Kolum
0 comments

Anugerah NC: Antara Keikhlasan & Keterpaksaan

by on September 22, 2013
 
Carta NC

Carta NC

Belum hilang penat bergelut mencari dana untuk Anugerah Nasyeed.Com pada tahun 2012, kini mereka sudah umumkan penganjuran Carta Nasyeed.Com musim kedua pula dimana kemuncaknya ialah Anugerah Nasyeed.Com kali ke-2. Bila saya lihat kesungguhan pihak Nasyeed.Com menjayakan penganjuran hebat seperti ini, saya kembali merenung apa sumbangan saya dan rakan-rakan untuk industri jika nak dibandingkan dengan kesungguhan dan keikhlasan Nasyeed.Com yang sanggup menghadapi pelbagai risiko menjayakan program ini.

Saya yakin yang Nasyeed.Com sedar dan tahu masalah dana dan sponsorship untuk penganjuran event seperti ini mampu menjerut leher mereka. Tetapi itu bukan penghalang untuk Nasyeed.Com memberhentikan niat murni mereka untuk memartabatkan industri nasyid dan menghargai penggiat industri itu sendiri.

Tiada Yuran Penyertaan

Sejujurnya saya terkejut apabila Nasyeed.Com mengumumkan yang tiada bayaran untuk setiap penyertaan lagu yang dihantar oleh artis kepada urusetia Carta Nasyeed.Com. Ini kerana, langkah tersebut tidak memberi keuntungan kepada penganjuran program dan akan berlaku lambakan penyertaan lagu kerana tiada yuran penyertaan yang dikenakan.

Kesan Tiada Yuran Penyertaan

  • Sesetengah kumpulan nasyid atau penasyid akan semberono menghantar kesemua lagu-lagu yang mereka ada untuk dicalonkan dalam Carta Nasyeed.Com.
  • Berlaku lambakan pencalonan yang akan menyulitkan pihak urusetia dan memanjangkan lagi tempoh Carta Nasyeed.Com. (Kerana syarat penyertaan ialah lagu-lagu yang dihasilkan dari tahun 2012 hingga 2013.)
  • Tidak membantu sebagai salah satu sumber dana untuk penganjuran Carta Nasyeed.Com dan Anugerah Nasyeed.Com yang memerlukan kos belanja yang besar.

Kebaikan Apabila Dikenakan Yuran Penyertaan

  • Semua penasyid akan lebih berhati-hati memilih lagu untuk dicalonkan. Hanya lagu yang terbaik dan berkualiti akan dicalonkan oleh penasyid. (Bukan kesemua 10 track dalam album!)
  • Memudahkan pihak urusetia penganjuran untuk menguruskan pencalonan lagu dan penyusunan carta.
  • Sebagai salah satu sumber dana bagi menampung kos perbelanjaan dan penganjuran Carta Nasyeed.Com dan Anugerah Nasyeed.Com.

Rujukan Kes: AIM Pun Mengenakan Yuran Penyertaan

Mengenakan yuran penyertaan untuk setiap pencalonan lagu bukan perkara baru dalam penganjuran majlis anugerah berprestij di Malaysia. Anugerah Industri Muzik (AIM) sendiri mengenakan yuran RM50 bagi setiap satu pencalonan. Malah, untuk menyertai AIM, syarikat rakaman perlu mendaftar sebagai ahli bagi membolehkan mereka menghantar pencalonan dan disitu dikenakan yuran pendaftaran pula!

Nasyeed.Com Adalah MUNSYID Tetapi MUNSYID Bukan Nasyeed.Com

Ketika saya ajukan perkara ini kepada pihak Nasyeed.Com, mereka memaklumkan yang pihak urusetia hanya meletakkan syarat yang penasyid perlu menjadi ahli Persatuan MUNSYID Malaysia untuk melayakkan mereka menghantar pencalonan. Dari satu sudut, saya fikir mungkin niat penganjur adalah mulia; untuk memastikan semua penasyid mendaftarkan diri dalam persatuan. Dari perspektif yang berbeza, mungkin Nasyeed.Com ingin ‘play safe’ dan khuatir jika dikenakan bayaran, akan berkurangan pula penasyid yang menghantar pencalonan.

Persoalannya, adakah MUNSYID Malaysia yang menganjurkan event ini? Pendaftaran penasyid dalam persatuan MUNSYID Malaysia tidak sedikit pun memberi keuntungan kepada penganjuran event ini kerana MUNSYID Malaysia bukan penganjur sebaliknya Nasyeed.Com yang akan menganjur. Sebetulnya, penyaluran dana itu kepada penganjur kerana mereka yang akan memerlukan dana untuk penganjuran acara tersebut.

Cadangan Kepada Nasyeed.Com

Belum terlambat untuk pihak Nasyeed.Com mengenakan yuran penyertaan untuk pencalonan bagi Anugerah Nasyeed.Com. Jika Nasyeed.Com tidak mengenakan yuran untuk kategori yang diundi peminat, pihak Nasyeed.Com masih boleh mengenakan yuran untuk setiap pencalonan bagi kategori yang diadili oleh juri-juri khas. Sekurang-kurangnya yuran tersebut boleh digunakan untuk membayar juri atau menampung sebahagian kos yang terpaksa ditanggung oleh Nasyeed.Com.

Ayuh Bantu Mereka! Majlis Tersebut Majlis Kita!

Saya menyeru kepada semua penggiat industri nasyid agar sama-sama memerah keringat berganding bahu membantu Nasyeed.Com. Kita tidak seharusnya meletakkan segala beban penganjuran keatas bahu Nasyeed.Com semata-mata walaupun mereka adalah penganjur kerana majlis anugerah ini adalah majlis anugerah kita! Majlis yang menjadi medium penghargaan kepada setiap usaha dan jerit perih para penggiat industri nasyid sendiri. Kalau tidak kita, siapa lagi yang akan membantu?

Saya optimis, kita pasti tidak mahu lihat Anugerah Nasyeed.Com berkubur seperti mana Anugerah Carta Nasyid IKIM akibat kekangan kewangan.

Husaini Hussein
22 September 2013
9.00am.

 

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response