Khabar duka menyelubungi industri nasyid hari ini selepas menerima berita pemergian salah seorang anggota kumpulan nasyid Brothers petang tadi. Mohd Salleh Mohamed Deril, 40 tahun, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Menurut maklumat yang kami terima, Salleh telah dimasukkan ke Hospital Klang semenjak Ahad lalu selepas mengalami komplikasi pada jantung sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Berikutan tekanan darah yang tinggi, beliau telah direhatkan oleh doktor yang merawat untuk memastikan keadaannya kembali stabil.
Salleh merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid popular Brothers yang turut sama dianggotai oleh Yasin, Syah dan Faiz. Bersama kumpulan Brothers, beliau telah berjaya merakamkan 5 buah album iaitu We Are, Satu Perjuangan, Untukmu Teman, Brothers Reunited dan Sabar. Sepanjang 21 tahun beliau berkecimpung dalam industri nasyid, Salleh juga banyak terlibat secarat aktif di belakang tabir pembikinan album artis-artis nasyid dan artis ternama tanahair yang lain termasuk album Dato’ Siti Nurhaliza sekitar awal tahun 2009. Selain aktif di studio, beliau juga pernah terlibat sebagai tenaga pengajar dalam rancangan realiti pencarian bakat baru nasyid, Akademi Nasyid musim pertama yang telah bersiaran di TV9 pada tahun 2008.
Sebelum ini Salleh bersama anggota kumpulan Brothers yang lain sedang giat menjalankan latihan sebagai persediaan untuk tampil di Konsert 3 Kejora Bersatu yang dijadualkan akan berlangsung di Istana Budaya mulai esok. Walau bagaimanapun perkembangan terbaru ini pastinya memberikan satu tamparan yang hebat buat anggota kumpulan Brothers dan juga pihak penganjur konsert.
Sesungguhnya pemergian Salleh adalah satu kehilangan yang amat besar dalam dunia seni hiburan tanah air. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas jasa dan pengorbanan beliau selama ini di dalam industri.
Bagi membantu meringankan bebanan keluarga beliau, anda boleh menyalurkan sumbangan bantuan kecemasan ke akaun bank CIMB milik balu allahyarham, Shalwiza Eza’an menerusi nombor akaun 7601567424.
Jenazah dijadualkan akan dikebumikan esok di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang, Selangor.
Salam takziah daripada kami warga kerja Munsyeed buat isteri, anak-anak dan juga ahli keluarga Mohd Salleh Mohamed Deril. Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama para shuhada dan solihin.
Razman Shah, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular In-Heart, kini berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Difahamkan, Razman berada dalam keadaan kritikal dan beliau kini di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Isterinya setia berada di sisi beliau, menguruskan segala keperluan sepanjang tempoh rawatan.
Mohd Hafiz, salah seorang anggota kumpulan In-Heart, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Razman.
“Saya memohon jasa baik anda semua untuk mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diangkat segala kesakitan yang dialaminya ketika ini,” ujar Mohd Hafiz.
Kumpulan In-Heart terdiri daripada lima anggota iaitu Mohd Firdaus, Khairul Rizam, Razman Shah, Mohd Hafiz dan Mohd Khairi. Mereka pernah menyertai program realiti TV Akademi Nasyid dan tampil dengan album sulung berjudul Sakura.
Berita mengenai keadaan Razman mengejutkan ramai pihak, dan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta doa agar beliau segera pulih.
Sama-sama kita doakan semoga Razman Shah diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Lagu ‘Perjalanan’ yang dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat besar, Putra Aiman dan Haikal Iman, telah mencuri perhatian ramai pendengar muzik tanah air.
Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, video muzik lagu ini di platform YouTube telah mencapai jumlah tontonan yang membanggakan, iaitu melebihi 800,000 tontonan.
Lagu “Perjalanan” ini merupakan ciptaan komposer terkenal, Munif Hijjaz, dengan lirik yang ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Ia bergenre nasyid dan menampilkan melodi yang indah serta lirik yang menyentuh hati. Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan hidup manusia yang penuh dengan ujian dan cabaran, namun tetap perlu diteruskan dengan sabar dan tawakal.
Pencapaian ini membuktikan bahawa lagu ‘Perjalanan’ diterima baik oleh masyarakat. Rata-rata pendengar memberikan komen positif dan memuji vokal Putra Aiman dan Haikal Iman yang merdu serta penghayatan mereka dalam menyampaikan lirik lagu tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan oleh penonton di YouTube adalah:
“Lagu ini sangat menyentuh hati. Liriknya sangat mendalam dan membuat saya merenung tentang kehidupan.”
“Vokal Putra Aiman dan Haikal Iman sangat merdu. Saya suka mendengar lagu ini berulang-ulang kali.”
“Saya rasa terinspirasi setelah mendengar lagu ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus menjalani kehidupan ini dengan tabah.”
“Lagu ini sangat sesuai didengar ketika sedang bersantai atau dalam perjalanan jauh.”
“Saya harap Putra Aiman dan Haikal Iman terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini.”
Kejayaan lagu “Perjalanan” ini diharap dapat menjadi batu loncatan buat Putra Aiman dan Haikal Iman untuk terus mewarnai industri nasyid tanahair dengan lagu-lagu berkualiti seperti ini. Tahniah diucapkan kepada Putra Aiman dan Haikal Iman.
Mulanya, Halim hanya menyampaikan secara santai lagu sohor kini ‘Bukan Lagi Kita’ dalam kereta. Alih-alih, ramai pula peminat yang minta Halim nyanyi versi gitar.
Mengenali Halim, beliau tidak akan menghampakan perasaan peminat. Hasilnya, memang sedap! Ramai yang memuji nyanyian beliau dalam cover lagu “Bukan Lagi Kita”.
Halim Ahmad menyampaikan lagu yang penuh emosi ini dengan cara yang tersendiri. Tidak hairanlah ramai yang tertarik dengan versi cover beliau.
Lagu Bukan Lagi Kita memang popular dan sohor kini kerana menjadi runut bunyi untuk drama yang sedang popular, “Curang Tanpa Niat”.
Malah, lagu ini juga semakin mendapat perhatian setelah lagu ini turut di’cover’ oleh Biduanita Negara Dato Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Bukan Lagi Kita bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung pada 16 Februari 2025 di TV3.
Tahniah kepada Halim kerana menyampaikan lagu ini dengan ‘vibes’ tergamaknya sedap! Nak tonton lagu cover Bukan Lagi Kita oleh Halim Ahmad? Layari akaun Tiktok Halim disini: @halim.ahmad