Tiada angin, tiada ribut, kami mendapat info yang ada ahli kumpulan nasyid telah masuk ke Penjara Pauh, Perlis. Terkejut juga mendengar berita ini. Kami terus berhubung dengan kumpulan nasyid tersebut.
Setelah diselidiki, rupa-rupanya, kumpulan Unite masuk ke Penjara Pauh, Perlis untuk memenuhi undangan persembahan dan tazkirah untuk komuniti Penjara Pauh, Perlis pada 4 Oktober 2013.
Bukan mudah untuk kumpulan nasyid baharu untuk mendapat jemputan persembahan yang istimewa seperti itu tetapi Unite membuktikan yang mereka mampu menggalas tanggungjawab menghiburkan penonton dengan hiburan mendidik jiwa di Penjara Pauh, Perlis.
Pengalaman Show Di Penjara
Menurut Umar Mukhtar; salah seorang vokalis kumpulan Unite, mereka bersyukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk menghiburkan para banduan dan staff di Penjara Pauh.
“Pengalaman terbaru dan menarik bagi kumpulan kami apabila mendapat peluang untuk mempersembahkan alunan irama nasyid di penjara pauh, Perlis. Pada mulanya agak gemuruh kerana tidak pernah berhadapan dengan banduan. Tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan para banduan juga memberikan respon yang positif.”” cerita Umar dalam satu sesi temubual bersama Munsyeed baru-baru ini.
Bergambar di hadapan Penjara Pauh, Perlis. Dari kiri: Hazran Simfoni, Ustaz Fitri, Umar Unite dan Syameer.
Tambah Umar lagi, di majlis tersebut, mereka telah menyampaikan beberapa buah lagu nasyid sambil diselangseli dengan tazkirah yang disampaikan oleh guru kepada kumpulan Unite, Ustaz Fitri Bin Mohamad.
“Persembahan kami diselang selikan dengan tazkirah yang disampaikan Ustaz Fitri Bin Mohamad. Disebabkan ada ahli Unite yang terikat dengan komitmen lain, Unite telah menjemput Hazran dari kumpulan Simfoni, Syameer dari IPG Perlis dan gitaris Mohd Shair bin Saad untuk turut sama dengan Unite (menyampaikan persembahan).”
“Persembahan bermula pada jam 10 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi di hadapan lebih kurang 100 orang penghuni penjara. Yang buat kami kagum ialah keadaan persekitaran di dalam dan di luar penjara yang kemas, bersih dan sentiasa teratur. Ia satu pengalaman yang cukup bermakna buat kami.” jelas Umar.
Profil Kumpulan Unite
Sedikit latar belakang kumpulan Unite yang dapat kami kongsikan. Unite merupakan sebuah kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada hujung tahun 2010. Unite mnghimpunkan bekas pelajar dan pelajar Sekolah Menengah kebangsaan Agama Arau, Perlis. Kebanyakan ahli kumpulan ini adalah bekas kumpulan nasyid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau iaitu kumpulan Munawwar.
Pada asalnya kumpulan Unite dinamakan sbagai kumpulan Ikh-One. Tetapi setelah mendapat tahu ada sebuah kumpulan nasyid dari pantai timur yang telah menggunakan nama Iq-One, maka semua ahli bersetuju untuk menggunakan nama Unite.
Kumpulan Unite sering mendapat undangan persembahan di majlis – majlis sekitar utara terutamanya di negeri Perlis dan Kedah. Pada asalnya kumpulan Unite mempunyai seramai 6 orang ahli yang terdiri daripada Umar Mukhtar, Miqdad, Allahyarham Mursyid, Wan Fahmi, Marwan dan ‘Atif. Pada tanggal 27 ramadhan lalu, seorang daripada ahli Unite telah kembali ke PangkuanNya akibat kemalangan jalan raya. Kini, Unite dalam proses untuk penjenamaan semula dan sedang mencuba untuk menghasilkan single pertama.
Syabas diucapkan kepada Unite. Semoga terus maju dan berjaya dalam perjalanan karier seni kalian! Jom Like Facebook Unite.
– Munsyeed Dot Com