Connect with us

Khas

Secangkir Kasih Buat Yang Memahami – Ito Lara

Diterbitkan

pada

 

Che Am Raihan bersama anaknya yang akan dibawa ke dewan bedah

 

Oleh : Ito Lara (Mohd Radzi Sulaiman)

 

Assalamualaikum. Masih terasa rasa sedapnya Nasi Tomato UNIC malam tadi. Yang makan bubur kacang durian tu, kalau mahu resepi ‘Bubur Kacang Periuk Ajaib Masak 10 minit jer’ hello2 me yer.

Maaf, bukan itu sebenarnya nak aku utarakan di pagi mulia ini. Selepas berusrah di Pejabat UNIC malam tadi, aku dan rakan-rakan Munsyid Pian Saujana, Azadan Rabbani, Frizdan & Mail membelah malam kotaraya KL menuju ke HUKM untuk menziarahi anak Che Amran Raihan yang baru menjalani pembedahan di kepala.

Maaf, bukan keperihatinan itu yang nak aku ceritakan tetapi aku dan kawan-kawan amat terharu melihat apa yang berlaku di depan mata. Keadaan Ahmad Mahir agak sedikit ‘payah’. Ketika kami memasuki wad Pediatrik di tingkat 4, katil 8 (mujur tak kena halau dengan Abg Guard kerana melebihi 2 orang pelawat dalam 1 masa) kami terdengar suara kanak-kanak merengek-rengek dan terkadang mengerang kesakitan. Apabila Azadan menyelak tabir, ternyata suara itu datang dari Ahmad Mahir. Che Amran sedang meniup-niup telinga anaknya sambil berselawat. Tangan Ahmad Mahir menggeletar spt ‘Pakinson’. Aku terus memegang jari-jemarinya menyangkakan dia kesejukkan. Rupanya menurut Che Am itu kesan sementara pembedahan di kepala Ahmad Mahir dan ia terjadi bila keadaannya tidak begitu ‘stabil’ dan ‘tension’. Che Amran memujuk-mujuk dan menenangkan anaknya. Disuruh banyak berselawat dan mengingati Allah. Waktu itu Ahmad Mahir mengalami kesakitan di dalam telinganya. Tekanan agaknya. Che Am telah merujuk kepada doktor tetapi doktor pakar telinga telah pulang maka terpaksa menunggu ke pagi ini. Aku rasa, Che Am sampai waktu ini belum dapat berehat dan melelapkan mata.

Che Amran masih mampu tersenyum menyambut kami namun di kolam matanya jelas terlihat keperitan dan kepedihan. Sungguh berat penanggungan itu. Sungguh berat ujian Allah itu. Sungguh tabah seorang ayah yang bernama Che Amran bin Idris itu. Pelahan dia berkata “Airmata sudah kering untuk menangisi ini semua”…dan kami pula sedaya mungkin menahan airmata agar tidak gugur di hadapan beliau.

Maaf, bukan airmata itu yang nak aku gadaikan tetapi ingin mengajak rakan-rakan Munsyid yang berkesempatan, datanglah menziarahi 2 beranak ini di HUKM. Bantulah mana-mana yang patut. Sekurang-kurangnya hilang juga rasa ‘keseorangan’ Che Am dalam menghadapi ujian berat ini. Ini waktu dia, waktu kita entah bila tak siapa yang tahu. Mungkin lebih berat dari apa yang Che Amran hadapi. Namun pilihlah masa yang sesuai untuk melawat kerana tidak mahu menimbulkan masalah lain pula. Kawalan di HUKM agak ketat dan memerlukan banyak kesabaran.

Maaf, bukan itu saja yang nak aku katakan tetapi ada lagi…Sewaktu kami turut memujuk-mujuk Ahmad Mahir, kami terdengar suara tangisan kanak-kanak yang sungguh kuat di hadapan katil Ahmad Mahir. Tangisan itu menyebabkan kanak-kanak lain turut terjaga dan menangis. Terdengar suara penjaga memujuk dan menidurkan kembali anak-anak mereka tetapi suara tangisan kanak-kanak tadi tidak juga berhenti malam semakin kuat. Aku mengintai di sebalik tabir dan aku lihat seorang kanak-kanak sedang menjerit menangis sambil berdiri memegang palang katil. Dia keseorangan. Tiada siapa yang menghampirinya. Aku tertanya-tanya, kemana pergi penjaganya.

Oleh kerana tangisannya terus berpanjangan aku menghampiri kanak-kanak tersebut. Sebagai seorang ayah atau mungkin datuk aku memujuk-mujuk kanak-kanak tersebut untuk menghentikan tangisannya. Alhamdulillah, dia berhenti menangis, kembali berbaring dan memejamkan mata. Wad itu kembali tenang. Kemudian datang seorang nurse membawa sebotol susu. Rupanya dia dahagakan susu rupanya. Aku bertanya: “Ke mana penjaganya?” Menurut nurse tu, Aliyah (nama kanak-kanak itu) adalah anak yatim yang ditempatkan di sebuah anak yatim. Seluruh tubuhnya termasuk kepalanya dipenuhi kudis buta yang bengkak, berdarah dan bernanah. Sebab itu dia di hantar ke hospital. Menurut nurse itu lagi rumah anak yatim tersebut terpaksa menampung ramai anak-anak yatim sehingga sebuah dom mempunyai seramai 30 orang kanak-kanak. Bayangkan bagaimana keadaannya. Luluh hatiku melihat Aliyah. Terasa benar dia memerlukan seseorang disampingnya tempat dia menagih belaian dan kasih sayang. Itulah naluri kanak-kanak yang mana itu adalah kita suatu ketika dulu.

Maaf, bukan sekadar itu saja yang nak aku luahkan tetapi bukan saja MUNSYID tetapi kita perlu menjadi seorang insan yang prihatin terhadap insan lain terutama kepada mereka yang dilanda musibah. Seperti anak Che Am Raihan, seperti anak Mujahid Diwani dan seperti Aliyah anak kecil berumur 2 tahun itu.

Marilah kita berbuat sesuatu untuk mengurangkan sedikit sebanyak bebanan mereka saudara-saudara kita ini. Ayuh!

Sekian.

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Khas

7 Intipati Utama Ucapan Tun Dr Mahathir Di Perhimpunan Agung PBB Kali Ke-73

Diterbitkan

pada

Ringkas, tajam dan tepat! Begitulah 3 perkataan yang boleh diungkapkan seusai mendengar ucapan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.

Apa yang dapat kami simpulkan, terdapat 7 intipati utama ucapan Tun Dr Mahathir

1. Perihal Malaysia Baharu – Semangat Demokrasi, Dasar Dan Pendekatan Kerajaan

Tun Dr Mahathir mengulas mengenai keberanian rakyat Malaysia menukar kerajaan yang telah berkuasa selama 61 tahun secara aman dan tanpa berlaku rusuhan mahupun tumpah darah. Tun Dr Mahathir juga menegaskan mengenai dasar Malaysia baharu yang mengutamakan keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Malaysia Baharu juga menurut Tun Dr Mahathir akan kekal menjadi rakan kepada semua tanpa dan tidak bermusuh dengan sesiapa serta mengangkat falsafah hormati jiran tetangga. Dengan menghormati negara-negara jiran, Malaysia percaya ianya akan menjadikan Malaysia lebih aman, maju dan makmur.

2. Kegawatan Ekonomi, Sosial dan Politik

Tun Dr Mahathir menegaskan dunia kini mengalami kegawatan ekonomi, sosial dan politik yang parah. Pertembungan kuasa-kuasa besar dalam persaingan ekonomi telah menyebabkan seluruh dunia turut merasai tempiasnya. Selain itu, kebebasan dalam konteks sosial telah membawa kepada terhakisnya konsep perkahwinan dan kekeluargaan, nilai moral, hormat dan sebagainya. Manakala politik mengalami kegawatan yang paling teruk apabila perlakuan keganasan dan peperangan menjadi berleluasa.

3. Ancaman Keganasan Yang Lahir Dari Tindakan Pencerobohan Israel Ke Atas Palestin

Tun Dr Mahathir juga menegaskan bahawa ancaman keganasan tidak ditangani dengan betul apabila dunia gagal mengenalpasti punca asal kepada keganasan tersebut. Menurut Dr Mahathir, keganasan yang timbul pada hari ini adalah berpunca dari tindakan merampas tanah dan wilayah Palestin demi mewujudkan Israel. Segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan bertahun-tahun telah cuba dilawan dan ditentang oleh rakyat Palestin dan jiran-jiran yang bersimpati tetapi gagal. Akhirnya, pejuang-pejuang ini memilih jalan yang dipanggil keganasan untuk mendapatkan kembali apa yang telah dirampas dari mereka.

4. Sikap Pilih Kasih Dunia Terhadap Isu Israel -Palestin

Selain itu, Tun Dr Mahathir turut membidas sikap segelintir negara-negara dunia yang bersikap pilih kasih terhadap isu Israel – Palestin. Tun mengkritik sikap membisu negara-negara dunia terhadap tindakan zalim Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal yang membawa misi kemanusiaan dan pengeboman rakyat Palestin yang tidak berdosa. Menurut Tun, apabila dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, ia telah membakar perasaan rakyat Palestin dan mendorong kearah keganasan dan peperangan yang tidak berpenghujung. Dengan nada sinis, Tun turut menyelar sesetengah negara anggota yang melihat peperangan sebagai satu cara untuk menyelesaikan konflik antara negara.

5. Peperangan Yang Dimanipulasikan

Tun Dr Mahathir berkata, negara pembuat senjata enggan menggunakan senjata-senjata dan bom nuklear yang telah diciptanya. Sebaliknya, senjata-senjata ini telah dibekalkan kepada negara-negara yang bergolak dan menghadapi peperangan untuk diuji kekuatan senjata-senjata tersebut. Tindakan ini tidak lebih sekadar memanipulasikan peperangan antara negara-negara lain demi kepentingan sendiri. Tun Dr Mahathir menambah, negara pengeluar senjata api mengetahui kesan dan akibat penggunaan senjata dan bom nuklear yang mempunyai radiasi dan mampu memberi kesan negatif kepada negara pengguna. Justeru, negara-negara pengeluar cuba mengekalkan keamanan negara mereka dan dalam masa yang sama membekalkan senjata-senjata ini kepada negara yang terlibat dalam peperangan. Peperangan dimanipulasi dan menjadi keuntungan besar buat negara-negara pengeluar senjata. Malah, Tun Dr Mahathir menyifatkan keuntungan yang diperolehi hasil penjualan senjata ini sebagai keuntungan yang tidak bermaruah kerana ia menjadi punca kepada kematian dan kemusnahan yang dahsyat.

6. Perdagangan Bebas – Keadilan Untuk Negara Kecil & Negara Sedang Membangun

Umum masih mengingati kenyataan Tun Dr Mahathir sewaktu berada di China baru-baru ini mengenai perdagangan bukan sahaja perlu bebas malah ia perlu adil. Di perhimpunan kali ini, Tun Dr Mahathir menekankan sekali lagi betapa pentingnya perdagangan bebas yang adil dilaksanakan dikalangan negara-negara dunia. Perdagangan bebas seharusnya tidak bersifat menekan dan perlu adil terutama terhadap negara-negara kecil dan sedang membangun. Selain itu, Tun Dr Mahathir turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk meningkatkan mutu dan kualiti minyak kelapa sawit Malaysia agar setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia akan diperakui mapan menjelang 2020.

7. Retorik Dunia Tanpa Sempadan Yang Tidak Bersifat Inklusif

Di penghujung ucapan, Tun Dr Mahathir membidas sesetengah negara yang giat mempromosi perdagangan bebas dan dunia tanpa sempadan akan tetapi dalam masa yang sama negara-negara inilah yang menyekat pintu sempadannya, menghalang kemasukan produk-produk negara kecil dan mengamalkan nasionalisme yang mementingkan diri sendiri sahaja. Tun juga sempat melontarkan pandangan beliau bahawa PBB selaku badan dunia perlu melalui proses perubahan dimana negara-negara besar dan kaya tidak seharusnya mendakwa mempunyai hak dalam menentukan hala tuju dunia selamanya. Mereka tidak seharusnya memperkudakan moral, melaungkan demokrasi dan perubahan rejim negara lain di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan bangsa bersatu tersebut. Kuasa veto, menurut Dr Mahathir tidak perlu dipegang oleh satu anggota tetap sebaliknya komposisi majlis tersebut perlu dianggotai 2 kuasa besar dan disokong 3 negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan supaya kuasa veto tidak disalahguna demi kepentingan negara-negara tertentu sahaja.

– Munsyeed

Continue Reading

Khas

“Gema Gegar Vaganza berjaya tepis persepsi…” – Presiden MUNSYID Malaysia

Diterbitkan

pada

Malam Kemuncak Gema Gegar Vaganza

  1. Sebagaimana kita semua sedia maklum, malam ini bakal berlangsungnya pentas akhir Gema Gegar Vaganza musim pertama yang disiarkan secara langsung di Astro Oasis dan Maya HD.
  2. MUNSYID Malaysia ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada para munsyid yang telah berjaya ke peringkat akhir iaitu Hijjaz , SAUJANA , Mirwana, UNIC, Hafiz Hamidun dan tidak dilupakan saudara Azmi Caliph Buskers.
  3. Sepanjang beberapa minggu berada di pentas GGV, mereka telah berjaya meletakkan penanda aras baru dari sudut persembahan dan pementasan bagi peserta GGV malah GV yang akan datang melalui gabungan elemen nyanyian, lakonan, kostum, koreografi, props dan sebagainya. Pendek kata, selepas ini GGV bukan sekadar pertandingan nyanyian namun ianya turut melibatkan elemen seni persembahan yang pelbagai.
  4. Pihak Astro Oasis juga dilihat telah menyediakan sistem peralatan audio visual dan pencahayaan yang terbaik dengan disokong tenaga kerja profesional sekaligus menunjukkan kesungguhan mereka menjayakan GGV kali ini dan pastinya ia hadir dengan perbelanjaan yang bukan sedikit. Syabas dan terima kasih buat Astro Oasis.
  5. Apa yang kita lihat di pentas GGV telah berjaya menepis persepsi sesetengah pihak yang menganggap nasyid adalah satu cabang hiburan yg tidak menarik, kaku, tidak kreatif, kurang elemen sensasi dan sebagainya. Ternyata dengan “pelaburan” yang secukupnya dalam bentuk tenaga profesional, peralatan, idea dan pastinya wang ringgit maka sesuatu pementasan akan lebih mendatangkan impak kepada penonton.
  6. Malah pentas GGV juga membuktikan bahawa artis nasyid punya kualiti yang setanding malah dalam sudut tertentu lebih baik daripada artis mainstream lain. Cuma sebelum ini mereka jarang diberi peluang untuk beraksi di pentas sebegini.
  7. MUNSYID Malaysia juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peminat nasyid tanah air yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada peserta GGV baik yang hadir ke venue mahupun yang menonton di kaca tv. Anda telah menjadikan GGV trending di media sosial dan mendapat rating yg sangat baik.
  8. Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada para penaja khususnya Kopi Pak Belalang dan Serai Mas Herbs Trading di atas kesudian menaja GGV kali ini. Diharap lebih banyak lagi entiti korporat yang tampil memberi sokongan kepada program sebegini.
  9. Akhir kata, MUNSYID Malaysia mendoakan agar semua peserta, krew produksi serta semua yang terlibat dapat melakukan yang terbaik demi memastikan GGV musim pertama ditutup dengan satu episod yang menjadi sebutan dan kenangan manis buat semua.

Sekian, terima kasih.
Muhamad Razin Che Mud
Presiden,
MUNSYID Malaysia

Continue Reading

Khas

“Bila korang nak datang Singgahsana ni?..”

Diterbitkan

pada

“Bila korang nak datang Singgahsana ni? Ni dah nak habis puasa dah ni…”

Saban tahun kami diasak dengan soalan yang sama oleh Abang Lan. Seawal masuk je bulan Ramadhan, beliau hampir setiap masa mengajak kami berbuka di Hotel Singgahsana Petaling Jaya. Sebolehnya beliau mahu pastikan kami warga Munsyeed ke sana setiap tahun.

Siang tadi, kami dikejutkan dengan pemergian seorang yang kami anggap sebagai seorang abang kepada kami warga kerja Munsyeed. Antara orang yang approach kami ketika kami masih mentah lagi dalam dunia media islamik ini. Kami masih ingat, sewaktu kami masih merangkak, beliaulah yang banyak memberikan semangat dan dorongan kepada kami. Terutamanya apabila ada event-event yang melibatkan Rabbani, beliau lah yang akan sentiasa bertanya dan memberikan maklumat yang sepatutnnya.

Pernah satu ketika, ketika semua orang terkejut (dan ada yang marah!) apabila mendengar yang Rabbani ‘ditendang keluar’ daripada Hotel Singgahsana beberapa tahun lalu, beliau dengan segera memperbetulkan salah faham yang berlaku. Walaupun sudah tidak bekerja dengan Hotel Singgahsana, namun setiap kali Ramadhan, dia akan disitu menguruskan Rabbani.

Kami terasa kehilangannya. Alfatihah buat Allahyarham Mazlan Omar

– Munsyeed

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2025 Munsyeed Edutainment