Tokoh agamawan terkenal, Tan Sri Hassan Azhari, 86 tahun, telah dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2014. Anugerah tersebut diberikan bagi menghargai sumbangan dan jasa Tan Sri Hassan Azhari dalam memartabatkan Islam di Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan Al-Quran.
Peranan Tan Sri Hassan tidak hanya tertumpu di Malaysia, malah beliau turut berperanan sebagai juri Majlis Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa, dimana beliau telah menjadi juri setiap tahun seawal acara Tilawah Al-Quran tersebut diperkenalkan 56 tahun yang lalu. Selain di Malaysia, Tan Sri Hassan turut dijemput menjadi juri Musabaqah Tilawah Al-Quran di beberapa negara seperti di Arab Saudi, Mesir, Brunei dan lain-lain.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Dewan Merdeka, PWTC. Tan Sri Hassan Azhari hadir bagi menerima anugerah ini bersama ahli keluarga beliau manakala Tan Sri Dr Salma Ismail diwakili anak sulung beliau.
Menyorot latar belakang tokoh Al-Quran yang dilahirkan di Kampung Shuaib Amir yang terletak di Kota Suci Mekah ini, beliau adalah bilal yang bertanggungjawab mengalunkan azan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman selesai melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.
“Ketika saya melaungkan azan dalam lagu sikah itu, air saya menitis laju. Gembira yang sangat tak terkata. Rasa bersyukur dengan kemerdekaan negara ini”Cerita beliau dalam satu temubual bersama pihak media.
Tokoh Al-Quran ini mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah agama di sekitar Selangor dan juga pernah melanjutkan pengajiannya di Madrasah Al-Junied, Singapura. Tidak cukup dengan itu, guru Al-Quran ini mengambil keputusan kembali semula ke Mekah untuk mendalami ilmu Al-Quran bersama ulama terkenal, Sheikh Ismail Tamim.
Nama Tan Sri Hassan turut menjadi sebutan ramai apabila mengendalikan rancangan Al-Quran bertajuk Muqaddam yang disiarkan di saluran RTM pada awal 1970-an.
Dalam usia meniti senja, beliau tidak duduk diam. Terbaru, beliau telah berjaya mencipta sejarah di Malaysia dengan mengeluarkan naskah Al-Quran Wakaf & Ibtida’ yang menjadi naskah Al-Quran terlaris di Malaysia.
Anugerah Tokoh Melayu Terbilang ini juga turut diberikan kepada Tan Sri Dr Salma Ismail yang mencatatkan sejarah sebagai doktor wanita melayu pertama Tanah Melayu pada tahun 1947.
Tahniah diucapkan kepada kedua-dua tokoh ini. Semoga pencapaian dua tokoh ini menjadi inspirasi berharga buat generasi baru untuk terus melakar kejayaan di masa akan datang.
– Munsyeed Dot Com