Setiap orang pasti tidak mahu diulit dengan kontroversi. Ramai yang mahukan perjalanan seni mereka berjalan lancar dan dihiasi dengan berita-berita positif semata. Begitu juga kami di Munsyeed{Dot}Com.
Kami sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang kontroversi di setiap artikel, berita yang kami siarkan. Sejujurnya, hampir 80% berita kontroversi yang kami terima daripada individu tertentu terpaksa kami ‘diamkan’. Ini untuk mengelak sebarang fitnah mahupun timbul perkara yang negatif dikemudian hari. Ia meliputi gambar-gambar kurang enak, kisah-kisah negatif mahupun beberapa kejadian yang cukup mengaibkan yang berlaku.
Apabila memilih untuk menjadi media ‘shariah compliant’, kami sudah bersedia untuk korbankan beberapa perkara termasuk ‘populariti’ dan ‘rating’ yang tinggi jika kami siarkan berita-berita panas tersebut. Kami memilih mengikut cara yang dibenarkan mengikut shariah kerana melalui cara ini, kami dapat menjaga hubungan kami dengan ALLAH, hubungan kami dengan manusia dan juga ia menjaga hati kami.
Pun begitu, ada beberapa kontroversi (20%) yang kami siarkan bukan untuk tujuan mengaibkan. Sebaliknya, kami lihat berita tersebut walaupun berkontroversi tetapi mampu dijernihkan dengan baik, membuka ruang untuk penjelasan kepada isu-isu tergantung dan sebagainya. Berikut adalah berita-berita kontroversi sepanjang 2011:

Snada
Snada Tegur Penasyid Malaysia Isu Plagiat (Klik)
Ikhsan dari kumpulan Snada menegur penasyid Malaysia berhubung isu plagiat lagu / karya mereka yang dirakamkan oleh penasyid Malaysia dan diedarkan tanpa keizinan mereka. Menurut Ikhsan, Snada tidak mempunyai sebarang masalah dengan penasyid Malaysia malah bersedia menjalin silaturrahmi bersama penasyid Malaysia. Namun, adalah kurang enak apabila lagu-lagu ataupun karya-karya Snada diguna dan dirakamkan semula oleh penasyid tanpa sebarang keizinan dari empunya karya. Snada juga menyeru artis nasyid senior seperti Raihan dan Rabbani untuk menegur penasyid baru yang aktif menjalankan plagiat karya ini.

NasyidFM
NasyidFM Disabotaj?
Pada 2 April 2011, pihak Munsyeed{Dot}Com telah menerima kenyataan media daripada pihak admin Facebook NasyidFM yang mengumumkan “NasyidFM Dalam Proses Pengambil Alihan”. Memandangkan kenyataan media itu datang dari Facebook NasyidFM, salah seorang editor kami telah siarkan berita tersebut di Munsyeed{Dot}Com ‘with good faith’ atau secara ‘bona fide’ dimana kami menganggap ia satu prosedur biasa sebuah syarikat yang menghantar kenyataan media kepada kami. Pada ketika itu, kami langsung tidak tahu menahu mengenai konflik dalaman yang berlaku di dalam NasyidFM. Seusai penyiaran berita tersebut, kami lihat di Facebook kumpulan Devotees ada mempromosi Fan Page baru NasyidFM. Serentak dengan itu, ada seorang artis menghubungi kami mempersoalkan kewajaran kami menyiarkan berita tersebut. Beliau juga memaklumkan kepada kami bahawa pemilik asal NasyidFM berang dengan kenyataan yang kami siarkan walhal pada ketika itu kami tidak tahu menahu mengenai masalah sebenar yang berlaku. Tidak lama kemudian, beberapa individu telah menghubungi saya dan menghamburkan perkataan-perkataan yang kurang manis ekoran penyiaran kenyataan tersebut.
Kami mengambil tindakan untuk mendapatkan nombor telefon dan menghubungi terus pemilik NasyidFM, Saudara Firdaus untuk mendapatkan gambaran sebenar konflik yang berlaku dan penjelasan mengenai status NasyidFM pada ketika itu. Menurut Firdaus, kenyataan tersebut tidak dikeluarkan oleh pihak NasyidFM yang sebenar sebaliknya dikeluarkan oleh pihak penaja NasyidFM yang turut mempunyai akses terhadap akaun Facebook Fan Page NasyidFM.
Firdaus menjelaskan bahawa berlaku sedikit salah faham diantara pihak NasyidFM dan juga pihak penaja NasyidFM sehingga mereka tidak dibenarkan untuk mengurus NasyidFM oleh pihak penaja. Bagaimanapun, masalah tersebut sudah dapat diselesaikan dan NasyidFM kini kembali bersiaran seperti sediakala. Tahniah NasyidFM!
Klik untuk berita lanjut:
NasyidFM Dalam Proses Pengambil Alihan
NasyidFM Disabotaj?

Islamic Song Festival
Kontroversi Islamic Song Festival (Klik)
Pada April 2011, Syarikat Out Of This World telah menganjurkan Islamic Song Festival yang membariskan beberapa artis nasyid antarabangsa seperti Zain Bhikha, Opick, Native Deen, Noor, Debu dan banyak lagi. Konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenary KLCC itu diadakan 2 malam berturut-turut dengan artis yang berbeza pada setiap malam.
Belum sempat konsert tersebut berlangsung, beberapa perkara telah berlaku yang mana sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan konsert tersebut. Stesen TV Alhijrah yang sepatutnya menjadi media penyiar rasmi acara tersebut telah menarik diri dari menjadi Media Rasmi acara tersebut. Kenyataan Media dari TV AlHijrah telah dihantar kepada kami dan kami siarkan disini: TV Alhijrah Tarik Diri Dari Islamic Song Festival.
Tidak cukup setakat itu, kami dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa konsert pada hari pertama terpaksa ditunda ke keesokkan harinya di waktu petang. Berita tersebut kami siarkan disini: Malam Pertama Islamic Song Festival Ditunda. Beberapa info mengenai kontroversi ini terpaksa dipadamkan untuk elak memberi tanggapan negatif kepada mana-mana pihak.
Diuji manusia itu untuk mematangkan, mentarbiah hatinya dan menguatkan lagi keimanannya kepada ALLAH. Alhamdulillah, Islamic Song Festival berlangsung dengan jayanya dimana konsert malam pertama dijalankan pada sebelah petang dan konsert malam kedua diadakan di sebelah malam: keduanya pada hari yang sama.Ramai selebriti yang hadir antaranya Amy Search, Dato Shah Reza, Inteam, Brotherz, Yasin Sulaiman, Farihin Abdul Fatah dan ramai lagi kenamaan dan artis yang hadir memberi sokongan. Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan konsert! Pujian juga harus diberikan kepada Hafiz Hamidun yang berjaya dengan cemerlang mengendalikan perjalanan konsert sebagai pengacara konsert pada hari itu.
Isu Nasyid Bukan Dakwah
Salah seorang ahli kumpulan E.Y.E, Izam yang kini menceburkan diri dalam bidang dakwah dan tabligh membuat kenyataan di akhbar Harian Metro mengatakan nasyid itu bukan dakwah. Menurut beliau, dakwah yang sebenar adalah dakwah dari pintu ke pintu. Kenyataan beliau nyata menimbulkan polemik di antara para pembaca. Ia juga seakan tamparan hebat buat artis-artis nasyid yang selama ini bergiat aktif dalam nasyid dengan niat untuk berdakwah dan menyampaikan mesej-mesej positif.
Kenyataan Izam EYE itu bagaimana pun disambut dan diulas dengan baik oleh Hafiz Hamidun dan juga Ustaz Sohibul yang merupakan Pengerusi Munsyid Malaysia. Kedua-dua ulasan tersebut boleh dibaca di Harian Metro. (Maaf, kami tidak berkesempatan merekodkan kenyataan tersebut.)
Isu ini juga diulas oleh Penulis Jemputan Munsyeed{Dot}Com, Along Safa disini: Nasyid Adalah Dakwah oleh Along Safa. Kami juga turut mendapat artikel yang dikirim oleh salah seorang pembaca: Lagu Nasyid Bukan Dakwah? Ulasan Pembaca.
Kontroversi Pencalonan Maher Zain Dalam AIM18 (Klik)
Sudahpun kami ulas di Imbasan2011: Kontroversi ABPBH & AIM.
Diharapkan, 2012 menjanjikan yang lebih baik buat kita semua. Hindari sebarang sengketa. Marilah kita hidup berharmoni dan laksana tugas mengikut shariah Islam. Kita saling memerlukan, saling lengkap melengkapi dan saling bersinergi. Bertolak ansur dan hindari segala salah faham. InshaALLAH. Untuk dunia yang lebih baik! -Munsyeed{Dot}Com