Mengenang Projek Kolaborasi Paling Diingati – Mestica Feat Sinar Murni II
Dunia nasyid pernah menyaksikan satu kolaborasi istimewa pada Julai 2013 apabila kumpulan nasyid kontemporari, Mestica, bergandingan dengan legenda nasyid tanah air, Sinar Murni II menerusi lagu klasik “Ramadan”.
Sewaktu Mestica lancarkan lagu ini, ramai peminat nasyid yang tergamam.
Macam mana Mestica boleh dapat Sinar Murni II?
Apa kata-kata manis yang diguna oleh Mestica untuk pujuk lagenda ini turun ke Nasyeed.com Studio, merakamkan semula lagu malar segar ini?
Walaupun tiada jawapan, namun kolaborasi ini nyata mengujakan para peminat ketika itu.
Lagu ciptaan sepenuhnya Ahmad Baqi ini pernah dipopularkan oleh Sinar Murni satu ketika dahulu.
Ia diberi nafas baharu dengan susunan muzik yang lebih segar hasil sentuhan komposer berbakat pada ketika itu yang kini sudah merangkul Juara Lagu dalam AJL39, Wan Saleh.
Hasilnya, “Ramadan” tampil lebih dinamik tanpa menghilangkan keaslian melodinya.
Lebih menarik, kolaborasi vokal antara Mestica dan Sinar Murni benar-benar mencipta keserasian.
Kedua-duanya saling melengkapi—tiada yang lebih menonjol ke depan, tiada yang tenggelam, menjadikan lagu ikonik ini begitu harmoni.
Lagu “Ramadan” ini telah dimuatkan dalam album Mubarak Ramadan, terbitan NC Records pada ketika itu dan rakaman video muziknya dijalankan di Nasyeed.com Studio.
Walaupun sudah lebih satu dekad berlalu, projek ini masih dikenang sebagai salah satu kolaborasi Ramadan terbaik, membuktikan bahawa muzik nasyid tetap relevan dan mampu merentasi generasi.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.