Dalam semangat memulai tahun 2025 dengan pembaharuan dan keberkatan, TV AlHijrah, stesen televisyen Islam terunggul negara, dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran program baharu Hadis@114 serta musim terbaharu rancangan popular Quran@114.
Kedua-dua program ini merupakan usaha strategik stesen TV AlHijrah untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, selari dengan matlamat memperkasakan ummah dengan ilmu yang relevan dan bermanfaat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah bertanggungjawab menjadi media yang menyebarkan kebaikan dan kebijaksanaan, termasuk menyalurkan hikmah daripada wahyu Allah SWT demi kesejahteraan masyarakat Islam.
“Kami berkomitmen untuk terus menyajikan rancangan yang tidak hanya mendidik tetapi juga memberi inspirasi, sejajar dengan nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis
“Di kanan kami al-Quran, di kiri kami al-Hadis. Kedua-duanya adalah petunjuk utama yang memandu setiap langkah kehidupan seorang Muslim. Dengan pelancaran Hadis@114 dan musim baharu Quran@114, kami bertekad untuk menjadikan platform ini sebagai jambatan ilmu yang menghubungkan penonton dengan dua sumber agung yang menjadi tunjang ajaran Islam.
“Melalui inisiatif ini, kami juga berhasrat untuk mempertingkatkan pemahaman umat Islam terhadap al-Quran dan as-Sunnah dan mendorong mereka menuju kehidupan yang lebih bermakna serta diberkati. Ini kerana, setiap episod direka dengan teliti untuk menyampaikan ilmu yang berasaskan dalil, berlandaskan konteks semasa, agar nilai-nilai Islam terus subur dalam jiwa masyarakat,” jelas Namanzee.
Hadis@114: Menghayati Sunnah Rasulullah SAW
Hadis@114 adalah sebuah program baharu yang membawa penonton mendalami dan menghayati sunnah Rasulullah SAW melalui pembentangan hadis-hadis pilihan yang dipersembahkan dengan pendekatan ilmiah yang terperinci.
Program ini bertujuan untuk menyajikan pemahaman yang lebih holistik dan mendalam mengenai pengajaran dan hikmah yang terkandung dalam sunnah Rasulullah SAW, yang bukan sahaja relevan pada zaman Baginda, tetapi juga tetap memberi panduan praktikal kepada umat Islam di zaman moden ini.
Setiap hadis yang dibincangkan akan dikupas secara kritis dan mendalam, dengan mempertimbangkan aspek-aspek konteks sejarah, persekitaran sosial, serta kedudukan hadis tersebut dalam kerangka syariat Islam yang lebih luas.
Program ini menghimpunkan segenap ilmuwan tersohor dan berwibawa yang telah mendalami bidang pengajian hadis secara mendalam dan mempunyai kepakaran dalam mentafsir serta menjelaskan aplikasi praktikal sunnah dalam kehidupan seharian. Antara ilmuwan yang terlibat dalam pembentangan ini adalah Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor, Dr. Norazam Khair Mohd Ithnin, Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad, Ustaz Tariq Jaffri bin Mohd Akhbar dan Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rahman.
Mereka bukan sahaja pakar dalam bidang tafsiran hadis, tetapi juga berpengalaman luas dalam menyampaikan pengetahuan agama Islam secara ilmiah dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kepakaran mereka dalam mendalami dan mentafsir hadis secara terperinci akan membolehkan penonton untuk lebih memahami hikmah di sebalik setiap hadis dan mengaplikasikannya dengan bijaksana dalam kehidupan seharian.
Disiarkan setiap hari mulai 1 Januari 2025 pada jam 6:00 petang. Setiap episod disusun dengan tujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai cara-cara Rasulullah SAW mengatur kehidupan bermasyarakat, berinteraksi dengan manusia, dan menjalani kehidupan beragama yang penuh dengan hikmah dan keteladanan.
Hadis@114 menawarkan panduan yang praktikal dan rohaniah, bertujuan untuk membantu umat Islam meraih keberkatan hidup, memperkukuh hubungan spiritual dengan Allah SWT, serta membimbing mereka ke arah kehidupan yang lebih sejahtera, aman, dan diberkati dalam meniti perjalanan hidup di dunia ini dan menuju akhirat yang kekal abadi.
Quran@114: Musim Terbaharu dengan Pemahaman yang Lebih Mendalam
Sebagai sebuah rancangan yang telah mencetuskan fenomena tersendiri, Quran@114 kembali dengan musim terbaharu untuk terus membimbing penonton dalam mendalami makna dan pengajaran yang terkandung dalam ayat-ayat suci al-Quran.
Program ini diatur dengan pendekatan yang lebih mendalam dan komprehensif, bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih jitu dan aplikasi yang lebih tepat terhadap ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian umat Islam.
Dikemudi oleh barisan pendakwah dan cendekiawan Islam yang berpengalaman, antaranya Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Dr. Ahmad Irdha Mokhtar, Ustaz Hassan Basri Hj. Ali, dan ilmuwan lain, program ini menyajikan tafsiran yang mendalam dan tadabbur yang menggugah hati. Mereka akan mengupas dan menganalisis ayat-ayat al-Quran dari sudut yang lebih luas, mengaitkan antara teks wahyu dan realiti kehidupan masa kini.
Melalui setiap episod yang disiarkan, penonton akan diperkenalkan dengan penjelasan tafsir yang mendalam, yang bukan sahaja menjelaskan maksud secara literal, tetapi juga meneroka makna yang tersirat dan hikmah yang terkandung dalam setiap ayat. Selain itu, pendekatan tadabbur yang diambil akan memberi ruang kepada penonton untuk memperkasa pemahaman rohaniah dan spiritual mereka.
Disiarkan setiap hari pada jam 11:00 pagi, musim baharu Quran@114 memberi fokus kepada bagaimana al-Quran dapat menjadi panduan menyeluruh dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
Program ini menawarkan solusi Islami yang jelas, relevan, dan praktikal untuk menangani isu-isu semasa, memberikan panduan dan arahan yang dapat membantu umat Islam menavigasi kehidupan mereka dengan lebih baik, berlandaskan wahyu yang abadi. Melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap al-Quran, penonton akan dapat.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kami dalam perjalanan ilmiah ini. Saksikan Hadis@114 dan Quran@114 setiap hari, sebagai sumber inspirasi dan panduan hidup.
Penonton boleh mengikuti rancangan-rancangan ini melalui saluran TV AlHijrah, platform media sosial rasmi, serta portal AlHijrah Online.
Razman Shah, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular In-Heart, kini berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Difahamkan, Razman berada dalam keadaan kritikal dan beliau kini di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Isterinya setia berada di sisi beliau, menguruskan segala keperluan sepanjang tempoh rawatan.
Mohd Hafiz, salah seorang anggota kumpulan In-Heart, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Razman.
“Saya memohon jasa baik anda semua untuk mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diangkat segala kesakitan yang dialaminya ketika ini,” ujar Mohd Hafiz.
Kumpulan In-Heart terdiri daripada lima anggota iaitu Mohd Firdaus, Khairul Rizam, Razman Shah, Mohd Hafiz dan Mohd Khairi. Mereka pernah menyertai program realiti TV Akademi Nasyid dan tampil dengan album sulung berjudul Sakura.
Berita mengenai keadaan Razman mengejutkan ramai pihak, dan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta doa agar beliau segera pulih.
Sama-sama kita doakan semoga Razman Shah diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Lagu ‘Perjalanan’ yang dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat besar, Putra Aiman dan Haikal Iman, telah mencuri perhatian ramai pendengar muzik tanah air.
Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, video muzik lagu ini di platform YouTube telah mencapai jumlah tontonan yang membanggakan, iaitu melebihi 800,000 tontonan.
Lagu “Perjalanan” ini merupakan ciptaan komposer terkenal, Munif Hijjaz, dengan lirik yang ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Ia bergenre nasyid dan menampilkan melodi yang indah serta lirik yang menyentuh hati. Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan hidup manusia yang penuh dengan ujian dan cabaran, namun tetap perlu diteruskan dengan sabar dan tawakal.
Pencapaian ini membuktikan bahawa lagu ‘Perjalanan’ diterima baik oleh masyarakat. Rata-rata pendengar memberikan komen positif dan memuji vokal Putra Aiman dan Haikal Iman yang merdu serta penghayatan mereka dalam menyampaikan lirik lagu tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan oleh penonton di YouTube adalah:
“Lagu ini sangat menyentuh hati. Liriknya sangat mendalam dan membuat saya merenung tentang kehidupan.”
“Vokal Putra Aiman dan Haikal Iman sangat merdu. Saya suka mendengar lagu ini berulang-ulang kali.”
“Saya rasa terinspirasi setelah mendengar lagu ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus menjalani kehidupan ini dengan tabah.”
“Lagu ini sangat sesuai didengar ketika sedang bersantai atau dalam perjalanan jauh.”
“Saya harap Putra Aiman dan Haikal Iman terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini.”
Kejayaan lagu “Perjalanan” ini diharap dapat menjadi batu loncatan buat Putra Aiman dan Haikal Iman untuk terus mewarnai industri nasyid tanahair dengan lagu-lagu berkualiti seperti ini. Tahniah diucapkan kepada Putra Aiman dan Haikal Iman.
Mulanya, Halim hanya menyampaikan secara santai lagu sohor kini ‘Bukan Lagi Kita’ dalam kereta. Alih-alih, ramai pula peminat yang minta Halim nyanyi versi gitar.
Mengenali Halim, beliau tidak akan menghampakan perasaan peminat. Hasilnya, memang sedap! Ramai yang memuji nyanyian beliau dalam cover lagu “Bukan Lagi Kita”.
Halim Ahmad menyampaikan lagu yang penuh emosi ini dengan cara yang tersendiri. Tidak hairanlah ramai yang tertarik dengan versi cover beliau.
Lagu Bukan Lagi Kita memang popular dan sohor kini kerana menjadi runut bunyi untuk drama yang sedang popular, “Curang Tanpa Niat”.
Malah, lagu ini juga semakin mendapat perhatian setelah lagu ini turut di’cover’ oleh Biduanita Negara Dato Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Bukan Lagi Kita bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung pada 16 Februari 2025 di TV3.
Tahniah kepada Halim kerana menyampaikan lagu ini dengan ‘vibes’ tergamaknya sedap! Nak tonton lagu cover Bukan Lagi Kita oleh Halim Ahmad? Layari akaun Tiktok Halim disini: @halim.ahmad