Alhamdulillah, industri nasyid tidak pernah sunyi dengan kehadiran bakat baru yang datang mewarnai industri ini. Kehadiran mereka dilihat sebagai kesinambungan kepada perjuangan dalam dakwah seni ini. Minggu lepas, kami bersilaturrahim dengan sebuah kumpulan nasyid baru yang diberi nama In-Faith.
In-Faith ditubuhkan pada pertengahan ramadhan 1433H, tahun 2012. Kumpulan ini mempunyai ahli seramai 6 orang yang terdiri daripada siswa-siswa yang berbakat besar dalam bidang nyanyian.
Berikut ialah senarai ahli kumpulan In-Faith:
Berdiri dari kiri: Farid (berkaca mata), Zakwan, Ameer, Fareez. Bawah dari kiri : Hazwan & Amirul
- Zakwan, 23 tahun, pelajar Unimap
- Farid, 23 tahun, IPG Kota Bharu
- Ameer Al- Muktaseem, 18 tahun, bekas pelajar SMK Pengkalan Chepa 1
- Hazwan, 21 tahun, Pelajar Kolej Sains Kesihatan Sungai Buloh
- Fareez, 23 tahun, pelajar Unimap
- Tengku Amirul, 24 tahun, IPG Kota Bharu
Kesemua ahli kumpulan In-Faith ini adalah anak jati dari negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah; Kelantan Darul Naim.
Menurut salah seorang ahli kumpulan In-Faith, mereka meminati nasyid dan minat mereka diterjemahkan dengan penubuhan kumpulan ini dan kemunculan single pertama mereka, Naurah Cinta.
“Kami minat untuk bernasyid. Hasil daripada minat kami ini, kami telah bersepakat untuk menghasilkan lagu nasyid kami sendiri yang bertajuk Naurah Cinta.” ujar Fareez.
“Untuk makluman, lirik lagu Naurah Cinta ini adalah hasil ciptaan saudara Farid yang merupakan ahli kumpulan In-Faith. Naurah Cinta menceritakan tentang sebuah cinta kepada Ilahi yang mana cintanya mekar seperti bunga (naurah).” jelas Fareez,
showinfo=0
NAURAH CINTA – IN-FAITH Cerita indah tentang cinta
Saat pertama kali tercipta
Terpahat disanubariku
Erti sebuah cinta
Namun hati sering berbisik
Dimanakah erti cinta hakiki
Seandainya dapatku kecapi
Pastinya akan berseri
Tuhan berikan daku cinta
Pastiku impi cinta abadi
Yang bisa membawa ke Syurga
Dengan restu Ilahi
Andai cintaku tuk duniawi
Akanku pohon padamu Rabbi
Berikanlah daku sebuah cinta
Hanya untukmu Ya Ilahi
Kerna cinta adalah naluri
Yang dikurniakan Ilahi pada manusia
Hadirnya bagaikan naurah cinta
Mekar bersemi
Mengharapkan magfirah yang Esa
Tuhan berikan daku cinta
Pastiku impi cinta abadi
Yang bisa membawa ke Syurga
Dengan restu Ilahi
Andai cintaku tuk duniawi
Akanku pohon padamu Rabbi
Berikanlah daku sebuah cinta
Hanya untukmu Ya Ilahi
“Kami berharap agar peminat nasyid di luar sana dapat menerima kami seadanya. Kami juga akan sentiasa memperbaiki segala kelemahan yang ada dan akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada dunia nasyid ini.” ucap Fareez sebelum menamatkan perbualan dengan kami.
Tahniah diucapkan kepada In-Faith. Semoga terus berkarya dan terus bersinar dalam industri ini. Mungkin boleh buat nasyid versi dikir barat atau dengan loghat Kelantan. Kerana keunikan boleh membuatkan kita diingati. 🙂
– Munsyeed Dot Com