[youtube url=”http://www.youtube.com/watch?v=FDkK4XCwfmk”]
Ibarat mimpikan zam-zam di kala dahagakan air. Ya! Begitulah yang dirasakan, bila menonton-dengar MV Farid Sanullah ini. Dalam keletihan bergelumang lumpur di tengah kota, terhidang pula sebuah karya pendendang yang membangunkan, mendorong bangkit bersihkan tanah liat yang masih liat di badan.
Klise. Seorang pemuda lalai yang bertaubat, kembali ke pangkal jalan.
Namun, apa salahnya kalau berkarya dengan elemen klise? Jika yang dipersembahkan itu mampu mendorong magik yang tersendiri? Jalan cerita yang ringkas tetapi dipupuk…oh maaf, saya minta izin mengggunakan perkataan ‘disumbat-sumbat’ dengan bahasa visual.
Lidah MV ini bukan sahaja pada alunan lagu super-duper melecun dari tim Edrie Hashim. Juga bukan sahaja dari susunan lirik. Bahkan, pada visual. Ya! Sudah pernah saya bicarakan kepentingan visual dalam persembahan video bermesej.
Mungkin ada yang tidak memahami betapa pentingnya bahasa visual. Ibarat membaca novel. Seninya pada menganyam bahasa sehingga mampu menyinggah kotak imaginasi pembaca. Membaca buku bukan kerja orang yang malas. Membaca buku perlukan pemerhatian dan ilmu. Ilmu membaca.
Membaca karya visual. Itu suatu yang tidak pernah kurang hebatnya. Sebelum membaca karya visual, harus mahir ilmunya. Kalau belum mahir, mulakan tapak pertama.
Ada beza bahasa visual dan keindahan cinematic visual. Pertama, perlukan hati dan akal. Yang kedua, hanya fantasi mata. Kedua-duanya kalau digabungkan mampu mencetuskan kehangatan bercinta kepada visual yang dihidangkan. Dan itulah yang dipakejkan dalam MV ini.
Baik.
Saya hampir melompat terhibur apabila menonton Farid yang berjaya membawa karakter dalam cerita. Wajahnya, solekannya, peluh dan kesungguhan beliau yang ditampilkan bersahaja itu menjadi tonggak kekuatan perjalanan naratif cerita ini.
Farid masih tercari-cari hala tuju di awalnya. Masih bergelumang dengan dosa. Masih melakukan kesilapan. Namun, di akhirnya beliau didorong mencari dan menemukan sesuatu di bawah cahaya.
Jom, kita ‘baca’ satu-persatu.
Bahasa Visual Klip Video Subhanallah – Farid Sanullah
MV dibuka dengan tiupan seruling di atas bukit (rujuk bukit di akhir MV) yang awal-awal sudah mewakili panggilan akhir daripada Allah.
Seruling di bukit. Kenapa bukit? Nanti di hujung MV, kita sama-sama perhatikan Farid berlari mendaki bukit. Teringat saya bagaimana Musa A.S memanjat bukit bagi bertemu Allah. Lihat bagaimana ia dibuka dan ditutup, tidakkah bijak sang pembikin MV ini? Beliau tidak sewenangnya menulis lokasi di situ-di sini. Bahkan, semuanya dirancang dan diberi makna.
Shots daripada langit sentiasa membawa makna yang jelas bahawa warga langit sedang melihat. Ketika Farid berlari, kita dibelanja satu shot dari langit yang begitu cinematic. Juga, ketika di pelantar tepi pantai. Lihat bagaimana Farid mendepa tangan bercakap dengan warga langit. Interaksi di antara Farid dan Allah dikisahkan dengan pertukaran shots yang begitu kemas. Bahkan, disusun seiring muzik yang mendorong kejayaan mesej disampaikan.
Menyebut shot dari langit ketika Farid sedang berlari. Ada sekuen di mana Farid berjalan bertukar-tukar latar, menyusulinya. Cuba anda gabungkan dan carikan maknanya. Ya! Tepat. Allah melihat walau di mana-mana Farid berada. Bukankah itu bijak?
Saya tersenyum lebar kepuasan. Ini menghiburkan. Kerana segalanya memberi makna.
Matahari. Cahaya. Elemen ini juga memperkuatkan naratif. Tak perlu saya hurai panjang. Perasan atau tidak? Apakah yang menyebabkan air muka Farid berubah ketika dia bersama kawannya melintasi seorang gelandangan (ketika flashback)?
Benar. Cahaya matahari yang menyelit-nyelit di celah daun pokok. Lihat bagaimana sengaja shots matahari di langit dibelanja dari low-angle. Sudut mendongak, mewakili hamba di dunia yang mendongak ke ‘cahaya di langit’. Semua shots matahari dipupuk begitu dalam MV ini.
Oh ya! Sebut berkenaan pokok. Bukankah pokok itu lambang fitrah. Simbol kontemplasi. Simbol hikmah, juga. Ketika mana Farid mengambil masa berfikir, beliau memilih tempat bersandar di pokok besar yang rending. Teringat saya kepada ayat Quran berkenaan Kalimah Tayyibah. Bahawa perkataan-perkataan baik (dakwah) itu ibarat pohon yang akarnya kejap di bumi, dan dahannya menjulang ke langit. Merimbun menaungi hamba-hamba Tuhan.
Gelandangan yang menjadi pemangkin perubahan Farid juga letaknya di bawah pokok.
Dalam meneruskan pencarian perubahan, kita dimaklumkan bahawa Farid sebenarnya melalui jalan yang lurus. Di mana, sebengkok mana pun landasan tersebut, ia tetap menuju suatu destinasi yang tertentu. Bila pula kita dimaklum sebegitu? Ketika mana Farid berjalan bersebelahan landasan keretapi.
Tidak lama selepas itu, Farid berlari benar-benar laju mendaki menuju Allah. Ketika itu, shots dari langit yang sentiasa memerhatikannya itu, sedikit merendah, mendekati Farid. Dan, fade out. Bermulalah cerita baharu….
Dari mencari-cari, sehinggalah didorong mencari di bawah cahaya. Sehinggalah nekad mencari menuju Tuhan Yang Esa.
Bagaimana? Tidakkah anda tersenyum lebar kepuasan, apabila dapat membaca karya visual sebegini? Inilah MV yang mempertaruhkan mesej visual Majestik lagi Magis!
Jika ditanya apakah maksud hiburan? Apabila hati dan akal anda memahami jauh dari sekadar apa yang di hadapan, itulah hiburan yang sebenarnya. Jika sekadar lapisan permukaan, ia adalah fantasi.
Ya. Hiburan. Atas dasar itu, saya mengundi 4.9 dari 5 bintang untuk hasil cun-melecun ini. Dari muzik sehingga visual, ia memuaskan. Kurang 0.1 hanya pada klise dan peranan Ayah Farid yang sangat tidak signifikan.
Sekian.
[signoff icon=”icon-flag”]Ditulis oleh Thaaqhib Mohammed. Beliau merupakan salah seorang pengkritik filem tempatan dan antarabangsa di www.wayang.my. Artikel ini dihantar kepada Munsyeed Dot Com untuk dikongsikan bersama para peminat hiburan Islam di sini. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel kepada kami, sila emailkan ke [email protected].[/signoff]