Syukur Alhamdulillah, pujian kami panjatkan kepada Allah SWT diatas segala limpah rahmatnya, dapat juga kami menyiapkan website Munsyeed yang berwajah serba baru dan lebih segar.
Pejam celik, baru tersedar. Sudah tiga tahun kami bertapak dalam dunia media apabila menubuhkan Munsyeed Dot Com, sebuah entiti baru yang mengkhususkan pemberitaan tentang dunia nasyid dan hiburan Islah. Begitu pantas masa berlalu.
Ironinya, kami bermula dengan serba kekurangan. Bermula dengan modal yang dikeluarkan dari duit kocek sendiri, tiada kelengkapan termasuk kamera, tiada pejabat sendiri, dan kesulitan bergerak untuk membuat liputan. Tapi, kami tak patah semangat.
Namun, disebalik kekurangan yang kami miliki, kami boleh berbangga dengan apa yang kami ada. Membantu tugas dakwah yang dijalankan penasyid tanah air, itu sahaja yang terdetik di hati kami sejak mula menubuhkan Munsyeed.
Banyak pahit manis yang kami lalui bersama. Terpaksa meredah jam untuk ke lokasi sesuatu acara, kekangan masa, peristiwa website down berkali kali juga tak melemahkan kami. Kami tahu,amanah ini perlu kami pikul dengan ikhlas dan penuh iltizam.
Dan sempena penubuhan kami yang ke tiga, kami sepakat memutuskan untuk membuat transformasi drastik dengan membuat rombakkan besar-besaran bukan sahaja pada website kami, tapi juga mencorakkan kembali segala macam content, gerak kerja dan arah tuju kami.
Ya, kami sedar ramai pembaca kami mengharapkan sesuatu yang lebih baik, segar dan dinamik daripada kami. Bagi kami, sokongan daripada para pembaca sedikit sebanyak menjadi kekuatan buat kami untuk terus bertapak. Jasa kalian buat kami bukannya kecil, bahkan tak mampu buat kami membalasnya.
Buat para penasyid dan penggiat hiburan Islam, kami tak tahu bagaimana nak membalas budi atas kerjasama dan sokongan kalian. Hanya doa supaya kita sama-sama dapat memartabatkan hiburan Islam, ditahap yang lebih tinggi, setinggi awan dilangit.
Dengan lafaz Bismilahhirrahmanirrahim, kami dengan serendah hati menjemput anda menikmati pengalaman baru, lebih berani, telus dan dinamik dalam wajah baru Munsyeed Dot Com.
Terima Kasih
Aizat Ikhwan
Ketua Pengarang Munsyeed Dot Com