Sepanjang minggu ni, entah kenapa di TV pejabat asyik ditayangkan lagu dan filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sahaja. Terutama di Astro Awani. Di akhbar pula, ada berita tentang salah satu konsert tribute untuk P. Ramlee yang diadakan di Istana Budaya.
Sebenarnya, sebelum zaman kemunculan kumpulan nasyid seperti El-Surayya, Al-Mizan, Al-Jawaher dan lain-lain, P.Ramlee juga ada menyanyikan lagu lagu nasyid. Mungkin pada ketika itu, ruang lingkupnya tidak memberi ruang yang banyak untuk lagu berunsur dakwah. Mungkin juga lebih sesuai dipanggil sebagai lagu ketuhanan. Namun, bukankah ia nampak bagai satu titik mula pada hiburan Islam negara ini?
Rukun Islam Lima Perkara
Marilah kita mengerjakannya
Lagu Rukun Islam umpamanya, dirakamkan oleh P. Ramlee dan Saloma pada 1963 berasal dari lagu “Melaka” yang jadi lagu pembukaan filem “Hang Tuah” (1956). Lagu ini simple, dengan bertemakan tentang rukun Islam. Catchy juga melodinya.
Alhamdulillah syukur nikmat
Kepada Tuhan Yang memberi Rahmat
Sungguhlah Maha Kaya, Tuhan Yang Esa
Kurniakan tiap insan, Nikmat Yang Bahagia.
P. Ramlee & Nasyid
Lagu tersebut, mungkin lebih ramai yang tahu kerana dinyanyikan dalam filem Ali Baba Bujang Lapok yang dikeluarkan pada tahun 1960.
Juga, Allahyarham juga pernah mengarahkan sebuah filem berunsurkan Islam dan berlatarbelakangkan Melayu lama iaitu Semerah Padi (1956). Filem tersebut dilatari dengan plot dimana sebuah negeri yang kuat berpegang teguh pada ajaran Islam. Istimewanya, boleh didengari suara azan daripada Allahyarham yang merdu.
Malah, salah satu lagu popularnya, ‘Dimana Kan Kucari Ganti” telah dinyanyikan semula dalam sebuah kompilasi ‘Untukmu Rasulullah’ oleh beberapa nasyid kita. Betapa universalnya mesej lagu tersebut, sehingga para penasyid dapat membentuk semula mood karya ‘masterpiece’ itu menjadi satu kisah buat Rasulullah.
Tidak mahu bercerita panjang. Namun apa yang dikagumi ialah sebenarnya P. Ramlee sendiri yang merintis nyanyian nasyid di Malaysia (Pada ketika itu, Tanah Melayu). Seniman Agung ini sepertinya merupakan insan yang serba boleh. Sesuai dengan P di pangkal namanya, akronim pada pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah, pencipta lagu. Ataupun mungkin dengan lagu-lagu yang disebutkan itu, layak digelar Penasyid dan Pendakwah?
Dimana kan ku cari ganti
Serupa denganmu……
Zax – Al-Fatihah Buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee