah melalui lapangan hiburan Islam.
Dalam perbualan ringkas antara Munsyeed dan Riduan Saufee, beliau memaklumkan yang album terbaru Saufee nanti akan diterbitkan oleh syarikat produksi mereka sendiri iaitu AsSaufee Records.
“Syukur, lagu-lagu sudah dirakamkan. Sekarang tunggu masa untuk release. InshaAllah, album ini akan diterbitkan dibawah label AsSaufee Records.” kata Duan Saufee.
Tambah beliau lagi, album baru Saufee nanti akan dimuatkan 5 track lagu yang menampilkan Bob (bekas ahli kumpulan Nowseeheart) sebagai komposer utama album ini.
“Album ini akan ada 5 track lagu. Bob ex-NSH akan bertindak sebagai komposer utama manakala music arrangement oleh Wan dan Abg Burn. Dalam album ini, ada satu lagu Saufee berduet dengan Afad daripada kumpulan Raihan. Track yang mana satu? Tunggu dan nantikan kemunculan album baru kami.” ujar Duan.
Tahniah diucapkan kepada Saufee. Kami doakan semoga segala urusan Saufee dipermudahkan oleh Allah SWT.
– Munsyeed Dot Com