Sempena menyambut 50 Tahun Kegemilangan MAIWP, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama MAIWP menganjurkan program larian MAIWP RUN 2024 – Powered By PPZ.
Ini merupakan kali kedua aktiviti larian ini dianjurkan dan kali ini PPZ-MAIWP memilih Dataran Wawasan Putrajaya sebagai trek larian dengan mencatatkan pendaftaran seramai 11,078 peserta dari pelbagai bangsa, agama dan negara.
Pelepasan larian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, MAIWP RUN 2024 menyediakan 5 kategori larian iaitu 21 kilometer (half marathon), 10 kilometer (race), 5 kilometer (fun run) dan 3 kilometer untuk larian bersama keluarga dan orang kurang upaya.
Acara ini juga turut menawarkan pelbagai hadiah menarik cabutan bertuah seperti motosikal, televisyen, telefon pintar, basikal dan hamper untuk para peserta yang bertuah.
Di samping dapat menerapkan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, acara ini juga merupakan antara inisiatif untuk menyebarluaskan dakwah zakat dan wakaf secara santai kepada masyarakat. Turut disediakan kaunter info mengenai zakat dan wakaf serta MAIWP bagi membantu sebarang persoalan dan urusan zakat.
Program ini turut mendapat tajaan daripada beberapa syarikat korporat dan pembayar zakat iaitu MBSB Bank, Yayasan Vfive, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Prokhas Sdn Bhd (PROKHAS), Ramly Food Processing Sdn Bhd, Yayasan Felcra, Extra Joss, Yayasan Waqaf Malaysia, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Perbadanan Putrajaya.
Sumber: PPZ-MAIWP