Khas
Seruan MURSHID Sempena PRU13
Diterbitkan
pada
Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)
Menjelang PRU-13 Malaysia
MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian dari usaha mendidik dan menasihati masyarakat.
Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:
1. Prinsip Amanah
al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58).
al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)
2. Prinsip ‘Adl wa Ihsan
“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)
Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)
Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);
3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)
Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)
Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)
4. Prinsip Islah
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)
Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun .
5. Prinsip Akhlak Mulia
Allah SWT menegaskan: “Bantu-membantulah kamu di dalam hal kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bantu-membantu di dalam hal maksiat dan permusuhan…” (Al-Maidah (5): 2)
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.)
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam kepada Abu Bazrah ketika ia berkata kepada beliau: Wahai Rasululah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku.’ Beliau bersabda: “Lihatlah sesuatu yang menyakiti manusia, maka singkirkanlah dari jalan mereka.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad.)
Bertitik tolak dari kesedaran dan prinsip-prinsip yang telah disebutkan, maka MURSHID menyeru:
1) Kepada para warga Malaysia Muslim yang layak mengundi, agar:
a) Menjalankan tanggungjawab mengundi dan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan anda melalui saluran demokrasi yang ada.
b) Membuat pilihan yang tepat berdasarkan maklumat yang lengkap dan adil terhadap calon-calon, parti-parti yang bertanding serta manifesto mereka.
c) Tidak menjadikan sentimen, fitnah, kebencian dan juga hasutan sebagai asas di dalam membuat pilihan ketika membuang undi.
d) Mengeji dan mengelakkan diri dari memberikan sebarang sokongan kepada usaha meraih undi melalui cara siaran gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral sama ada ia melibatkan ahli atau pemimpin dari apa parti sekalipun. Dilarang juga menyebarluaskan video dan gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Pihak berkuasa yang terlibat juga boleh membuat siasatan seadilnya berdasarkan undang-undang. Hal ini terpakai kepada seluruh warga Malaysia dari semua parti dan bangsa.
e) Memilih mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bersikap mesra-Islam dan juga mempunyai ciri-ciri pemimpin yang telah disebutkan di atas.
f) Memilih parti yang boleh memartabatkan Islam, berusaha ke arah tadbir urus yang baik (good governance), keadilan dan juga amalan politik yang sihat.
g) Memilih calon yang kuat berpegang dengan agama dan tinggi moralnya, hatta di kalangan bukan Islam sekalipun, kerana pegangan agama dan moral akan lebih menjamin keadilan, amanah dan integriti.
h) Mempertahankan harga diri dengan tidak mengambil rasuah politik, samada, duit, material dan dalam bentuk seumpamanya.
i) Berusaha mencari keyakinan terhadap seseorang calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu mampu dari sudut ‘track record’ untuk membawa lebih manfaat lebih baik kepada kebajikan awam. ‘Track record’ adalah faktor penting bagi menilai kebolehan dan skill calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara Malaysia.
j) Memahami konteks politik di Malaysia yang mana terdiri dari pelbagai agama, bangsa, parti dan juga memahami jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan di Malaysia adalah 112 kerusi parlimen dari 222 seluruh kerusi parlimen. Justeru, pengundi disarankan agar tidak dibazirkan undi masing-masing kepada parti atau calon yang kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah dari sengaja merosakkan undi.
k) Menjauhkan diri dari terjebak dalam aktiviti kafir mengkafir secara specifik kepada orang Islam tertentu, ini kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap.
l) Menggesa agar semua pengundi yang berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong agar tidak (sekiranya tercipta) memanjangkan ‘permusuhan’, ‘sengketa’ dan dendam ingin memusnah kepada pihak yang berbeza. Sebaliknya, kembali berbaik dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia.
Sehubungan itu juga, MURSHID juga ingin mengingatkan para pengundi sekelian bahawa pilihan yang anda lakukan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di padang Mahsyar. Maka, pastikan pilihan anda itu bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.
2) Kepada parti-parti yang bertanding, agar:
a) Tidak berbohong, fitnah, keji, mencaci, politik kebencian dan kotor.
b) Tidak merasuah dan tidak mengamalkan politik wang untuk mendapatkan undi dan kuasa.
c) Tidak menyalahgunakan hak rakyat, wang pembayar cukai, fasiliti milik rakyat yang sepatutnya bukan milik parti, media dan pengaruh sepanjang kempen pilihanraya.
d) Meletakkan calon yang terbaik, berkarisma, mempunyai ciri-ciri yang disebutkan pada (1.e, f dan g) dan meletakkan sifat beragama sebagai asas, hatta di kalangan bukan Islam.
e) Meletakkan kepentingan agama, negara, masyarakat dan alam sekitar sebagai matlamat mendapatkan kuasa dan bukannya demi keuntungan individu, parti ataupun sesetengah kaum dan bangsa semata-mata.
f) Menawarkan tawaran dan manifesto kepada rakyat Malaysia yang mampu dilaksanakan secara realistik.
Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah, tanggung jawab dan bebanan, anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, pastikan tindakan anda semuanya dan bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.
3) Kepada pihak media penyiaran dan media cetak, agar:
a) Bersikap adil dan memberikan hak dan peluang yang sama kepada setiap parti tanpa pilih kasih serta tidak menzalimi pihak yang lain.
b) Mengamalkan sikap bertanggungjawab dan jurnalisme beretika dengan menjauhi segala fitnah dan adu domba samada untuk tujuan pemasaran mahupun untuk memberikan kelebihan kepada satu pihak dengan menzalimi pihak yang lain.
c) Mengamalkan sikap profesionalisme yang tinggi dan merealisasikan jurnalisme berhemah serta menjaga akhlak dan moral yang tinggi di dalam membuat liputan, laporan dan juga penilaian.
d) Menjadi mata, telinga dan juga suara rakyat sepanjang membuat liputan mengenai pilihanraya, serta mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti-parti tertentu.
Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak media bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas apa yang anda laporkan. Maka, pastikan tindakan anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.
4) Kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), agar:
a) Menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan adil, bertanggungjawab, penuh integriti, telus dan bersih.
b) Tidak berpihak, hatta kepada parti yang berkuasa dan sentiasa ingat bahawa akauntabiliti anda adalah kepada rakyat dan bukannya kepada parti yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan.
c) Mengutamakan masa depan negara, kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia dan bukannya pihak-pihak tertentu sahaja.
d) Melakukan perkara-perkara yang patut seperti pembersihan senarai pemilih dan bersikap responsive terhadap tuntutan rakyat demi memperbaiki kredebiliti dan imej SPR yang semakin calar dan dipertikaikan.
e) Bertanggungjawab untuk mengembeleng segala usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada fungsi asal SPR yang bukan sekadar tidak berpihak, tetapi juga wajib dilihat sebagai tidak berpihak.
Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas tanggungjawab yang anda jalankan. Maka, pastikan perlaksanaan tugas anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.
Dari Kami,
Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman (Presiden & Ahli Shura)
Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias (Bendahari Agung)
Ahli Jawatankuasa
Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
13 April 2013
– Munsyeed{Dot}Com
Artikel Lain
Khas
7 Intipati Utama Ucapan Tun Dr Mahathir Di Perhimpunan Agung PBB Kali Ke-73
Diterbitkan
pada
September 29, 2018Ringkas, tajam dan tepat! Begitulah 3 perkataan yang boleh diungkapkan seusai mendengar ucapan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.
Apa yang dapat kami simpulkan, terdapat 7 intipati utama ucapan Tun Dr Mahathir
1. Perihal Malaysia Baharu – Semangat Demokrasi, Dasar Dan Pendekatan Kerajaan
Tun Dr Mahathir mengulas mengenai keberanian rakyat Malaysia menukar kerajaan yang telah berkuasa selama 61 tahun secara aman dan tanpa berlaku rusuhan mahupun tumpah darah. Tun Dr Mahathir juga menegaskan mengenai dasar Malaysia baharu yang mengutamakan keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang. Malaysia Baharu juga menurut Tun Dr Mahathir akan kekal menjadi rakan kepada semua tanpa dan tidak bermusuh dengan sesiapa serta mengangkat falsafah hormati jiran tetangga. Dengan menghormati negara-negara jiran, Malaysia percaya ianya akan menjadikan Malaysia lebih aman, maju dan makmur.
2. Kegawatan Ekonomi, Sosial dan Politik
Tun Dr Mahathir menegaskan dunia kini mengalami kegawatan ekonomi, sosial dan politik yang parah. Pertembungan kuasa-kuasa besar dalam persaingan ekonomi telah menyebabkan seluruh dunia turut merasai tempiasnya. Selain itu, kebebasan dalam konteks sosial telah membawa kepada terhakisnya konsep perkahwinan dan kekeluargaan, nilai moral, hormat dan sebagainya. Manakala politik mengalami kegawatan yang paling teruk apabila perlakuan keganasan dan peperangan menjadi berleluasa.
3. Ancaman Keganasan Yang Lahir Dari Tindakan Pencerobohan Israel Ke Atas Palestin
Tun Dr Mahathir juga menegaskan bahawa ancaman keganasan tidak ditangani dengan betul apabila dunia gagal mengenalpasti punca asal kepada keganasan tersebut. Menurut Dr Mahathir, keganasan yang timbul pada hari ini adalah berpunca dari tindakan merampas tanah dan wilayah Palestin demi mewujudkan Israel. Segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan bertahun-tahun telah cuba dilawan dan ditentang oleh rakyat Palestin dan jiran-jiran yang bersimpati tetapi gagal. Akhirnya, pejuang-pejuang ini memilih jalan yang dipanggil keganasan untuk mendapatkan kembali apa yang telah dirampas dari mereka.
4. Sikap Pilih Kasih Dunia Terhadap Isu Israel -Palestin
Selain itu, Tun Dr Mahathir turut membidas sikap segelintir negara-negara dunia yang bersikap pilih kasih terhadap isu Israel – Palestin. Tun mengkritik sikap membisu negara-negara dunia terhadap tindakan zalim Israel yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal yang membawa misi kemanusiaan dan pengeboman rakyat Palestin yang tidak berdosa. Menurut Tun, apabila dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, ia telah membakar perasaan rakyat Palestin dan mendorong kearah keganasan dan peperangan yang tidak berpenghujung. Dengan nada sinis, Tun turut menyelar sesetengah negara anggota yang melihat peperangan sebagai satu cara untuk menyelesaikan konflik antara negara.
5. Peperangan Yang Dimanipulasikan
Tun Dr Mahathir berkata, negara pembuat senjata enggan menggunakan senjata-senjata dan bom nuklear yang telah diciptanya. Sebaliknya, senjata-senjata ini telah dibekalkan kepada negara-negara yang bergolak dan menghadapi peperangan untuk diuji kekuatan senjata-senjata tersebut. Tindakan ini tidak lebih sekadar memanipulasikan peperangan antara negara-negara lain demi kepentingan sendiri. Tun Dr Mahathir menambah, negara pengeluar senjata api mengetahui kesan dan akibat penggunaan senjata dan bom nuklear yang mempunyai radiasi dan mampu memberi kesan negatif kepada negara pengguna. Justeru, negara-negara pengeluar cuba mengekalkan keamanan negara mereka dan dalam masa yang sama membekalkan senjata-senjata ini kepada negara yang terlibat dalam peperangan. Peperangan dimanipulasi dan menjadi keuntungan besar buat negara-negara pengeluar senjata. Malah, Tun Dr Mahathir menyifatkan keuntungan yang diperolehi hasil penjualan senjata ini sebagai keuntungan yang tidak bermaruah kerana ia menjadi punca kepada kematian dan kemusnahan yang dahsyat.
6. Perdagangan Bebas – Keadilan Untuk Negara Kecil & Negara Sedang Membangun
Umum masih mengingati kenyataan Tun Dr Mahathir sewaktu berada di China baru-baru ini mengenai perdagangan bukan sahaja perlu bebas malah ia perlu adil. Di perhimpunan kali ini, Tun Dr Mahathir menekankan sekali lagi betapa pentingnya perdagangan bebas yang adil dilaksanakan dikalangan negara-negara dunia. Perdagangan bebas seharusnya tidak bersifat menekan dan perlu adil terutama terhadap negara-negara kecil dan sedang membangun. Selain itu, Tun Dr Mahathir turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk meningkatkan mutu dan kualiti minyak kelapa sawit Malaysia agar setiap titisan minyak sawit keluaran Malaysia akan diperakui mapan menjelang 2020.
7. Retorik Dunia Tanpa Sempadan Yang Tidak Bersifat Inklusif
Di penghujung ucapan, Tun Dr Mahathir membidas sesetengah negara yang giat mempromosi perdagangan bebas dan dunia tanpa sempadan akan tetapi dalam masa yang sama negara-negara inilah yang menyekat pintu sempadannya, menghalang kemasukan produk-produk negara kecil dan mengamalkan nasionalisme yang mementingkan diri sendiri sahaja. Tun juga sempat melontarkan pandangan beliau bahawa PBB selaku badan dunia perlu melalui proses perubahan dimana negara-negara besar dan kaya tidak seharusnya mendakwa mempunyai hak dalam menentukan hala tuju dunia selamanya. Mereka tidak seharusnya memperkudakan moral, melaungkan demokrasi dan perubahan rejim negara lain di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan bangsa bersatu tersebut. Kuasa veto, menurut Dr Mahathir tidak perlu dipegang oleh satu anggota tetap sebaliknya komposisi majlis tersebut perlu dianggotai 2 kuasa besar dan disokong 3 negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan supaya kuasa veto tidak disalahguna demi kepentingan negara-negara tertentu sahaja.
– Munsyeed
Khas
“Gema Gegar Vaganza berjaya tepis persepsi…” – Presiden MUNSYID Malaysia
Diterbitkan
pada
May 21, 2017Malam Kemuncak Gema Gegar Vaganza
- Sebagaimana kita semua sedia maklum, malam ini bakal berlangsungnya pentas akhir Gema Gegar Vaganza musim pertama yang disiarkan secara langsung di Astro Oasis dan Maya HD.
- MUNSYID Malaysia ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada para munsyid yang telah berjaya ke peringkat akhir iaitu Hijjaz , SAUJANA , Mirwana, UNIC, Hafiz Hamidun dan tidak dilupakan saudara Azmi Caliph Buskers.
- Sepanjang beberapa minggu berada di pentas GGV, mereka telah berjaya meletakkan penanda aras baru dari sudut persembahan dan pementasan bagi peserta GGV malah GV yang akan datang melalui gabungan elemen nyanyian, lakonan, kostum, koreografi, props dan sebagainya. Pendek kata, selepas ini GGV bukan sekadar pertandingan nyanyian namun ianya turut melibatkan elemen seni persembahan yang pelbagai.
- Pihak Astro Oasis juga dilihat telah menyediakan sistem peralatan audio visual dan pencahayaan yang terbaik dengan disokong tenaga kerja profesional sekaligus menunjukkan kesungguhan mereka menjayakan GGV kali ini dan pastinya ia hadir dengan perbelanjaan yang bukan sedikit. Syabas dan terima kasih buat Astro Oasis.
- Apa yang kita lihat di pentas GGV telah berjaya menepis persepsi sesetengah pihak yang menganggap nasyid adalah satu cabang hiburan yg tidak menarik, kaku, tidak kreatif, kurang elemen sensasi dan sebagainya. Ternyata dengan “pelaburan” yang secukupnya dalam bentuk tenaga profesional, peralatan, idea dan pastinya wang ringgit maka sesuatu pementasan akan lebih mendatangkan impak kepada penonton.
- Malah pentas GGV juga membuktikan bahawa artis nasyid punya kualiti yang setanding malah dalam sudut tertentu lebih baik daripada artis mainstream lain. Cuma sebelum ini mereka jarang diberi peluang untuk beraksi di pentas sebegini.
- MUNSYID Malaysia juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peminat nasyid tanah air yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada peserta GGV baik yang hadir ke venue mahupun yang menonton di kaca tv. Anda telah menjadikan GGV trending di media sosial dan mendapat rating yg sangat baik.
- Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada para penaja khususnya Kopi Pak Belalang dan Serai Mas Herbs Trading di atas kesudian menaja GGV kali ini. Diharap lebih banyak lagi entiti korporat yang tampil memberi sokongan kepada program sebegini.
- Akhir kata, MUNSYID Malaysia mendoakan agar semua peserta, krew produksi serta semua yang terlibat dapat melakukan yang terbaik demi memastikan GGV musim pertama ditutup dengan satu episod yang menjadi sebutan dan kenangan manis buat semua.
Sekian, terima kasih.
Muhamad Razin Che Mud
Presiden,
MUNSYID Malaysia
“Bila korang nak datang Singgahsana ni? Ni dah nak habis puasa dah ni…”
Saban tahun kami diasak dengan soalan yang sama oleh Abang Lan. Seawal masuk je bulan Ramadhan, beliau hampir setiap masa mengajak kami berbuka di Hotel Singgahsana Petaling Jaya. Sebolehnya beliau mahu pastikan kami warga Munsyeed ke sana setiap tahun.
Siang tadi, kami dikejutkan dengan pemergian seorang yang kami anggap sebagai seorang abang kepada kami warga kerja Munsyeed. Antara orang yang approach kami ketika kami masih mentah lagi dalam dunia media islamik ini. Kami masih ingat, sewaktu kami masih merangkak, beliaulah yang banyak memberikan semangat dan dorongan kepada kami. Terutamanya apabila ada event-event yang melibatkan Rabbani, beliau lah yang akan sentiasa bertanya dan memberikan maklumat yang sepatutnnya.
Pernah satu ketika, ketika semua orang terkejut (dan ada yang marah!) apabila mendengar yang Rabbani ‘ditendang keluar’ daripada Hotel Singgahsana beberapa tahun lalu, beliau dengan segera memperbetulkan salah faham yang berlaku. Walaupun sudah tidak bekerja dengan Hotel Singgahsana, namun setiap kali Ramadhan, dia akan disitu menguruskan Rabbani.
Kami terasa kehilangannya. Alfatihah buat Allahyarham Mazlan Omar
– Munsyeed
iklan2
I’m Not Ready To Let You Go – A Zain Bhikha Single That Speaks To The Heart
“Deep betul lagu raya terbaru Daqmie dan Mestica ni…”
Sah! Malaysia Sambut Hari Raya Aidilfitri Pada Rabu 10 April 2024 Bersamaan 1 Syawal 1445H
Trending
-
Berita7 months ago
Durioo+ Kongsi Video Acah Pertama ILM – Ustaz Asri Ubai Rabbani Pegang Watak Kareem, Alif Satar Sebagai Ishak
-
Info Nasyid11 years ago
7 Artis Cetus Fenomena Luarbiasa Di Malaysia
-
Berita6 years ago
Shahida Ajak Aliff Syukri Duet Lagu Agama Kedamaian (Deen Assalam)
-
Berita6 years ago
Raudhatul Jannah juara Pendakwah Muslimah 2018
-
Berita6 years ago
TV Alhijrah Umum Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Baru
-
Berita6 years ago
Showcase Lah Ahmad Disember Ini, Adeep Nahar Buat Penampilan Khas
-
Dari Pembaca10 years ago
Subhanallah: Pencarian Farid Sanullah Yang Majestik & Magis!
-
International6 years ago
Full Text of Statement by Tun Dr Mahathir at the 73rd UNGA