Durioo+ Kongsi Video Acah Pertama ILM – Ustaz Asri Ubai Rabbani Pegang Watak Kareem, Alif Satar Sebagai Ishak
Ustaz Asri Ubai Rabbani sebagai Kareem dalam siri animasi ILM Kebangkitan Khalifah
Durioo+ telah berkongsi video acah pertama siri animasi ILM – Kebangkitan Khalifah. Dalam video acah tersebut, Durioo+ turut mengumumkan penampilan istimewa anggota kumpulan Rabbani; Ustaz Asri Ubai sebagai Kareem manakala penyanyi versatil Alif Satar sebagai Ishak.
Pengumuman ini sekali gus menjawab teka teki siapa yang bakal meminjamkan suaranya untuk watak-watak utama dalam siri animasi ini. Selain Ustaz Asri Ubai Rabbani dan Alif Satar, anggota kumpulan Du’a; Ajwad Amal turut membintangi ILM – Kebangkitan Ummah dengan memegang watak sebagai Siddiq.
Alif Satar sebagai Ishak dalam siri animasi ILM Kebangkitan Khalifah
Siri Animasi ILM – Kebangkitan Khalifah ini merupakan siri animasi pertama Durioo+ yang dikhaskan untuk kategori kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun. Visual siri animasi ini dihasilkan bertaraf antarabangsa dan tidak mustahil jika siri ini mungkin akan ditawarkan untuk pasaran antarabangsa.
Mengetengahkan konsep sains fiksyen dan aksi, siri animasi ini menjadikan nilai Islam sebagai asas siri ini.
ILM – Kebangkitan Khalifah akan membawa penonton menyusuri pengembaraan Siddiq dan Farooq dalam menentang kegelapan dan kezaliman di muka bumi. Siddiq dan Farooq akan dibimbing oleh Kareem yang akan berperanan sebagai guru, mentor dan penjaga mereka. Pelbagai rintangan yang bakal ditempuhi oleh Siddiq dan Farooq sepanjang pengembaraan ini.
Siri ILM akan mengambil latar tahun 4030 dimana sekumpulan wira Muslim cuba bangkit dari penindasan Zaleem dan tenteranya pasca peperangan Mech. Adakah Siddiq dan Farooq berjaya dalam misi mereka? Nantikan siri animasi ILM – Kebangkitan Khalifah yang akan mula bersiaran secara eksklusif di platform Durioo+ pada Ramadan 2024 ini.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.