Opick Muncul Dengan Lagu “Allah Ya Maulana”, Inspirasi Dari Muzik Gen Z
Allah Ya Maulana - Opick
Penyanyi muzik religi Indonesia, Opick, kembali dengan sebuah karya baharu berjudul Allah Ya Maulana.
Lagu ini hadir dengan melodi yang ceria dan penuh semangat, membawakan mesej syukur dan kegembiraan dalam menyambut bulan suci Ramadan al-Mubarak.
Dikenali sebagai antara penyanyi nasyid dan religi paling berpengaruh di Indonesia, Opick terus konsisten dalam menghasilkan lagu-lagu yang memberi inspirasi dan ketenangan jiwa.
Dengan pengalaman lebih 21 tahun dalam industri, beliau sudah menghasilkan banyak karya malar segar seperti Tombo Ati, Assalamualaikum, Ramadhan Tiba, Ya Maulana, dan Shollu Ala Muhammad.
Kali ini, menerusi Allah Ya Maulana, Opick ingin menyuntik elemen keceriaan dan semangat dalam muzik religi, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia.
“Lagu ini hadir dengan semangat kesyukuran, membawa kegembiraan dalam beribadah sepanjang Ramadan. Saya mahu ia menjadi penghubung antara generasi, supaya semua dapat bersama-sama memuji kebesaran Allah dengan hati yang lapang dan penuh rasa syukur,” kata Opick.
Inspirasi daripada Generasi Muda
Menurut Opick, inspirasi lagu ini datang daripada pengalamannya tampil di pelbagai festival muzik yang turut dihadiri oleh golongan Gen Z dan generasi muda.
Beliau melihat betapa muzik mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, lalu mahu menghasilkan sebuah lagu yang bukan sahaja menyentuh hati tetapi juga membawa semangat positif dalam beribadah.
Dengan susunan muzik yang segar, rancak, dan penuh emosi, lagu ini diharapkan dapat menjadi salah satu lagu wajib yang menemani umat Islam sepanjang Ramadan tahun ini.
Gabungan Pemuzik Berbakat
Di sebalik kelunakan suara Opick, lagu ini turut mendapat sentuhan pemuzik hebat.
Susunan muzik dilakukan oleh Galuh Argono, Thomas & Opick, manakala semua instrumen dimainkan oleh Galuh Argono sendiri.
Bahagian gitar dan bass diisi oleh Thomas & Lukito, sementara proses mixing dikendalikan oleh Yobi Ananta, dengan mastering dilakukan di Grim Studio.
Lagu ini diterbitkan di bawah label Nada Hijrah/Forte Records dan diedarkan oleh Aquarius Musikindo, menjadikannya lebih mudah diakses oleh peminat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Allah Ya Maulana kini boleh didengarkan di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox, dan lain-lain.
Dengan irama yang segar, lirik yang membawa ketenangan, serta susunan muzik yang menyatukan generasi, Allah Ya Maulana diharap dapat menjadi salah satu lagu yang menghidupkan suasana Ramadan tahun ini.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.