“Ini rupanya kumpulan nasyid yang alunkan Selawat Burdah di Majlis Konvokesyen UIAM tu…”

Tidak lengkap rasanya Majlis Konvokesyen UIAM jika tiada alunan merdu Selawat Burdah yang mengiringi perarakan masuk dif kehormat. Disebalik suara harmoni yang memukau itu, adalah kumpulan nasyid kebanggaan UIAM; Simfoni Arkana.

Kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh Simfoni Arkana kebelakangan ini mula menjadi buah mulut di kalangan peminat nasyid, khususnya pengikut nasyid IPT.

Nama Simfoni Arkana semakin dikenali sebagai kumpulan nasyid yang membawa nafas baharu dalam dunia seni Islamik.

Bernaung di bawah Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kumpulan ini bukan sekadar meneruskan tradisi nasyid kampus, malah menjadi antara pelopor pembaharuan dalam seni nasyid moden.

Ditubuhkan pada tahun 2001, Simfoni Arkana telah berkembang menjadi sebuah kelab rasmi yang menaungi empat kumpulan nasyid di UIAM.

Keunikan kumpulan ini terletak pada kepelbagaian konsep dan gaya persembahan yang diketengahkan, menjadikannya relevan dalam kalangan generasi muda serta peminat seni Islamik secara umum.

Bimbingan Cikgu Fikri & Kebangkitan Simfoni Arkana

Simfoni Arkana menunjukkan peningkatan luar biasa dalam pencapaian mereka, terutama selepas mendapat bimbingan daripada Cikgu Fikri, seorang ahli kumpulan nasyid terkenal, Major 9.

Dengan pengalaman luas dalam bidang muzik dan nasyid, Cikgu Fikri berjaya membentuk Simfoni Arkana menjadi kumpulan yang lebih mantap dari segi vokal, harmoni, serta persembahan pentas.

Nama Simfoni Arkana mula meniti di bibir peminat nasyid kampus pada tahun 2022, apabila mereka menyertai pertandingan berprestij, Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), dan berjaya merangkul naib johan.

Sejak itu, kumpulan ini semakin dikenali dan menjadi pesaing utama dalam arena nasyid IPT di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pencapaian Yang Membanggakan

Tidak hanya sekadar muncul di pentas pertandingan, Simfoni Arkana membuktikan keunggulan mereka dengan meraih pelbagai kejuaraan dalam acara berprestij. Antara pencapaian yang telah mereka lakarkan termasuk:

  1. Johan Ihtifal IPTA Kebangsaan 2023 & 2024 – Mengukuhkan kedudukan sebagai kumpulan nasyid IPTA terbaik di Malaysia.
  2. Johan Nasyid Panorama Islam UPSI 2023 – Menonjolkan keunikan gaya nasyid Simfoni Arkana dalam pertandingan terbuka.
  3. Ketiga Daie Voice Asean Thailand 2023 (Season 5) – Bukti bakat mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.
  4. Johan Festival Kesenian Islam Melaka 2024 – Menguasai pertandingan seni Islam yang mengangkat elemen tradisional dan moden.
  5. Group Choir Raihan dalam Konsert Garis Masa Raihan 2023 – Berpeluang berkolaborasi dengan kumpulan nasyid lagenda, Raihan, dalam sebuah konsert bersejarah.

Kejayaan demi kejayaan ini bukan sahaja membanggakan UIAM, malah mengangkat martabat nasyid IPT di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Cabaran & Misi Seterusnya

Meskipun telah mencapai pelbagai kejayaan, Simfoni Arkana tidak berhenti di sini.

Mereka kini dalam persiapan menghadapi pertandingan Daie Voice Asean Thailand Season 7, yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei 2025.

Pertandingan ini bakal menjadi medan ujian seterusnya buat Simfoni Arkana untuk terus membuktikan kebolehan mereka di peringkat serantau.

“Kami bersyukur atas segala kejayaan yang telah dikecapi, tetapi perjalanan kami masih jauh. Setiap pertandingan adalah ruang untuk kami terus belajar dan memperbaiki mutu persembahan. Kami berharap dapat membawa pulang kemenangan di Thailand dan mengharumkan nama Malaysia sekali lagi,” kata wakil kumpulan itu.

Harapan Buat Industri Nasyid IPT

Simfoni Arkana juga berharap agar peminat nasyid di Malaysia terus memberikan sokongan kepada industri nasyid IPT, yang sering kali menjadi platform awal buat bakat-bakat baharu dalam dunia nasyid profesional.

“Nasyid IPT bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk dakwah yang mendidik jiwa dengan sentuhan moden tanpa mengabaikan nilai-nilai ketuhanan. Kami percaya bahawa industri nasyid Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk berkembang, asalkan mendapat sokongan berterusan daripada peminat,” ujar mereka lagi.

Dengan bakat, usaha gigih, dan semangat juang yang tinggi, tidak mustahil Simfoni Arkana akan terus menjadi ikon nasyid kampus dan menempah nama untuk menjadi salah satu kumpulan nasyid terbaik di Malaysia satu hari nanti.

Husaini Hussein

Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.

Recent Posts

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang…

2 months ago

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi…

2 months ago

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan…

2 months ago

“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM

Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” -…

2 months ago

Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025

Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang…

3 months ago

Program TV Lebih Interaktif Di Slot Perdana 9 Malam TV AlHijrah

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program…

3 months ago