Kolum
0 comments

Di Sebalik ‘Forgive Me’ dan ‘Thank You Allah’ – Fetya

by on May 8, 2012
 

Fetya bersama Bara Kherigi dan Hamza Namira di pejabat Awakening Records.

Pengalaman itu memang sukar dilupakan. Bekerja secara langsung dengan syarikat nasyid no 1 dunia; Awakening Records memberikan banyak kenangan manis. Bermula dengan tawaran ‘short notice’melalui panggilan telefon, hinggalah pelancaran album pada 2 April 2012, segalanya sarat dengan pengajaran berguna dan ibrah penuh makna. Tidak keterlaluan jika saya katakan, Fetya bagaikan orang baru setelah dipertemukan dengan Awakening Records.

Di lembah Nil, nama Fetya tidaklah seharum Dai Nada dan Al-Wadi. Oleh itu, tawaran bekerja dengan Awakening Records dianggap sebagai durian runtuh. Peluang keemasan ini mesti digunakan sebaik mungkin untuk belajar selok-belok dunia nasyid. Mesti ditatang bagai minyak yang penuh.

Hamza Namira

Teladan Hamza


Hamza Namira, seorang artis muda yang berbakat besar, mengajar kami erti rendah diri. Beliau seorang tidak gemar bergambar dengan peminat, lebih-lebih lagi dengan peminat perempuan. Saya sempat bertanya, “Macam mana Hamza elakkan diri dari peminat perempuan?”

Hamza menjawab, “Selasai sahaja persembahan, saya akan duduk bersama isteri dan anak-anak saya. Jadi, orang akan rasa segan untuk mengganggu privasi saya dan keluarga. Kalau tidak pun, saya akan cepat-cepat beredar dari tempat konsert. Iyalah, kalau selalu bergambar dan memberi tandatangan, kamu tidak akan perasan diri kamu akan berubah menjadi pencinta kemasyhuran.”

Hamza menambah lagi, “Orang yang mahu bergambar dengan kita dan meminta tandatangan kita bukannya pernah hirau; betapa hati kita rosak dan bongkak apabila disanjung begitu.”

Itulah kata-kata seorang artis, yang albumnya (Insaan) menduduki tangga pertama carta jualan album terbanyak Mesir sepanjang 2011. Lebih mengujakan, Hamza memberitahu kami yang dia sudah tulis wasiat berkenaan alat-alat muziknya; gitar, PC, keyboard dan lain-lain, yang mana jika dia meninggal dunia, alat-alat muzik ini tidak boleh diwariskan kepada sesiapa. Kenapa demikian?

Hal ini kerana, dia tidak mahu alat muziknya digunakan di jalan yang merosakkan orang. Memang itulah hakikat alat muzik, penggunaannya lebih banyak menjurus kepada keburukan berbanding kebaikan. Hanya yang dirahmati Allah sahaja menggunakannya di jalan kebaikan.

Wasiat itu telah ditulis sejak Hamza berumur 20-an lagi. Dan hingga kini, wasiat itu sentiasa diperbaharui dari masa ke masa.

Bara Kherigi bergambar bersama Maher Zain

Wawasan Jelas Bara Kherigi

Bara Kherigi merupakan anak kepada tokoh politik terkenal Tunisia; Rashed Ghannouchi. Bara berperanan sebagai pengarah kepada Awakening Records.

Perkara yang menggerakkan beliau dan rakan-rakan untuk menubuhkan Awakening Records ialah kesedihan melihat produk nasyid orang Islam yang amat rendah kualitinya. Bagi beliau, tak mungkin produk nasyid boleh mengalahkan produk nyanyian lagho (melalaikan) Barat yang hadir dalam bentuk yang amat berkualiti tinggi lagi dihiasi dengan promosi yang menggila.

Dengan kata kunci ‘itqan’ (ketekunan) seperti yang disabda Ar-Rasul SAW, terbinalah Awakening.

Beliau juga mengatakan, “Pulangan yang kami dapat daripada business Awakening ni bukannya banyak sangat. Yang penting ialah kami dapat tampilkan produk orang Islam yang berkualiti tinggi untuk semua”.

Sebagai pengarah syarikat, Bara menerapkan budaya solat berjamaah di pejabat. Apabila tiba waktu, solat, para pekerja akan mengambil wuduk dan solat bersama di ruang tamu. Orang yang biasanya melaungkan azan ialah pakcik Ahmad, lelaki separuh baya yang bekerja sebagai orang dapur.

Apa yang Fetya Dapat?

Jujurnya, imbuhan material yang kami terima tidaklah besar. Namun, pengalaman berinteraksi dan mendengar pengalaman orang-orang ini adalah sesuatu yang priceless. Walau dihimpit populariti, mereka telah membuktikan sifat tawaduk secara ‘live’. Walaupun serba kekurangan, mereka telah buktikan sifat itqan secara konsisten. Demikianlah mereka ‘beribadah’ dalam karier mereka.

Penutup

Perjuangan nasyid ini bukan runcit-runcitan. Kita menggalas peranan membangkitkan keperibadian umat melalui suara yang dilontarkan. Ia adalah sebahagian dari dakwah yang agung. Justeru, perbaikilah akhlak kita dan hubungan kita dengan Allah SWT. Juga, sentiasalah berusaha memberi yang terbaik untuk mad’u (para pendengar).

“Orang yang tidak mempunyai, dia tak boleh memberi”.

Moga Allah menjadikan kita daripada kalangan orang-orang yang jelas dan ikhlas.

 

Bilal Jailani,
Pengurus dan vokalis Fetya.

 

Info daripada Munsyeed{Dot}Com: Kumpulan Fetya telah terlibat sebagai suara harmoni bagi album Maher Zain Forgive Me dan album Thank You Allah versi akustik.

 

-Munsyeed{Dot}Com

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response