Hazamin Inteam Terima Anugerah Tokoh Alumni UIAM Sempena IIUM Takrim Day 2025
Penyanyi nasyid Inteam, aktivis kemanusiaan Peduli Insan dan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Hazamin bin Harun baru-baru ini telah dianugerahkan Tokoh Alumni UIAM sempena sambutan IIUM Takrim Day 2025 yang berlangsung di kampus induk Gombak hari ini.
Anugerah berprestij ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan konsisten Hazamin sebagai Alumni UIAM yang aktif dalam bidang dakwah melalui seni nasyid, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan, selaras dengan aspirasi UIAM dalam melahirkan graduan yang memberi impak kepada masyarakat sejagat.
Anugerah telah disampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Rektor UIAM.
Hazamin merupakan anggota kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, yang telah bergiat aktif dalam industri nasyid lebih dua dekad. Sepanjang pengajiannya di UIAM di Kulliyyah Kejuruteraan, beliau dikenali sebagai pelajar yang seimbang dalam akademik dan aktiviti kesenian dan kini beliau sering terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan.
Hazamin menyifatkan anugerah yang diterimanya ini merupakan hasil doa ibunya dan kejayaan para pensyarah UIAM dan rakan-rakan yang banyak membentuk jati diri beliau hingga kini.
“Anugerah ini mungkin tertera nama saya, tetapi hakikatnya ia milik setiap pensyarah yang membimbing, setiap sahabat yang menguatkan, doa ibu yang tidak pernah putus, serta semua pengalaman di ‘Taman Ilmu dan Budi’ yang membentuk diri saya. IIUM bukan sekadar universiti, tetapi kenangan, nilai, dan rahmat yang sentiasa hidup dalam diri. Ia mengajar saya erti keseimbangan, antara akademik dan seni, antara ilmu dan perjuangan, antara niat dan barakah.”
Beliau turut menambah bahawa semangat dan nilai yang disemai di UIAM menjadi bekal dalam perjalanan dakwah, seni dan misi kemanusiaannya hingga ke kem pelarian Syria dan Lubnan. “Pengiktirafan ini mengingatkan kita bahawa walaupun meninggalkan pintu gerbang Gombak, perjalanan bersama UIAM sebenarnya tidak pernah berakhir. Semoga kita terus membawa roh Rahmatan lil ‘Alamin dalam profesion, seni dan khidmat kemanusiaan,” katanya.
Sebelum ini, Hazamin juga baru sahaja menerima Anugerah Alumni Community Engagement daripada Kuliyyah of Engineering UIAM sebagai penghargaan terhadap penglibatan beliau dalam aktiviti kesenian, kemasyarakatan dan pembangunan insan.
Beliau turut aktif menyertai misi bantuan kemanusiaan ke kem pelarian Syria di Aleppo dan Lubnan, membawa mesej rahmah dan harapan kepada masyarakat yang terkesan, selari dengan nilai “Rahmatan lil ‘Alamin” yang dihayati sepanjang pengajiannya di UIAM.
Selain menjadi duta Pertubuhan Peduli Insan Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia serta duta Nadi Al-Quran, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Dhuafa Sejahtera, Ahli Lembaga Pelawat Kompleks Penyayang, Exco NOBLE (Network of Budi Leadership and Ethics) serta baru dilantik sebagai Presiden Persatuan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia).
Anugerah Tokoh Alumni UIAM merupakan antara pengiktirafan tertinggi universiti kepada graduan yang telah memberi sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing, sejajar dengan slogan UIAM, “Leading the Way.”
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.